Diterbitkan pada 29 Julai 2025, 10:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hampir setiap hari media massa menyiarkan berita berkaitan dengan penipuan pelaburan yang berlaku di negara ini. Penipuan ini tidak mengenal pangkat, tahap pendidikan, jantina, kaum mahupun usia. Penipu atau scammer bijak memanipulasi emosi mangsa dengan tawaran keuntungan cepat dan luar biasa. Modus operandi sebegini kerap digunakan untuk menjerat individu yang ingin menjadi kaya dalam tempoh yang singkat. Seperti pepatah Melayu menyebut, “untung hanya secupak, rugi bergantang-gantang”, pelaburan yang disangka menguntungkan akhirnya membawa kerugian besar. Lebih menyedihkan, bukan sahaja keuntungan tidak diperoleh, bahkan modal pelaburan turut lesap sepenuhnya.

Oleh itu, masyarakat perlu mengetahui tentang perbezaan antara pelaburan sah dengan pelaburan tidak sah yang semakin berleluasa di negara ini. Pemahaman terhadap maksud pelaburan serta implikasi kerugian akibat penipuan menjadi asas penting bagi menilai bentuk pelaburan yang diceburi.

Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, “pelaburan” ditakrifkan sebagai sejumlah wang yang dilaburkan dalam sesuatu usaha niaga bagi memperoleh keuntungan atau sebagai penanaman modal. Dalam konteks kewangan, pelaburan bertujuan menambah nilai wang sedia ada dengan membeli pada harga rendah dan menjual pada harga tinggi seperti menerusi aset hartanah atau saham. Sebaliknya, “melebur” bermaksud menjadi rosak, musnah atau binasa yang sinonim dengan kehilangan. Dalam konteks ini, melebur merujuk kehilangan wang akibat pelaburan yang salah atau terlibat dalam penipuan. Dalam dunia pelaburan, seseorang hanya mempunyai dua pilihan sama ada melabur dengan bijak atau melebur tanpa sedar.

Prinsip Asas Sebelum Melabur

Pelaburan yang berjaya memerlukan disiplin dan kefahaman yang mendalam. Antara prinsip utama yang perlu diberi perhatian termasuklah keperluan untuk memiliki ilmu dan pemahaman terhadap risiko. Pengetahuan merupakan asas utama dalam apa jua bentuk pelaburan sama ada dalam hartanah, saham, emas, mahupun mata wang kripto. Sebagai contoh, pelaburan saham memerlukan pemahaman terhadap analisis fundamental dan analisis teknikal. Kedua-dua kaedah ini membantu pelabur membuat keputusan berdasarkan data dan maklumat yang sahih, bukan semata-mata berdasarkan spekulasi. Hal ini demikian kerana pergerakan harga saham boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor sama ada dalaman mahupun luaran. Antaranya termasuklah perubahan kadar faedah di Amerika Syarikat yang lazimnya memberikan kesan langsung kepada pasaran tempatan.

Selain ilmu, kawalan terhadap emosi turut memainkan peranan penting dalam pelaburan. Emosi seperti tamak dan takut sering mempengaruhi keputusan pelabur. Kenaikan harga menyebabkan pelabur cenderung membeli secara berlebihan, sebaliknya kejatuhan harga membuatkan mereka panik dan menjual secara tergesa-gesa. Keputusan yang dibuat berdasarkan emosi jarang sekali memberikan hasil yang baik. Dalam konteks penipuan pula, penjenayah kewangan menggunakan pendekatan emosi untuk mempengaruhi mangsa. Antaranya termasuklah mereka menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh yang singkat dan memberikan pulangan kecil pada peringkat awal bagi menimbulkan rasa percaya.

Satu lagi prinsip penting ialah keperluan menyediakan dana kecemasan sebelum membuat sebarang pelaburan. Setiap individu disarankan mempunyai simpanan kecemasan sekurang-kurangnya antara tiga bulan hingga enam bulan daripada jumlah kos sara hidup. Menurut pakar kewangan Azizi Ali, tindakan melabur tanpa memiliki dana kecemasan merupakan kesilapan besar. Sekiranya pelaburan tidak menjadi, tiada sumber kewangan yang boleh digunakan untuk menampung keperluan hidup sekali gus meletakkan individu dalam situasi kewangan yang lebih buruk.

Transaksi kewangan berlaku setiap hari, namun tidak semuanya dijalankan secara sah. Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), YBhg. Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, sebanyak 37 laporan berkaitan dengan penipuan pelaburan diterima sepanjang tahun 2024 melibatkan kerugian yang dianggarkan mencecah RM2.2 bilion (Harian Metro, 16 Februari 2025). Jumlah sebenar mangsa berkemungkinan lebih tinggi kerana banyak individu yang enggan membuat laporan akibat rasa malu.

Terdapat beberapa saranan yang boleh diamalkan oleh orang ramai bagi mengelakkan diri daripada mudah terpengaruh atau terpedaya dengan pengendali skim penipuan pelaburan. Antara langkah yang boleh diambil termasuklah merujuk formula “T.I.P.U.” yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Formula ini membawa maksud, T – Tidak akan rugi; I – Indah khabar daripada rupa; P – Peluang hanya sekali; dan U – Untung besar. Inisiatif ini bertujuan membantu rakyat Malaysia mengenal pasti ciri-ciri penipuan pelaburan yang sering digunakan oleh sindiket bagi menarik perhatian mangsa. SC merupakan sebuah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 dan melapor terus kepada Menteri Kewangan. Badan ini berperanan sebagai agensi kawal selia tunggal bagi pembangunan dan pengawalseliaan pasaran modal negara.

Langkah kedua yang boleh diambil adalah dengan menyemak laman web SC dan Bank Negara Malaysia (BNM). SC bertanggungjawab terhadap pengawasan pasaran modal, manakala BNM menyenaraikan individu atau syarikat yang menjalankan aktiviti yang tidak sah menurut undang-undang. Semakan ini penting sebagai langkah pencegahan awal sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan.

Langkah ketiga adalah dengan mendapatkan bantuan daripada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) sekiranya seseorang berasa telah menjadi mangsa penipuan pelaburan. NSRC menyediakan talian kecemasan (997) dari pukul 8.00 pagi hingga 8.00 malam termasuk pada cuti umum. Fungsi utama pusat ini adalah untuk memberikan respons segera kepada mangsa penipuan dan memudahkan proses jejak akaun penjenayah. Selain itu, orang ramai juga digalakkan menghubungi talian tersebut jika menerima panggilan atau mesej yang mencurigakan bagi mendapatkan kepastian. Tindakan segera amat penting dan sebaik-baiknya panggilan dibuat dalam tempoh 24 jam selepas insiden berlaku bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan pantas.

Langkah terakhir adalah dengan menghubungi pihak bank masing-masing melalui talian khas penipuan 24 jam, di samping membuat laporan polis. Tindakan ini bertujuan memastikan terdapat rekod rasmi insiden yang boleh digunakan untuk siasatan lanjut serta tindakan susulan. Bank pula berperanan melindungi mangsa daripada kerugian yang lebih besar, manakala NSRC pula berfokus pada usaha mengesan akaun penipu. Oleh itu, kerjasama antara kedua-dua pihak amat penting bagi menangani kes penipuan kewangan dengan lebih berkesan.

Secara keseluruhannya, tindakan pencegahan jauh lebih baik daripada meratapi kerugian yang berlaku. Pada era digital yang penuh dengan kepintaran buatan dan teknologi komunikasi, sindiket penipuan pelaburan semakin licik dan sukar dikesan. Setiap keputusan pelaburan perlu dilakukan dengan ilmu, semakan dan perancangan teliti. Dalam dunia pelaburan, golongan yang tamak mudah terpedaya, manakala golongan yang berhati-hati akan lebih terlindung daripada risiko yang tidak diingini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi