Diterbitkan pada 11 Mei 2026, 08:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Keusahawanan wanita di Malaysia semakin mengukuhkan peranannya dalam ekosistem pembangunan negara, sejajar dengan aspirasi untuk membina ekonomi yang lebih inklusif dan berdaya saing. Walaupun wanita merangkumi hampir separuh daripada populasi, penyertaan mereka dalam bidang keusahawanan terus menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

Banci Ekonomi 2023 merekodkan sebanyak 219,015 perusahaan milik wanita bersamaan dengan 20.1 peratus daripada jumlah keseluruhan perusahaan, sekali gus mencerminkan perkembangan positif berbanding dengan tahun sebelumnya. Dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), wanita menguasai lebih daripada 17 peratus dengan pelibatan aktif dalam lebih daripada 241,000 perniagaan mikro dan kecil yang menjadi tunjang kepada ekonomi domestik.

Aspirasi keusahawanan dalam kalangan wanita Malaysia juga berada pada tahap yang tinggi dengan sekitar 80 peratus menyatakan minat untuk menceburi bidang ini, melebihi purata global. Dari sudut sumbangan ekonomi, perusahaan milik wanita menjana output kasar sebanyak RM136.9 bilion pada tahun 2022, serta mewujudkan hampir sejuta peluang pekerjaan.

Sektor perkhidmatan kekal dominan, namun penyertaan dalam sektor pembuatan dan pertanian turut menunjukkan peningkatan yang signifikan. Hal ini memperlihatkan bahawa keusahawanan wanita bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi turut memainkan peranan dalam pembangunan sosial dan komuniti secara lebih menyeluruh.

Komitmen kerajaan dalam memperkasakan usahawan wanita dapat dilihat melalui pelbagai dasar dan inisiatif yang dirangka secara strategik. Peruntukan sebanyak RM470 juta di bawah Belanjawan 2025 bagi pembiayaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) milik wanita mencerminkan keutamaan yang diberikan terhadap segmen ini.

Di samping itu, pelaksanaan program oleh agensi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), TalentCorp dan Strive Malaysia memberikan penekanan kepada pembangunan kemahiran, pemerkasaan digital, serta pengukuhan kapasiti keusahawanan.

Inisiatif seperti EmpowerHER Digital dan Wanita MyWira menjadi antara platform penting dalam meningkatkan keupayaan wanita dalam aspek teknologi, kepimpinan dan inovasi, sekali gus memperluas peluang penyertaan dalam ekonomi digital.

Dalam kerangka Ekonomi MADANI, keusahawanan wanita diangkat sebagai antara strategi utama untuk meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita kepada 60 peratus menjelang tahun 2033. Sasaran ini mencerminkan kepentingan memperluas pelibatan wanita dalam aktiviti ekonomi sebagai pemacu pertumbuhan negara.

Dengan persekitaran dasar yang lebih kondusif dan usaha bersepadu untuk menangani halangan struktur, keusahawanan wanita berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang lebih mampan dan progresif.

Perkembangan semasa menunjukkan bahawa keusahawanan wanita di Malaysia terus berkembang secara konsisten. Data menunjukkan peningkatan bilangan perusahaan milik wanita daripada 187,265 pada tahun 2016 kepada 219,015 pada tahun 2023. Dalam tempoh yang sama, peranan wanita dalam sektor PKS turut mengukuh dengan pelibatan lebih daripada 185,000 perusahaan.

Sumbangan ekonomi yang dihasilkan juga signifikan dengan PKS milik wanita menjana output sebanyak RM89.3 bilion dan nilai tambah RM44.3 bilion, di samping mewujudkan lebih daripada 979,000 peluang pekerjaan dengan jumlah gaji mencecah RM20.5 bilion. Angka ini mencerminkan impak besar keusahawanan wanita terhadap struktur ekonomi negara.

Walau bagaimanapun, taburan perusahaan wanita masih tertumpu di beberapa negeri utama seperti Selangor, Sabah, Kelantan, Kuala Lumpur dan Johor yang menyumbang lebih separuh daripada keseluruhan perusahaan milik wanita. Pada masa yang sama, jurang gender dalam keusahawanan dan pasaran buruh masih ketara. Wanita hanya mewakili sekitar satu perlima daripada jumlah usahawan, manakala kadar penyertaan tenaga kerja wanita kekal lebih rendah berbanding dengan lelaki.

Indeks Jurang Gender Malaysia 2024 yang mencatat skor 0.708 menunjukkan bahawa walaupun terdapat kemajuan, masih terdapat ruang penambahbaikan khususnya dalam dimensi ekonomi dan pemerkasaan politik.

Dari sudut struktur ekonomi, sektor perkhidmatan terus mendominasi dengan lebih 90 peratus perniagaan milik wanita tertumpu dalam sektor tersebut, khususnya dalam perdagangan borong dan runcit, serta makanan dan minuman. Walaupun perkembangan ekonomi digital membuka peluang baharu, penyertaan wanita dalam e-dagang masih ketinggalan berbanding dengan lelaki. Ketidakseimbangan ini mencerminkan kewujudan jurang dalam pemanfaatan teknologi yang perlu ditangani bagi memastikan wanita tidak tercicir dalam arus digitalisasi ekonomi.

Dalam konteks dasar, kerajaan memperkenalkan pelbagai instrumen pembiayaan dan sokongan bagi memperkukuh keupayaan usahawan wanita. Hal ini termasuk penyediaan pinjaman mikro, jaminan kredit, serta kemudahan pembiayaan bagi tujuan digitalisasi dan teknologi hijau. Geran padanan digitalisasi turut disediakan bagi membantu perusahaan mengadaptasi teknologi dalam operasi perniagaan.

Selain itu, program pembangunan kapasiti seperti Wanita MyWira dan EmpowerHER Digital memberikan tumpuan kepada peningkatan kemahiran, strategi digital dan kerjasama industri. Pendekatan ini dilihat sebagai usaha menyeluruh untuk membina ekosistem keusahawanan wanita yang lebih inklusif dan berdaya tahan.

Namun demikian, cabaran yang dihadapi oleh usahawan wanita masih bersifat kompleks dan berlapis. Antara isu utama termasuklah kekangan masa akibat tanggungjawab domestik yang tidak seimbang mengehadkan keupayaan wanita untuk mengembangkan perniagaan secara optimum.

Selain itu, jurang literasi digital terus menjadi penghalang kepada pemanfaatan teknologi secara strategik dalam perniagaan. Banyak usahawan wanita masih bergantung pada penggunaan asas teknologi tanpa memaksimumkan potensi dalam pemasaran digital, analitik data dan e-dagang.

Dari perspektif kewangan, akses kepada pembiayaan masih menjadi cabaran utama. Walaupun pelbagai skim telah diperkenalkan, kekangan birokrasi dan tahap literasi kewangan yang terhad menghalang sebahagian usahawan daripada memanfaatkan kemudahan yang tersedia.

Tambahan pula, fokus yang lebih tertumpu pada pembiayaan peringkat awal tanpa sokongan bagi penskalaan perniagaan menjejaskan keupayaan untuk berkembang ke tahap yang lebih tinggi. Faktor sosial seperti stereotaip gender dan kekurangan sokongan institusi turut memberikan kesan terhadap penyertaan wanita dalam keusahawanan, khususnya di kawasan luar bandar.

Dalam persekitaran pasaran yang semakin kompetitif, usahawan wanita juga berdepan dengan tekanan persaingan yang tinggi, terutama dalam sektor e-dagang yang semakin sesak. Mereka turut berhadapan dengan cabaran operasi seperti pengurusan logistik, pematuhan pensijilan, serta perubahan corak permintaan pengguna.

Di samping itu, kelemahan dalam penyelarasan program sokongan dan kekurangan pendekatan yang mengambil kira realiti kehidupan wanita turut mengurangkan keberkesanan inisiatif yang dilaksanakan.

Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, kejayaan beberapa tokoh usahawan wanita tempatan membuktikan bahawa potensi untuk berkembang adalah besar. Kejayaan ini banyak didorong oleh keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran, penggunaan teknologi secara kreatif, serta pembinaan jenama yang kukuh. Dalam konteks ini, inovasi dan tanggungjawab sosial menjadi elemen penting yang bukan sahaja meningkatkan daya saing, tetapi juga memperkukuh kepercayaan pengguna.

Peranan rangkaian dan bimbingan profesional juga semakin diiktiraf sebagai faktor penting dalam kejayaan keusahawanan wanita. Akses kepada mentor, komuniti dan platform kolaborasi membolehkan perkongsian ilmu, serta pembinaan jaringan pasaran yang lebih luas. Program pembangunan keusahawanan yang berasaskan bimbingan telah terbukti meningkatkan keupayaan pengurusan, literasi kewangan dan kemahiran digital dalam kalangan usahawan wanita.

Transformasi digital turut membuka peluang baharu dalam memperluas capaian pasaran dan meningkatkan kecekapan operasi perniagaan. Walaupun penembusan Internet dan penggunaan teknologi mudah alih tinggi, jurang penyertaan dalam e-dagang menunjukkan bahawa potensi ini masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.

Dalam masa yang sama, perkembangan teknologi kewangan seperti e-dompet dan sistem pembayaran digital menyediakan alternatif yang lebih fleksibel dalam pengurusan aliran tunai, namun penggunaannya dalam kalangan usahawan wanita masih boleh dipertingkatkan.

Selain sektor digital, bidang pertanian moden juga menawarkan ruang baharu kepada penyertaan wanita melalui penggunaan teknologi yang mengurangkan kebergantungan pada tenaga fizikal. Perkembangan ini membuka peluang kepada diversifikasi perniagaan dan pelibatan yang lebih meluas dalam sektor berimpak tinggi.

Melangkah ke hadapan, keusahawanan wanita dijangka terus berkembang seiring dengan peningkatan penyertaan dalam ekonomi digital, pengukuhan rangkaian sokongan serta penekanan terhadap amalan perniagaan lestari. Peningkatan literasi kewangan dan penggunaan teknologi lanjutan seperti automasi dan kecerdasan buatan turut dijangka menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan perniagaan milik wanita.

Dalam hal ini, pendekatan dasar yang lebih holistik dan responsif terhadap keperluan wanita amat diperlukan. Usaha untuk menangani kekangan masa, meningkatkan akses kepada pembiayaan, memperkukuh literasi digital, serta membina ekosistem sokongan yang inklusif perlu dilaksanakan secara bersepadu. Penambahbaikan dalam penyelarasan antara agensi serta reka bentuk program yang lebih sensitif kepada realiti kehidupan wanita akan meningkatkan keberkesanan dasar sedia ada.

Secara keseluruhan, keusahawanan wanita di Malaysia bukan sekadar fenomena ekonomi, tetapi merupakan pemacu penting kepada transformasi struktur ekonomi dan sosial negara. Sumbangan yang signifikan dalam penjanaan output dan peluang pekerjaan membuktikan peranan strategik wanita dalam pembangunan negara.

Dengan sokongan dasar yang kukuh, pemerkasaan kemahiran, serta jaringan yang mantap, usahawan wanita berpotensi menjadi tonggak utama dalam membentuk ekonomi Malaysia yang lebih inklusif, inovatif dan mampan pada masa hadapan.

Profesor Madya Dr. Anita Ismail, Pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia dan Dr. Sharbani Harun, perunding bebas di sebuah syarikat milik kerajaan.

Kredit Foto: Freepik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi