Diterbitkan pada 7 Mei 2026, 08:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dunia pada tahun 2026 menyaksikan peralihan paradigma yang ketara dalam sejarah tamadun manusia moden. Jika pada tahun 2020 masyarakat dipaksa berkurung di rumah akibat ancaman virus, pada tahun 2026 pula kediaman dipilih sebagai pusat operasi berikutan tekanan makroekonomi yang semakin mencengkam.

Dalam mendepani ketidaktentuan global yang menyaksikan pertembungan konflik geopolitik berpanjangan, inflasi yang meningkat dan ketidaktentuan rantaian bekalan, rumah tidak lagi sekadar tempat berteduh, sebaliknya berfungsi sebagai benteng terakhir dalam mengekalkan kedaulatan kewangan peribadi.

Secara mikroekonomi, bekerja dari rumah (BDR) menawarkan penjimatan yang signifikan. Dalam keadaan harga bahan api yang kerap meningkat akibat ketidaktentuan geopolitik, pengurangan kos pengangkutan merupakan suatu kelebihan yang nyata.

Keperluan menghadapi kesesakan lalu lintas, membayar tol, serta menanggung kos penyelenggaraan kenderaan dapat dikurangkan. Penjimatan juga berlaku daripada pengurangan perbelanjaan gaya hidup pejabat, seperti pakaian formal dan makan tengah hari di premis komersial.

Namun demikian, terdapat kos tersembunyi yang sering diabaikan. Apabila rumah berfungsi sebagai ruang kerja sepenuh masa, penggunaan utiliti seperti elektrik dan air meningkat. Selain itu, pekerja perlu menyediakan sendiri kemudahan digital, termasuk langganan Internet berkelajuan tinggi dan peralatan ergonomik. Kekurangan peralatan yang sesuai boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan seterusnya meningkatkan kos rawatan pada masa hadapan.

Perkembangan semasa turut mengubah landskap korporat. Banyak syarikat mengurangkan kebergantungan pada pejabat fizikal bagi menampung tekanan kos dan ketidaktentuan ekonomi global. Kos operasi yang sebelum ini tertumpu pada sewaan ruang pejabat dialihkan kepada penyediaan kemudahan digital atau elaun BDR. Keadaan ini mewujudkan fenomena ruang kerja hidup, iaitu sempadan antara ruang kerja dengan ruang peribadi yang semakin kabur.

Selain itu, BDR membuka peluang kepada mobiliti geografi. Pekerja tidak lagi terikat kepada lokasi bandar besar yang berkos tinggi seperti Kuala Lumpur atau Singapura. Mereka boleh memilih untuk menetap di kawasan yang mempunyai kos sara hidup lebih rendah tanpa menjejaskan pendapatan. Keadaan ini membolehkan peningkatan simpanan dan kestabilan kewangan dalam jangka masa panjang.

Walau bagaimanapun, aspek kesihatan tidak boleh diabaikan. Dalam ekonomi yang tidak menentu, kesihatan fizikal dan mental menjadi aset paling berharga. Ketiadaan sempadan masa kerja yang jelas boleh menyebabkan keletihan digital dan tekanan berpanjangan. Situasi ini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan individu, malah berpotensi meningkatkan kos rawatan kesihatan.

Dari sudut produktiviti, BDR mengalihkan penilaian kerja daripada kehadiran fizikal kepada hasil kerja. Masa yang sebelum ini digunakan untuk perjalanan harian boleh dimanfaatkan untuk aktiviti ekonomi tambahan selepas waktu bekerja seperti pekerjaan sambilan dalam ekonomi gig. Hal ini berpotensi menambah sumber pendapatan dan mengurangkan kesan inflasi terhadap isi rumah.

Namun begitu, persaingan dalam pasaran buruh menjadi semakin sengit. Pekerjaan yang boleh dilakukan secara jarak jauh membuka ruang kepada persaingan global, termasuk kemungkinan penggantian oleh teknologi kecerdasan buatan (AI). Oleh itu, peningkatan kemahiran dan pembelajaran berterusan menjadi keperluan bagi memastikan kebolehpasaran tenaga kerja kekal relevan.

Dalam menghadapi cabaran inflasi, amalan gaya hidup kalis inflasi wajar dipertimbangkan. Pendekatan ini merangkumi pelaburan dalam aset bernilai seperti emas dan hartanah, pengurangan kebergantungan kepada rantaian bekalan melalui pengeluaran kendiri, pembelian secara strategik, serta pengurusan hutang yang berhemah. Walaupun memerlukan komitmen dan kos permulaan, pendekatan ini mampu meningkatkan ketahanan kewangan individu.

Kesimpulannya, BDR bukanlah penyelesaian mutlak, sebaliknya satu pendekatan yang memerlukan pengurusan berdisiplin. Seperti peribahasa Melayu, “genggam bara api biar sampai jadi arang,” kejayaan bergantung pada keazaman dan kebijaksanaan individu mengurus sumber yang ada.

Dalam suasana ekonomi yang mencabar, keupayaan menyesuaikan diri menjadi faktor penentu kelangsungan. Kebijaksanaan masa kini tidak lagi diukur berdasarkan jumlah pendapatan semata-mata, tetapi pada keupayaan mengurus kewangan, serta mengekalkan kesejahteraan hidup secara menyeluruh.

Ahmad Nur Azam Ahmad Ridzuan, Pensyarah Kanan Sains Aktuari di Pusat Pengajian Sains Matematik, Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Universiti Teknologi MARA Shah Alam.

Kredit Foto: Freepik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi