Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBelanjawan MADANI 2026 meletakkan kesejahteraan ekonomi rakyat sebagai satu daripada teras utama dasar fiskal negara. Kerajaan menyasarkan penurunan kadar kemiskinan tegar daripada 0.2 peratus kepada 0.09 peratus, suatu sasaran yang mencerminkan komitmen berterusan terhadap agenda keadilan sosial.
Namun demikian, Belanjawan MADANI 2026 tidak hanya tertumpu kepada golongan miskin tegar semata-mata sebaliknya mengambil pendekatan menyeluruh memandangkan cabaran ekonomi semasa merentas semua lapisan masyarakat. Hakikatnya, tekanan ekonomi hari ini tidak lagi perlu dibuktikan melalui angka semata-mata kerana kesannya dirasai secara langsung dalam kehidupan seharian rakyat yang bergelut untuk menampung keperluan asas dan menjamin kelangsungan hidup keluarga.
Sering kali masyarakat beranggapan bahawa individu yang kelihatan cukup dari segi keperluan harian apatah lagi yang tampak hidup selesa akan terus berada dalam keadaan ekonomi yang stabil. Namun demikian, tanggapan tersebut tidak semestinya tepat.
Kecukupan hari ini tidak menjamin kesejahteraan pada masa hadapan. Dalam hal ini, unjuran pendapatan memberikan gambaran yang lebih realistik tentang risiko kemiskinan. Sekiranya pendapatan dijangka meningkat secara konsisten, risiko kemiskinan lazimnya rendah. Sebaliknya, pendapatan yang mendatar, menurun atau tidak menentu meningkatkan kebarangkalian seseorang atau sesebuah keluarga terperangkap dalam kemiskinan.
Keadaan ini turut menimpa golongan berpendapatan sederhana yang dibebani komitmen kewangan seperti bayaran ansuran pembiayaan perumahan, pinjaman peribadi dan kos sara hidup yang tinggi sehingga gagal mewujudkan lebihan kewangan bulanan. Ketiadaan lebihan ini menyukarkan pembentukan simpanan dan menjadikan mereka terdedah terhadap apa-apa yang disebut oleh ahli ekonomi sebagai perangkap kemiskinan, iaitu kitaran berpanjangan yang memerangkap individu atau keluarga dalam keadaan pendapatan rendah atau tanpa keupayaan menambah nilai ekonomi meskipun usaha berterusan dilakukan.
Dalam konteks ini, pendapatan semasa seharusnya berfungsi sebagai pemangkin kepada peningkatan pendapatan masa hadapan bukan sekadar mencukupi untuk kelangsungan hidup.
Sehubungan dengan itu, kerajaan terus melaksanakan pelbagai langkah rangsangan ekonomi bagi menggalakkan pergerakan ekonomi dan memastikan pertumbuhan yang lebih inklusif. Program subsidi bersasar seperti rebat bil elektrik, serta bantuan kos sara hidup menerusi inisiatif Payung RAHMAH yang bukan sahaja meringankan beban kewangan rakyat, malah merangsang aktiviti ekonomi secara berterusan.
Walaupun nilai bantuan tersebut mungkin kelihatan kecil secara bulanan, pendekatan bantuan berterusan didapati lebih berkesan berbanding dengan pemberian sekali gus yang berisiko dibelanjakan untuk keperluan tidak mendesak.
Dalam landskap semasa, kemiskinan tidak lagi terhad kepada kawasan luar bandar atau pedalaman. Sebaliknya, kemiskinan bandar muncul sebagai fenomena yang semakin membimbangkan dan sering kali lebih mencengkam. Di luar bandar, kemiskinan lazimnya berpunca daripada kekurangan akses kepada pendidikan berkualiti, kemudahan kesihatan, infrastruktur asas dan peluang pasaran. Di bandar pula, tekanan kos sara hidup yang tinggi, pekerjaan tidak stabil, inflasi, serta jurang pendapatan yang semakin melebar menjadi punca utama kemiskinan.
Walaupun punca dan bentuknya berbeza, kesannya tetap sama, iaitu menghakis keupayaan individu dan keluarga untuk meningkatkan mobiliti sosioekonomi mereka.
Di luar bandar, kekurangan sokongan pendidikan dan latihan kemahiran menyebabkan penduduk sukar memperoleh kemahiran baharu yang selari dengan keperluan industri. Pergantungan pada pendidikan formal semata-mata, tanpa sokongan pendidikan tambahan, mengehadkan peluang pembangunan modal insan.
Keadaan ini diburukkan lagi apabila sebahagian keluarga tidak menitikberatkan pendidikan formal melebihi keperluan asas membaca, menulis dan mengira. Akibatnya, terdapat anak-anak yang tidak meneruskan persekolahan sehingga ke peringkat Sijil Pelajaran Malaysia, sekali gus mengehadkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan mendorong kebergantungan kepada sektor pekerjaan tidak formal atau berpendapatan bermusim.
Sebaliknya di bandar walaupun akses pendidikan lebih luas, penduduk berdepan dengan tekanan kos hidup yang tinggi, serta beban hutang yang menjejaskan kestabilan kewangan isi rumah. Pekerjaan dalam sektor gig yang bersifat tidak menentu pula meningkatkan kerentanan ekonomi, khususnya apabila pendapatan tidak seiring dengan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan. Dalam keadaan ini, walaupun kos hidup masih dapat ditampung, ketiadaan simpanan menjadikan keluarga bandar mudah terdedah kepada kejutan ekonomi.
Menyedari realiti tersebut, kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti i-Saraan, i-Suri, i-Saraan Plus, serta Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi menyokong golongan B40, M40, belia, pekerja gig dan mereka yang bekerja sendiri. Langkah ini mencerminkan kefahaman kerajaan terhadap perubahan struktur ekonomi dan corak pendapatan yang tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pekerjaan formal.
Hakikatnya, kemiskinan bukan sekadar isu pendapatan, tetapi turut melibatkan aspek psikologi, minda dan hubungan sosial. Kajian oleh penyelidik tempatan menunjukkan bahawa komuniti yang memiliki modal sosial yang kukuh lebih berdaya tahan dalam menghadapi krisis ekonomi. Pelibatan dalam koperasi, pertubuhan bukan kerajaan dan jaringan kejiranan menyediakan sokongan sosial yang penting dan meningkatkan keberkesanan usaha keluar daripada kemiskinan.
Oleh itu, perangkap kemiskinan perlu ditangani secara serentak pada peringkat individu dan sistemik. Pada peringkat individu, peningkatan kemahiran, kebolehan merancang kewangan, disiplin menabung dan keberanian merebut peluang ekonomi baharu menjadi kunci utama. Pada peringkat sistemik pula, kerajaan perlu memastikan pembangunan yang inklusif, seimbang antara bandar dengan luar bandar, serta memperkukuh infrastruktur asas seperti Internet dan pengangkutan.
Akhirnya seperti yang ditegaskan oleh Esther Duflo, intervensi kecil yang tepat mampu mencetus perubahan besar. Belanjawan MADANI 2026 membawa mesej jelas bahawa peningkatan pendapatan, pembinaan daya tahan ekonomi isi rumah dan penghindaran kemunduran sosioekonomi merupakan teras terhadap usaha membebaskan rakyat daripada perangkap kemiskinan.
Dalam dunia yang semakin tidak menentu, kesejahteraan masa hadapan bukan hanya ditentukan oleh pendapatan hari ini, tetapi cara pendapatan tersebut dimanfaatkan untuk membina jaminan ekonomi yang lebih kukuh dan mampan.