Diterbitkan pada 3 Jun 2026, 08:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Isu subsidi bahan api, khususnya petrol RON95 kekal sebagai antara wacana utama dalam perdebatan ekonomi dan politik di Malaysia. Sejak hampir empat dekad lalu, rakyat menikmati harga petrol yang relatif rendah berbanding dengan kebanyakan negara lain hasil pelaksanaan subsidi yang meliputi RON95 dan diesel.

Subsidi ini bukan sekadar perbelanjaan kerajaan, sebaliknya berfungsi sebagai instrumen penting bagi meredakan tekanan kos sara hidup, menstabilkan perbelanjaan isi rumah, serta memastikan kelancaran rantaian pergerakan barang dan perkhidmatan meskipun berdepan dengan turun naik harga global.

Namun demikian, landskap ekonomi antarabangsa mutakhir ini berubah dengan ketara. Perkembangan geopolitik, khususnya konflik di Asia Barat yang melibatkan Israel dan Iran mendorong peningkatan harga minyak dunia ke paras yang tinggi.

Keadaan ini memberikan tekanan kepada sistem subsidi sedia ada, serta meningkatkan beban fiskal kerajaan. Oleh itu, masyarakat perlu diberikan kefahaman yang rasional terhadap situasi ini, bukan sekadar untuk menerima perubahan harga di pam, tetapi untuk memahami kekangan fiskal kerajaan, serta implikasinya terhadap ekonomi dan kehidupan harian.

Dalam konteks global, harga minyak mentah, terutamanya penanda aras Brent menunjukkan peningkatan ketara sejak kebelakangan ini. Pada Mac 2026, harga Brent pernah mencecah melebihi USD119 setong sebelum menyusut sedikit, namun masih kekal tinggi berbanding dengan tempoh sebelum konflik. Ketegangan antara Israel dengan Iran mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan bekalan, khususnya melibatkan laluan strategik seperti Selat Hormuz yang mengendalikan sebahagian besar perdagangan minyak dunia.

Selain itu, ketidaktentuan dalam pasaran global meningkatkan turun naik harga, serta menyukarkan jangkaan, manakala negara pengeluar lain tidak semestinya mempunyai kapasiti segera untuk menampung kekurangan bekalan. Keadaan ini menyebabkan harga minyak meningkat bukan sahaja kerana faktor permintaan dan penawaran, tetapi juga akibat ketidaktentuan geopolitik yang sukar diramal.

Di Malaysia, subsidi bahan api diperkenalkan sejak awal tahun 1980-an sebagai langkah mengurangkan kesan kenaikan harga minyak global. Dasar ini kemudiannya melalui proses rasionalisasi secara berperingkat bermula sekitar tahun 2010, sebelum subsidi pukal dimansuhkan pada tahun 2014 melalui pelaksanaan mekanisme harga apungan.

Walau bagaimanapun, selepas tahun 2018, kerajaan memperkenalkan semula bentuk subsidi terpilih dan kawalan harga bagi menstabilkan kos bahan api, khususnya bagi RON95 dan diesel. Hal ini menunjukkan bahawa dasar subsidi sentiasa berkait rapat dengan keadaan ekonomi dan pertimbangan dasar semasa. 

Pada masa ini, melalui inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95), kerajaan mengekalkan harga subsidi RON95 pada paras RM1.99 seliter bagi pengguna yang layak walaupun harga pasaran sebenar adalah jauh lebih tinggi dan tertakluk kepada pergerakan harga minyak global. Pendekatan ini mencerminkan usaha kerajaan untuk menyeimbangkan antara keperluan melindungi pengguna, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana dengan keperluan mengurangkan kebocoran subsidi, serta mengawal perbelanjaan negara.

Melalui rasionalisasi ini, perbelanjaan subsidi bahan api dapat dikurangkan dengan ketara, namun jumlah penjimatan sebenar berubah-ubah mengikut harga minyak global, kadar pertukaran ringgit, serta tahap penggunaan domestik. Penjimatan tersebut seterusnya boleh disalurkan kepada program sosial lain seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi membantu golongan yang memerlukan.

Walau bagaimanapun, realiti semasa menunjukkan bahawa subsidi bahan api tradisional semakin sukar untuk dikekalkan. Sebelum ini, subsidi RON95 menyumbang bahagian besar dalam perbelanjaan subsidi bahan api negara dengan jumlahnya meningkat ketara ketika harga minyak global melonjak.

Keadaan ini memberikan tekanan besar kepada kedudukan fiskal negara dan berpotensi menjejaskan peruntukan bagi sektor penting lain seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur. Dalam jangka masa panjang, beban subsidi yang terlalu besar boleh mengganggu keseimbangan fiskal, serta keupayaan negara membiayai keperluan pembangunan.

Sehubungan dengan itu, rasionalisasi subsidi dilaksanakan sebagai langkah penyesuaian dasar. Pendekatan ini menumpukan kepada pemberian subsidi secara bersasar berbanding dengan kaedah pukal yang dinikmati oleh semua pengguna tanpa mengira tahap pendapatan.

Melalui mekanisme penyasaran, subsidi disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, manakala kebocoran kepada pihak tidak layak dapat dikurangkan. Langkah ini bukan bertujuan menghapuskan subsidi sepenuhnya, tetapi untuk memastikan penggunaan sumber negara yang lebih cekap dan berkesan.

Dari sudut implikasi, pengurangan subsidi berpotensi meningkatkan harga petrol secara berperingkat selaras dengan harga pasaran global. Peningkatan ini seterusnya mempengaruhi kos pengangkutan dan harga barangan.

Kajian terdahulu menunjukkan bahawa kenaikan harga bahan api boleh menyumbang kepada peningkatan Indeks Harga Pengguna, sekali gus memberikan tekanan kepada pengguna, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang lebih terdedah kepada kenaikan kos sara hidup.

Walaupun demikian, perlu difahami bahawa Malaysia bukan sekadar pengguna minyak, tetapi juga pengeluar dan pengeksport minyak mentah. Namun begitu, negara masih bergantung pada import bahan api bertapis untuk kegunaan domestik, menjadikan harga tempatan tetap dipengaruhi oleh pasaran global.

Dalam situasi harga minyak dunia yang tinggi, subsidi menjadi semakin membebankan kerana kerajaan perlu menanggung perbezaan besar antara harga pasaran dengan harga subsidi. Jika keadaan ini berterusan tanpa penyesuaian, tekanan terhadap kedudukan kewangan negara boleh menjadi semakin serius.

Kesimpulannya, subsidi bahan api seperti RON95 memainkan peranan penting dalam menyokong kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi negara. Namun begitu, perubahan dalam persekitaran global, serta peningkatan beban fiskal menuntut penstrukturan semula dasar ini.

Rasionalisasi subsidi bukan mencerminkan pengabaian terhadap kebajikan rakyat, sebaliknya merupakan langkah berasaskan realiti ekonomi bagi memastikan kemampanan fiskal negara. Melalui pendekatan subsidi bersasar dan bantuan yang lebih efektif, golongan yang memerlukan masih dapat dilindungi, manakala sumber negara dapat diurus dengan lebih cekap. Kefahaman yang jelas terhadap hakikat ini penting agar perubahan dasar dapat dilihat sebagai usaha ke arah menjamin kestabilan ekonomi jangka masa panjang dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.

Penulis merupakan pengamal media sejak tahun 1979 sebelum bersara selepas lebih daripada tiga dekad berkhidmat. 

Kredit Foto: Freepik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi