Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKadar Kesuburan Jumlah (TFR) di Malaysia berada pada tahap 1.7 anak, jauh di bawah paras penggantian, iaitu 2.1 anak. Bukan itu sahaja, Malaysia juga mencatatkan penurunan kelahiran melebihi 11 peratus pada suku pertama tahun 2025 berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. Kebanyakan golongan muda di negara ini dilihat semakin cenderung untuk merancang keluarga berikutan peningkatan kos sara hidup yang berterusan.
Perancangan keluarga ini tidak bermaksud pasangan muda menolak untuk memiliki anak, sebaliknya mereka merancang bilangan anak berdasarkan tahap kestabilan ekonomi keluarga masing-masing. Namun demikian, tanpa disedari, fenomena ini berpotensi mempercepat Malaysia mencapai status negara menua, sekali gus memberikan pelbagai implikasi terhadap sosioekonomi negara.
Jika diperhatikan, kebanyakan pasangan yang berkahwin pada masa ini mempunyai bilangan anak yang lebih kecil berbanding dengan generasi terdahulu. Selain itu, golongan muda juga cenderung untuk berkahwin pada usia yang lebih lewat kerana sebahagian besar daripada mereka melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di institusi pendidikan tinggi. Lazimnya, pengajian hanya tamat sekitar usia 23 tahun. Selepas itu, mereka akan mula membina kerjaya, serta membantu keluarga terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan perkahwinan dan pembinaan institusi keluarga.
Perancangan keluarga merupakan antara aspek penting dalam pembentukan masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Perancangan ini melibatkan keputusan besar seperti perkahwinan, bilangan anak, serta keseimbangan antara kerjaya dengan kehidupan.
Namun begitu, perancangan keluarga semakin mencabar akibat peningkatan kos sara hidup, tekanan ekonomi dan perubahan sosial. Golongan muda berdepan dengan dilema sama ada untuk berkahwin atau memiliki anak, khususnya disebabkan faktor kewangan dan gaya hidup. Walau bagaimanapun, faktor kewangan dilihat lebih dominan dalam mempengaruhi keputusan tersebut.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YBhg. Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, tekanan kos sara hidup menjadi faktor utama belia menangguhkan perkahwinan dan pembentukan keluarga walaupun hasrat tersebut tetap wujud. Laporan Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) menunjukkan hampir satu daripada lima orang dewasa di 14 buah negara mengakui kemungkinan mereka tidak dapat memiliki bilangan anak seperti yang diinginkan.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 39 peratus menyatakan kekangan kewangan sebagai halangan utama, termasuk kos sara hidup, penjagaan anak, perumahan dan ketidaktentuan pekerjaan. Dapatan ini menunjukkan bahawa trend merancang keluarga akibat tekanan kos sara hidup bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah turut dialami oleh negara lain.
Menurut Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), tinjauan sempena Bulan Keluarga Kebangsaan 2024 mendapati kira-kira 97 peratus responden mengakui cabaran utama yang dihadapi keluarga pada masa ini berkait dengan kos sara hidup yang tinggi. Hal ini membuktikan bahawa golongan muda perlu merancang keluarga dengan lebih teliti kerana banyak dalam kalangan mereka masih berada pada fasa awal kerjaya dan belum mencapai kestabilan kewangan.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pula menunjukkan purata Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) bulanan bagi satu isi rumah ialah RM4,729 pada tahun 2023. Nilai ini lebih tinggi di kawasan bandar, iaitu RM5,040 berbanding dengan RM3,631 di luar bandar.
Selain itu, pertumbuhan gaji yang lebih perlahan berbanding dengan kenaikan harga barangan turut menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup. Jika sebelum ini perancangan keluarga dilihat sebagai tanggungjawab sosial, kini perancangan tersebut turut berfungsi sebagai strategi kewangan, khususnya bagi golongan muda.
Golongan ini cenderung untuk mempunyai bilangan anak yang kecil bagi memastikan mereka mampu menyediakan keperluan terbaik kepada anak-anak. Secara umumnya, kos membesarkan anak berbeza mengikut peringkat umur.
Menurut laporan sebuah syarikat insurans, kos membesarkan seorang anak dari lahir hingga tamat pengajian universiti di Malaysia boleh mencecah antara RM400,000 hingga RM1 juta. Kos ini merangkumi perbelanjaan bersalin, penjagaan, pendidikan awal hingga pendidikan tinggi.
Walaupun kos pendidikan tinggi merupakan komponen terbesar, kemudahan pinjaman pendidikan sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban ibu bapa. Namun begitu, kos yang lebih kritikal pada masa ini ialah kos penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak.
Keadaan ini menjadi lebih mencabar apabila kedua-dua ibu bapa bekerja dan memerlukan perkhidmatan pengasuh. Kadar upah pengasuh pula cenderung meningkat antara RM50 hingga RM100 dalam tempoh dua hingga tiga tahun dengan kadar tertinggi bagi bayi berusia bawah dua tahun. Beban kos ini kadangkala memaksa salah seorang ibu atau bapa berhenti kerja untuk menjaga anak.
Dalam konteks ini, isu perancangan keluarga dalam kalangan golongan muda wajar diberikan perhatian serius oleh kerajaan. Hal ini dikatakan demikian kerana trend tersebut boleh mempercepat peralihan Malaysia ke arah negara menua sedangkan pelbagai persediaan masih perlu diperkukuh. Tema Hari Penduduk Sedunia 2025, iaitu “Memperkasakan golongan muda untuk membentuk keluarga yang mereka inginkan dalam dunia yang adil dan penuh harapan” turut mencerminkan kepentingan isu ini pada peringkat global.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui LPPKN turut menyatakan komitmen untuk meningkatkan kesedaran terhadap isu kependudukan, termasuk kesihatan reproduktif, perubahan demografi dan kesejahteraan keluarga. Menteri berkenaan, YBhg. Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, menegaskan bahawa suara golongan muda perlu diberi perhatian kerana banyak dalam kalangan mereka masih berhasrat untuk berkeluarga, tetapi berdepan dengan kekangan seperti kos sara hidup, pekerjaan tidak stabil, serta kekurangan kemudahan penjagaan anak.
Sehubungan dengan itu, masalah ini memerlukan penyelesaian yang menyeluruh melalui penyediaan ekosistem yang menyokong golongan muda. Antara langkah yang dicadangkan termasuklah peluasan subsidi Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI), penyediaan kemudahan penjagaan anak, serta pelaksanaan cuti ibu bapa yang lebih fleksibel. Selain itu, kemudahan penjagaan anak di tempat kerja dan kawasan perumahan juga perlu dipertingkatkan pada kos yang berpatutan.
Tuntasnya, walaupun terdapat pandangan bahawa golongan muda merancang keluarga atas faktor gaya hidup dan kebebasan, realitinya tekanan kos sara hidup merupakan faktor utama yang mempengaruhi keputusan tersebut.
Oleh itu, kerajaan perlu menyediakan sistem sokongan yang lebih komprehensif bagi memastikan kesejahteraan keluarga dan kestabilan demografi negara terus terpelihara. Jika tidak ditangani dengan sewajarnya, negara berisiko berdepan dengan implikasi sosial dan ekonomi jangka masa panjang yang serius.