Diterbitkan pada 6 April 2026, 08:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Persoalan ini kerap dibangkitkan, khususnya dalam kalangan generasi muda yang berdepan dengan kenaikan harga rumah dan kekangan pendapatan permulaan kerjaya. Dengan gaji minimum sekitar RM1,700 dan kos sara hidup yang semakin mencabar, pemilikan hartanah secara langsung sering dianggap memerlukan komitmen kewangan yang besar. Namun demikian, perkembangan pasaran modal dan inovasi kewangan membuka alternatif baharu melalui instrumen Amanah Pelaburan Hartanah Islam (i-REIT).

Melalui i-REIT, pelabur berpeluang memiliki pegangan dalam aset hartanah komersial tanpa perlu menyediakan deposit yang tinggi sebagaimana pembelian hartanah secara langsung. Unit i-REIT didagangkan di Bursa Malaysia dan dapat dibeli pada kuantiti minimum satu lot bersamaan 100 unit. Dengan harga unit yang relatif mampu milik, pelabur muda berupaya memulakan pelaburan dengan modal yang lebih rendah, serta mengembangkan pegangan secara berperingkat.

Menurut laporan tahunan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, setakat 31 Oktober 2025 industri REIT di Malaysia merangkumi 20 entiti, dengan lima daripadanya berstatus i-REIT, iaitu Al-‘Aqar Healthcare REIT, Axis REIT, KLCC REIT, Al-Salam REIT dan AME REIT. Bagi tempoh kewangan berakhir 31 Disember 2024, industri ini merekodkan jumlah nilai aset melebihi RM70 bilion dengan permodalan pasaran hampir RM49 bilion. Perkembangan ini menunjukkan bahawa i-REIT merupakan sebahagian penting daripada ekosistem pasaran modal negara, serta berpotensi menjadi instrumen pelaburan jangka masa panjang yang berdaya saing.

Secara umumnya, i-REIT menawarkan beberapa kelebihan. Pertama, sifatnya yang lebih mampu milik membolehkan pemilikan aset hartanah berkualiti melalui pelaburan kolektif. Yang kedua, pelabur berpeluang menerima agihan pendapatan secara berkala hasil sewaan hartanah yang diuruskan oleh pengurus profesional. Yang ketiga, kepelbagaian portfolio yang merangkumi hospital, pejabat, pusat beli-belah atau hartanah perindustrian membantu mengurangkan risiko berbanding dengan pemilikan satu hartanah secara individu. Selain itu, status patuh syariah memberikan nilai tambah kepada pelabur yang mengutamakan prinsip pelaburan beretika.

Strategi Asas Pelaburan i-REIT

Bagi pelabur baharu, khususnya golongan muda, pendekatan yang berdisiplin amat penting. Tiga strategi asas yang berikut boleh dipertimbangkan:

  1. Pemurataan Kos Ringgit (DCA)
    Strategi ini melibatkan pembelian unit secara konsisten pada jumlah pelaburan tetap tanpa mengambil kira turun naik harga pasaran. Melalui pendekatan ini, pelabur berpotensi memperoleh kos purata yang lebih seimbang kerana membeli lebih banyak unit ketika harga rendah dan kurang unit ketika harga tinggi. Di samping membina disiplin, kaedah ini mengurangkan tekanan untuk menentukan masa terbaik memasuki pasaran.
  2. Pelaburan Semula Dividen (DRP)
    Dividen yang diterima boleh dilaburkan semula untuk menambah jumlah unit pegangan. Amalan ini membolehkan kesan pengkompaunan berlaku, iaitu dividen pada masa hadapan dikira berdasarkan jumlah unit yang semakin bertambah. Dalam jangka masa panjang, strategi ini berpotensi meningkatkan nilai pelaburan secara lebih mampan berbanding sekadar mengeluarkan dividen untuk perbelanjaan semasa.
  3. Penilaian Hasil Pengagihan (Dividend Yield)
    Sebelum membuat keputusan pelaburan, pelabur wajar menilai prestasi melalui indikator seperti hasil pengagihan pendapatan. Hasil pengagihan dikira dengan membahagikan jumlah agihan tahunan dengan harga pasaran semasa, kemudian didarab 100 peratus. Perbandingan antara beberapa i-REIT menunjukkan kadar hasil yang berbeza-beza bergantung pada harga unit, struktur aset dan prestasi pengurusan. Walau bagaimanapun, kadar hasil yang lebih tinggi tidak semestinya mencerminkan risiko yang lebih rendah. Pelabur perlu menilai saiz aset, kadar penghunian, struktur hutang dan prospek sektor hartanah yang terlibat.

Seperti instrumen pelaburan lain, i-REIT turut terdedah kepada risiko. Antaranya termasuklah perubahan kadar faedah seperti Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang boleh mempengaruhi kos pembiayaan dan sentimen pasaran. Faktor ekonomi makro, termasuk kelembapan ekonomi atau krisis kesihatan global juga boleh menjejaskan kadar sewaan dan tahap penghunian hartanah. Selain itu, pelabur tidak terlibat secara langsung dalam keputusan pengurusan, justeru keupayaan dan integriti pengurus dana menjadi aspek penting yang perlu dinilai.

Secara keseluruhannya, i-REIT merupakan satu daripada alternatif pelaburan yang berpotensi membuka ruang pemilikan aset hartanah kepada golongan muda tanpa komitmen hutang jangka masa panjang yang tinggi. Dengan pendekatan berdisiplin, penilaian yang teliti, serta pemahaman terhadap risiko, pelabur muda boleh menjadikan i-REIT sebagai sebahagian daripada strategi pembinaan kekayaan jangka masa panjang.

Dalam era ekonomi digital yang semakin berkembang, literasi kewangan dan keupayaan membuat keputusan pelaburan secara berinformasi merupakan asas penting untuk memperkukuh kedudukan kewangan generasi muda. Pelaburan yang dirancang dengan baik bukan sahaja menyokong kestabilan individu, malah menyumbang kepada pengukuhan pasaran modal dan pembangunan ekonomi negara secara keseluruhan.

 

Kredit Foto: Freepik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi