Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam tempoh antara tahun 2021 hingga tahun 2025, Malaysia berdepan dengan beberapa siri bencana banjir besar yang memberikan kesan mendalam terhadap kesejahteraan rakyat, struktur ekonomi, serta kestabilan sosial negara.
Bermula dengan banjir besar pada 18 Disember 2021 diikuti dengan banjir susulan pada 11 April dan 23 April 2025, serta kejadian terbaharu pada 24 November 2025 jelas menunjukkan bahawa banjir bukan lagi peristiwa terpencil. Sebaliknya, krisis ini membentuk pola kejadian yang berulang dan semakin meruncing. Kesinambungan ini membuktikan bahawa Malaysia sedang berhadapan dengan krisis iklim dan kelemahan infrastruktur yang menuntut tindakan segera, sistematik dan bersepadu.
Banjir yang berlaku di kawasan tumpuan ekonomi seperti Klang, Shah Alam, Petaling, Puchong dan sebahagian Lembah Klang menggugat rutin harian rakyat dan memberikan kesan langsung kepada produktiviti pekerja, serta prestasi ekonomi. Banyak pekerja gagal hadir ke tempat kerja akibat jalan ditutup, kenderaan rosak, rumah dinaiki air atau terpaksa berpindah ke pusat pemindahan. Kawasan ini merupakan nadi industri, perkhidmatan dan perniagaan kecil, justeru gangguan trafik, penutupan laluan dan kelewatan penghantaran menjejaskan operasi perusahaan daripada sektor pembuatan hingga logistik, serta perniagaan mikro.
Kerosakan infrastruktur seperti jalan raya, utiliti, saliran dan premis perniagaan turut menyebabkan gangguan operasi, sekali gus menurunkan produktiviti pekerja yang tidak dapat hadir bekerja atau bekerja dalam keadaan terbatas. Beban kewangan yang ditanggung syarikat untuk membaiki kerosakan, mengganti inventori dan menampung kos pemulihan, termasuk kerugian besar sekitar RM6.5 bilion dalam banjir tahun 2021 mengurangkan modal untuk pelaburan, inovasi dan pengembangan perniagaan. Keadaan ini secara langsung memperlahankan pertumbuhan ekonomi negara.
Dalam kalangan rakyat pula, banjir besar memberikan tekanan ekonomi yang ketara apabila harta benda musnah, kos pembaikan meningkat, pendapatan terputus dan simpanan terhakis untuk menampung keperluan asas seperti makanan, kediaman dan kesihatan. Beban kewangan ini bukan sahaja mengganggu kestabilan hidup, malah memberikan kesan emosi yang serius.
Banyak pekerja terpaksa mengambil cuti kecemasan, bekerja dalam keadaan tidak stabil atau kehilangan pendapatan sementara. Tekanan mengurus kerugian, menjaga keselamatan keluarga, serta berhadapan ketidakpastian masa hadapan menjejaskan tumpuan, motivasi dan kehadiran ke tempat kerja. Akhirnya, gabungan tekanan mental dan ekonomi menyumbang kepada penurunan produktiviti pekerja yang seterusnya menjejaskan kelancaran operasi organisasi dan ekonomi tempatan.
Banjir berulang turut meninggalkan kesan trauma yang besar. Kanak-kanak yang menyaksikan kenaikan air secara mendadak mengalami ketakutan mendalam, manakala orang dewasa terus hidup dalam kebimbangan setiap kali hujan lebat. Jika tidak ditangani, tekanan psikologi ini boleh mengurangkan kecekapan kerja, kreativiti, serta kesihatan mental dan fizikal dalam jangka masa panjang.
Dari sudut makroekonomi, ketidakstabilan perniagaan akibat banjir seperti gangguan rantaian bekalan dan kerosakan premis meningkatkan risiko operasi, sekali gus mengurangkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara. Pelabur cenderung menangguhkan pelaburan atau memindahkan modal dalam pasaran yang lebih stabil apabila kos pemulihan meningkat dan risiko persekitaran perniagaan tidak menentu.
Natijahnya, peluang pekerjaan baharu berkurang, produktiviti menurun dan keupayaan syarikat untuk melabur dalam teknologi atau latihan pekerja menurun. Dalam masa yang sama, pekerja turut terkesan melalui pengurangan jam kerja, pemotongan gaji atau risiko kehilangan pekerjaan, sedangkan mereka sendiri berhadapan tekanan kewangan akibat banjir.
Banjir besar juga memberikan implikasi fiskal yang signifikan kepada negara. Kos pemulihan, bantuan mangsa, serta pembaikan infrastruktur meningkatkan beban perbelanjaan kerajaan, sekali gus mengurangkan ruang fiskal untuk pelaburan produktif dalam pendidikan, kesihatan dan pembangunan ekonomi. Secara keseluruhannya, banjir bukan lagi soal kerosakan harta semata-mata, tetapi menjadi krisis produktiviti, ekonomi dan sosial yang menuntut perhatian segera, serta tindakan menyeluruh.
Malaysia perlu menilai semula strategi pengurusan banjir dengan mempertimbangkan amalan terbaik negara luar. Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang diumumkan kerajaan harus dilaksanakan secara serius dan telus dengan garis masa yang jelas, serta pemantauan ketat.
Belanda merupakan contoh unggul melalui pendekatan “Room for the River” yang membuka ruang semula jadi untuk sungai melimpah secara terkawal ke kawasan rizab air, kolam takungan dan terusan buatan. Malaysia boleh mencontohi strategi ini dengan mengutamakan RTB yang bersifat holistik serta menggunakan teknologi seperti Building Information Modeling (BIM) bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan pelaksanaan projek.
Penggunaan teknologi ramalan dan pemetaan moden juga perlu diperkasakan. Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan sistem ramalan cuaca berasaskan kecerdasan buatan (AI) boleh membantu mengenal pasti kawasan berisiko tinggi dan memberikan amaran awal kepada rakyat.
Jepun membuktikan keberkesanan sistem amaran masa nyata yang memanfaatkan satelit, radar dan pemprosesan data AI untuk menghasilkan maklumat tepat dan segera. Malaysia perlu membangunkan sistem amaran banjir masa nyata yang boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat melalui aplikasi mudah alih, serta pengumuman awam yang efisien.
Konsep pembangunan bandar span juga wajar diintegrasikan dalam perancangan bandar. China melaksanakannya di bandar seperti Wuhan dan Shenzhen melalui pembinaan permukaan menyerap air, taman hujan dan sistem saliran mampan (SUDS) yang berjaya mengurangkan risiko banjir.
Malaysia tidak boleh lagi membenarkan pembangunan yang menimbus kawasan tadahan air tanpa imbangan ekologi yang wajar. Kawasan hijau perlu dipulihkan, kolam takungan diwujudkan semula dan pembangunan bandar mesti berteraskan rasional mampan, bukan keuntungan jangka masa pendek.
Di samping itu, pendidikan awam perlu diperkukuh agar masyarakat lebih bersedia menghadapi bencana. Filipina dan Indonesia memulakan program “Community-Based Disaster Risk Management” yang melatih penduduk kampung menangani bencana secara mandiri. Di Malaysia, masjid, surau dan dewan komuniti berpotensi menjadi pusat maklumat, serta bantuan bencana yang berfungsi sepenuhnya dengan latihan simulasi dijalankan secara berkala.
Kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan juga wajar menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Khas Menangani Banjir Selangor yang benar-benar berfungsi, dianggotai pakar teknikal, wakil komuniti dan agensi penyelamat. Dana pengurusan banjir mesti disalurkan secara tepat dan dipantau melalui sistem audit terbuka yang telus.
Korea Selatan dan Jerman membuktikan bahawa sistem pengurusan bencana yang berasaskan ketelusan dan keterlibatan rakyat mampu mengurangkan impak bencana secara signifikan. Malaysia juga mampu mencapai tahap ini sekiranya kepimpinan mengutamakan kecekapan, integriti dan tanggungjawab.
Kesimpulannya, Malaysia berada dalam kitaran bencana berulang yang berpotensi menyebabkan kerugian ekonomi, tekanan psikologi dan ketegangan sosial yang semakin meningkat. Banyak negara telah membuktikan bahawa bencana boleh dikawal melalui perancangan jangka masa panjang yang berasaskan data, teknologi dan tadbir urus berintegriti.
Malaysia juga mampu melangkah ke arah itu sekiranya tindakan diambil secara konsisten, menyeluruh dan serius. Jika kelemahan berterusan selepas siri banjir besar ini, generasi akan datang berisiko mewarisi sebuah negara yang masih rendah tahap ketahanannya.
Dr. Norhanishah Mohamad Yunus, Pensyarah Kanan, Bahagian Ekonomi di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.