Diterbitkan pada 2 Mac 2026, 08:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dunia kewangan masa kini tidak lagi bersifat eksklusif kepada golongan berpendapatan tinggi atau mereka yang bekerja dalam sektor korporat semata-mata. Perkembangan pesat teknologi kewangan (fintech) di Malaysia membuka ruang yang lebih luas kepada pelabur runcit untuk membina simpanan jangka masa panjang secara mudah dan fleksibel melalui platform digital yang dekat dengan kehidupan seharian.

Jika suatu ketika dahulu pelaburan unit amanah memerlukan borang fizikal, serta pertemuan bersemuka dengan ejen, kini proses tersebut dapat dilaksanakan sepenuhnya melalui beberapa sentuhan di telefon pintar.

Satu daripada platform yang semakin mendapat perhatian ialah GOinvest yang ditawarkan dalam aplikasi Touch ‘n Go eWallet. Melalui platform ini, instrumen unit amanah boleh diakses oleh orang ramai secara sah dan selamat. Kesedaran semakin meningkat bahawa baki e-dompet bukan sekadar berfungsi sebagai alat pembayaran, malah boleh dimanfaatkan untuk menjana potensi pulangan pelaburan.

Namun demikian, masih terdapat kekeliruan dalam kalangan masyarakat awam tentang konsep sebenar GOinvest, khususnya sama ada pelaburan yang ditawarkan berbentuk saham atau unit amanah, di samping persoalan berkaitan dengan tahap keselamatan dan pematuhan syariah.

Unit Amanah dalam Platform Digital

Pelaburan yang ditawarkan melalui GOinvest sebenarnya ialah unit amanah, bukannya pelaburan saham secara langsung. Perbezaan utama antara kedua-duanya terletak pada struktur pengurusan dana. Melalui GOinvest, pelabur membeli unit dalam satu dana terkumpul yang diuruskan oleh pengurus dana profesional, iaitu Principal Asset Management Berhad. Dana ini dihimpunkan daripada ribuan pelabur lain sebelum dilaburkan ke dalam portfolio aset yang pelbagai, merangkumi ekuiti, sukuk dan instrumen pendapatan tetap.

Pendekatan ini membolehkan risiko pelaburan dikurangkan melalui konsep kepelbagaian (diversifikasi). Berbeza daripada pelaburan saham individu yang memerlukan pemantauan harga secara kerap, unit amanah diuruskan sepenuhnya oleh pengurus dana bertauliah bagi pihak pelabur.

Oleh itu, instrumen ini menawarkan pendekatan pelaburan yang lebih pasif dan sesuai untuk individu yang mempunyai kekangan masa tetapi masih ingin melihat pertumbuhan modal secara berperingkat.

Modal Rendah dan Kemudahan Akses

Satu daripada kelebihan utama GOinvest ialah keperluan modal permulaan yang rendah serta akses yang mudah. Pengguna hanya perlu membuka aplikasi Touch ‘n Go eWallet, memilih menu GOinvest dan seterusnya memilih dana unit amanah yang ditawarkan.

Terdapat pelbagai pilihan dana, termasuk dana patuh syariah yang dilabelkan dengan jelas. Pelaburan boleh dimulakan dengan jumlah serendah RM10, sekali gus membuka peluang kepada pelajar, suri rumah dan golongan berpendapatan sederhana untuk memulakan tabiat melabur secara konsisten.

Ciri ini amat signifikan kerana membantu meruntuhkan halangan kewangan yang sering menjadi kekangan utama kepada golongan berpendapatan rendah. Secara tidak langsung, inisiatif ini menyumbang kepada peningkatan tahap literasi kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Memahami Portfolio dan Risiko Pelaburan

Sebagai pelabur yang berhemah, pemahaman terhadap hala tuju dana yang dilaburkan adalah amat penting. Antara kekuatan utama unit amanah dalam platform GOinvest termasuklah konsep diversifikasi yang membantu mengurangkan risiko kerugian menyeluruh.

Sebagai contoh, dana seperti Principal Global Titans Fund tidak menumpukan pelaburan kepada satu syarikat sahaja, sebaliknya melabur dalam beberapa syarikat teknologi global seperti Apple, Microsoft dan Amazon. Sekiranya prestasi satu daripada syarikat menurun, prestasi syarikat lain dalam portfolio tersebut berpotensi mengimbangi kesan kerugian.

Selain itu, platform GOinvest turut membantu pelabur memilih dana berdasarkan profil risiko masing-masing. Secara umumnya, dana dibahagikan kepada tiga kategori utama, iaitu konservatif, sederhana dan agresif.

Bagi pelabur baharu, dana konservatif seperti dana pasaran wang (money market fund) menawarkan risiko yang rendah dan cirinya hampir menyerupai simpanan tetap. Dana kategori sederhana pula melibatkan gabungan pelaburan dalam ekuiti dan instrumen pendapatan tetap.

Bagi pelabur yang menyasarkan pulangan lebih tinggi dalam jangka masa panjang, dana kategori agresif boleh dipertimbangkan. Namun demikian, pelabur perlu bersedia menghadapi turun naik nilai pelaburan yang lebih ketara.

Sebagai contoh, dana Principal Islamic Enhanced Opportunities Fund (Class D) mencatatkan pulangan setahun sebanyak 22.14 peratus setakat Januari 2025. Walau bagaimanapun, prestasi sedemikian tertakluk kepada keadaan pasaran dan tidak menjamin pulangan masa hadapan. Oleh itu, pemahaman terhadap hubungan antara risiko dan pulangan merupakan asas penting sebelum seseorang memulakan pelaburan.

Pelaburan Unit Amanah Patuh Syariah

Bagi masyarakat Malaysia, khususnya pelabur Muslim, pematuhan syariah merupakan kriteria utama dalam membuat keputusan pelaburan. Dana patuh syariah dalam platform GOinvest dilabelkan dengan jelas, sekali gus memberikan keyakinan bahawa pelaburan tersebut bebas daripada unsur yang dilarang dalam Islam. Dari sudut syariah, dana ini mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Pemilihan dana patuh syariah bukan sekadar mengikut trend, sebaliknya merupakan tanggungjawab bagi memastikan pengurusan harta bebas daripada unsur riba, maysir dan gharar. Pelaburan sedemikian selari dengan prinsip maqasid syariah, khususnya aspek hifz al-mal atau perlindungan harta dengan memastikan dana disalurkan kepada aktiviti ekonomi yang halal dan beretika.

Secara keseluruhannya, transformasi pelaburan unit amanah ke dalam platform digital seperti GOinvest merupakan satu langkah progresif dalam memperkasakan literasi kewangan rakyat Malaysia. Walaupun pelaburan ini berpotensi menawarkan pulangan yang kompetitif, pelabur perlu sedar bahawa pulangan yang tinggi lazimnya disertai dengan tahap risiko yang lebih besar.

Dengan pemahaman yang betul, pemilihan dana yang sesuai serta disiplin pelaburan yang konsisten, unit amanah digital berupaya membantu masyarakat membina kekayaan secara berperingkat tanpa mengabaikan prinsip syariah. Dengan modal permulaan serendah RM10, peluang untuk merancang masa depan kewangan yang lebih stabil berada dalam genggaman pelabur runcit dalam era ekonomi digital.

Kredit Foto: Freepik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi