Diterbitkan pada 28 Ogos 2025, 16:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pelaburan sering dikaitkan dengan keuntungan berlipat ganda yang mampu memberikan pulangan lumayan. Namun begitu, tanpa ilmu dan perancangan yang betul, pelaburan boleh bertukar menjadi kerugian besar sehingga menjejaskan kewangan. Lebih membimbangkan, pelbagai skim penipuan pelaburan kini tumbuh bagai cendawan yang menyasarkan mangsa baharu setiap hari.

Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 4,435 kes pelaburan tidak wujud disiasat dari Januari hingga Oktober 2023 dengan jumlah kerugian mencecah RM364.5 juta. Angka ini menunjukkan peningkatan 54.1% berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2022. Pelaburan yang sepatutnya memberikan keuntungan akhirnya menyebabkan kerugian, malah terdapat pihak yang terbeban dengan hutang sepanjang hayat.

Pilihan Pelaburan

Malaysia menawarkan pelbagai pilihan pelaburan seperti hartanah, emas, saham dan mata wang kripto. Dengan perkembangan teknologi, kebanyakan transaksi pelaburan kini boleh dilakukan secara dalam talian tanpa berurusan di bank atau institusi kewangan. Walau bagaimanapun, kemudahan ini turut dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menjalankan skim penipuan dalam alam maya.

Modus Operandi Penipuan Pelaburan

Penipuan pelaburan dilakukan melalui dua kaedah utama. Pertama ialah pelaburan secara dalam talian yang menggunakan media sosial seperti Telegram, WhatsApp, Facebook, dan Instagram untuk mencari mangsa.

Kedua ialah pelaburan secara bersemuka dengan pelabur berjumpa dengan ejen atau wakil syarikat yang kononnya mengurus pelaburan. Taktik ini digunakan bagi meyakinkan mangsa bahawa skim yang ditawarkan benar-benar wujud. Statistik menunjukkan kebanyakan mangsa berusia antara 31 tahun hingga 40 tahun dengan 1,099 laporan polis diterima pada tahun 2023. Individu yang bekerja dalam sektor swasta pula merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,880 kes.

Pengesanan Skim Penipuan Pelaburan

Terdapat beberapa tanda amaran yang boleh membantu pengguna mengesan dan mengelakkan diri daripada terjebak dengan skim penipuan. Antaranya termasuklah:

  1. Pulangan Keuntungan yang Tinggi dalam Tempoh yang Singkat

Terdapat skim yang menawarkan pulangan ribuan ringgit hanya dalam tempoh 24 jam dengan modal pelaburan serendah RM50. Tawaran sebegini tidak realistik dan jelas mencurigakan. Berbeza daripada pelaburan sah, keuntungan biasanya diperoleh dalam tempoh tertentu dengan kadar pulangan yang lebih rendah, tetapi masih munasabah. Oleh itu, pelabur perlu berhati-hati dan peka terhadap tawaran pelaburan yang terlalu indah untuk dipercayai.

  1. Penggunaan Dokumen Palsu

Dokumen pelaburan juga sering dipalsukan bagi mengaburi mata pelabur. Dokumen yang dipalsukan biasanya kelihatan sama seperti dokumen asal. Cara terbaik untuk mengesahkan kesahihan sesuatu dokumen adalah dengan melakukan kajian dan pengesahan melalui pihak berkuasa yang berkaitan dengannya.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menyediakan laman web khas bagi menyemak status syarikat pelaburan yang berdaftar dan sah. Portal ini dikenali sebagai Investment Checker atau Portal Semak Sebelum Labur SC. Melalui platform ini, pengguna boleh menyemak status individu atau entiti tertentu yang dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosikan atau menjual produk dan perkhidmatan pasaran modal.

  1. Promosi melalui Media Sosial

Dengan perkembangan teknologi digital, media sosial seperti Facebook, Telegram, WhatsApp, dan Instagram sering dijadikan medium untuk mempromosikan skim penipuan pelaburan. Terdapat pengguna secara tiba-tiba dimasukkan dalam kumpulan yang membincangkan pelaburan. Dalam kumpulan tersebut, wujud individu yang menyamar sebagai pelabur kononnya memperoleh keuntungan berlipat ganda.

Mereka turut berkongsi resit atau gambar transaksi palsu bagi meyakinkan ahli kumpulan bahawa keuntungan sudah diterima. Taktik ini merupakan helah psikologi untuk mengaburi mata mangsa lain agar terpengaruh. Lebih membimbangkan, penipuan pelaburan secara dalam talian amat sukar dikesan, malah maklumat sahih tentang pelaku juga sukar diperoleh.

  1. Pendepositan Wang pelaburan dalam Akaun Bank Individu

Satu lagi ciri penipuan pelaburan ialah arahan supaya wang pelaburan dimasukkan dalam akaun individu dan bukannya akaun syarikat. Walaupun mangsa mempunyai nama pemilik akaun, kebanyakan akaun tersebut hanyalah milik akaun individu yang dijadikan “keldai” dan digunakan untuk menerima dan memindahkan hasil penipuan.

Panduan Menjadi Pelabur Bijak

Walaupun skim penipuan semakin berleluasa, pengguna masih boleh melabur dengan selamat sekiranya berhati-hati. Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk menjadi pelabur bijak. Antaranya termasuklah:

  1. Penyelidikan secara Mendalam

Pengguna perlu melakukan penyelidikan secara mendalam dengan memastikan syarikat pelaburan mendaftar dengan SC atau pihak berkuasa yang berkaitan dengannya. Selain itu, pengguna perlu mengenal pasti ciri-ciri yang mencurigakan seperti janji pulangan lumayan dalam tempoh yang singkat.

  1. Kenal Pasti Risiko Pelaburan yang Terlibat

Pengguna perlu mengenal pasti risiko pelaburan yang terlibat. Setiap platform pelaburan mempunyai tahap risiko tersendiri. Sebagai contoh, mata wang kripto mampu memberikan pulangan besar, tetapi membawa risiko pelaburan yang tinggi. Dengan menilai tahap risiko, pengguna boleh membuat keputusan yang lebih bijak dan sesuai dengan keadaan kewangan masing-masing.

  1. Jangan Tergopoh-gopoh Membuat Pelaburan

Pelaburan bukanlah satu perlumbaan untuk menentukan individu yang lebih berjaya. Setiap keputusan pelaburan perlu dibuat dengan tenang dan berdasarkan pertimbangan yang rasional. Sikap tergesa-gesa bagi memilih pelaburan hanya kerana melihat orang lain sudah meraih keuntungan boleh membawa risiko yang besar.

Penipu sering menggunakan taktik mendesak bagi memaksa pengguna membuat keputusan segera tanpa sempat berfikir panjang. Tekanan sebegini membuka ruang mangsa terjebak dalam skim penipuan yang merugikan.

 

Dengan pengetahuan dan perancangan yang tepat, pelaburan bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti. Sebaliknya, pelaburan boleh menjadi satu daripada alat kewangan yang bermanfaat. Pengetahuan mendalam dan kajian teliti akan membantu pengguna membuat keputusan yang lebih bijak serta mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi