Diterbitkan pada 1 Julai 2026, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Musim durian sentiasa membawa limpahan aktiviti ekonomi di kawasan pengeluar utama seperti Batu Kurau, Bukit Gantang, Raub dan Balik Pulau. Gerai jualan memenuhi bahu jalan, pusat pengumpulan hasil beroperasi dengan lebih aktif, manakala kehadiran pengunjung dari pelbagai daerah meningkatkan permintaan terhadap pelbagai perkhidmatan tempatan.

Bagi komuniti luar bandar, musim durian bukan sekadar musim pengeluaran buah, bahkan turut menjadi tempoh yang menyumbang kepada peningkatan pendapatan isi rumah. Pekebun, peniaga, pengusaha makanan, penyedia pengangkutan dan pengusaha penginapan antara pihak yang memperoleh manfaat daripada peningkatan aktiviti ekonomi tersebut. Fenomena ini menunjukkan bahawa industri durian mempunyai kesan pengganda ekonomi yang signifikan terhadap pembangunan tempatan.

Namun di sebalik kemeriahan musim durian, industri ini telah mengalami transformasi yang jauh lebih besar. Jika suatu ketika dahulu durian dianggap sebagai tanaman tradisional yang ditanam secara bercampur dengan tanaman lain di dusun kampung, kini industri ini berkembang menjadi komoditi bernilai tinggi yang mempunyai rantaian nilai domestik dan antarabangsa.

Perubahan ini dipacu oleh kemunculan varieti premium seperti Musang King, Duri Hitam dan Udang Merah, di samping peningkatan permintaan daripada pasaran luar negara, khususnya China. Durian Malaysia bukan sahaja dipasarkan dalam bentuk buah segar, malah diproses sebagai produk sejuk beku, pes dan puri bagi memenuhi keperluan pasaran eksport.

Menurut laporan BERNAMA, nilai eksport durian Malaysia ke China bagi tempoh tahun 2018 hingga pertengahan tahun 2025 mencecah RM6.37 bilion. Bermula Ogos 2024, Malaysia turut mengeksport durian segar biji ke negara tersebut dengan penghantaran awal sebanyak 501 tan metrik bernilai RM42 juta. Permintaan yang terus meningkat menjadikan China sebagai pasaran eksport paling penting bagi industri durian negara.

Perkembangan ini mengubah landskap industri dengan kemasukan lebih banyak pelabur, syarikat korporat dan usahawan baharu. Ladang berskala besar dibangunkan menggunakan teknologi moden dan sistem pengurusan yang lebih tersusun. Industri durian bukan lagi aktiviti pertanian tradisional semata-mata, sebaliknya berkembang sebagai sektor ekonomi yang melibatkan pengeluaran, pemprosesan, logistik, pemasaran dan eksport.

Tarikan utama industri ini ialah potensi pulangan yang tinggi. Sebatang pokok durian matang mampu menghasilkan puluhan sehingga ratusan biji buah dalam satu musim, manakala varieti premium boleh memberikan nilai hasil yang jauh lebih tinggi berbanding dengan tanaman tradisional lain. Faktor ini mendorong sebahagian pemilik tanah mencari alternatif kepada tanaman komoditi seperti getah dan kelapa sawit yang sering berdepan dengan turun naik harga.

Walau bagaimanapun, keuntungan dalam industri durian tidak diperoleh dalam tempoh singkat. Pokok durian memerlukan masa bertahun-tahun sebelum mencapai tahap pengeluaran optimum. Dalam tempoh tersebut, pekebun perlu menanggung kos penyelenggaraan, pembajaan, kawalan perosak dan tenaga kerja. Oleh itu, kejayaan industri ini bergantung pada modal, kesabaran dan keupayaan pengurusan yang berkesan.

Satu lagi perkembangan penting ialah kejayaan penjenamaan varieti tertentu, khususnya Musang King. Dari sudut ekonomi, Musang King menunjukkan kaedah nilai tambah boleh diwujudkan melalui penjenamaan yang berkesan. Pengguna bukan sekadar membeli buah, tetapi turut membeli reputasi, kualiti dan pengalaman yang dikaitkan dengan sesuatu varieti. Faktor ini membolehkan produk berkenaan memperoleh premium harga yang lebih tinggi berbanding dengan durian biasa.

Walaupun industri durian sering dikaitkan dengan keuntungan besar, manfaat ekonomi tidak diagihkan secara sama rata. Pengusaha ladang berskala besar lazimnya mempunyai akses yang lebih baik kepada modal, teknologi dan pasaran eksport. Sebaliknya, banyak pekebun kecil masih bergantung kepada peraih dan mempunyai kuasa tawar-menawar yang terhad dalam menentukan harga jualan.

Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai pengagihan nilai dalam rantaian industri durian. Dalam sesetengah keadaan, jurang antara harga yang diterima pekebun dengan harga yang dibayar pengguna akhir adalah ketara. Oleh itu, usaha memperkukuh koperasi, memperluas akses pasaran dan meningkatkan kemahiran pemasaran pekebun kecil perlu diberikan perhatian bagi memastikan pembangunan industri yang lebih inklusif.

Dari sudut risiko, industri durian turut berdepan dengan cabaran ketidakstabilan harga. Harga pasaran dipengaruhi oleh faktor musim, bekalan dan permintaan. Apabila pengeluaran meningkat secara serentak, harga boleh merosot dengan ketara. Oleh sebab durian mempunyai tempoh simpanan yang terhad, pekebun sering terpaksa menjual hasil dalam tempoh singkat walaupun harga kurang memuaskan.

Selain faktor pasaran, perubahan cuaca turut mempengaruhi pengeluaran. Corak hujan yang tidak menentu dan kejadian cuaca ekstrem boleh menjejaskan pembungaan, serta hasil pengeluaran. Risiko ini menunjukkan bahawa keuntungan tinggi yang sering dikaitkan dengan industri durian turut disertai ketidaktentuan yang perlu diurus dengan teliti.

Pergantungan yang tinggi pada pasaran China juga memerlukan perhatian. Walaupun pasaran tersebut menjadi pemacu utama pertumbuhan eksport, kebergantungan pada satu destinasi eksport boleh meningkatkan risiko sekiranya berlaku perubahan dasar import, kelembapan ekonomi atau gangguan perdagangan. Oleh itu, penerokaan pasaran baharu perlu dipergiat bagi mengukuhkan daya tahan industri dalam jangka masa panjang.

Pada masa yang sama, pembangunan industri durian perlu mengambil kira aspek kelestarian alam sekitar. Pembukaan kawasan tanaman secara tidak terkawal boleh menjejaskan biodiversiti, meningkatkan risiko hakisan dan memberikan tekanan terhadap sumber air. Oleh itu, amalan pertanian mampan perlu dijadikan sebahagian daripada strategi pembangunan industri bagi memastikan pertumbuhan ekonomi tidak mengorbankan keseimbangan alam sekitar.

Teknologi turut memainkan peranan yang semakin penting dalam meningkatkan produktiviti dan kecekapan industri. Penggunaan dron, sensor tanah, sistem pengairan pintar dan platform digital membolehkan pengusaha membuat keputusan yang lebih tepat. Teknologi pemprosesan pula membantu mempelbagaikan produk berasaskan durian dan mengurangkan kebergantungan pada jualan buah segar.

Secara keseluruhannya, industri durian telah berkembang daripada tanaman tradisional kepada komoditi strategik yang mempunyai nilai ekonomi tinggi. Potensinya bukan sahaja terletak pada hasil jualan buah, tetapi juga pada keupayaannya mewujudkan peluang pekerjaan, menjana eksport, merangsang pembangunan luar bandar dan mengembangkan industri hiliran.

Masa hadapan industri ini bergantung pada kemampuan semua pihak untuk mengimbangi keuntungan ekonomi dengan aspek kelestarian, keterangkuman dan daya saing global. Sekiranya cabaran tersebut dapat ditangani secara berkesan, industri durian berpotensi menjadi antara kisah kejayaan paling signifikan dalam transformasi sektor pertanian moden Malaysia.

Dr. Khairul Nizam Zainal Badri, penyelidik bebas.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi