Diterbitkan pada 15 Disember 2025, 08:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Menurut analisis Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Tahunan 2025, prestasi pelaburan negara sejak pertengahan tahun 2023 menunjukkan tanda-tanda berlakunya kitaran meningkat pelaburan yang ketiga. BNM menjelaskan bahawa ciri utama kitaran meningkat ini ialah pertumbuhan pembentukan modal tetap kasar sebenar (PMTK) yang mengatasi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan penggunaan swasta.

Pertumbuhan PMTK turut melepasi purata kadar jangka panjangnya, iaitu 2.3 peratus bagi tempoh tahun 2015 hingga tahun 2019 dan 5.6 peratus antara tahun 2011 hingga tahun 2019, serta mengatasi pertumbuhan penggunaan swasta, sekali gus menandakan pemulihan pelaburan yang semakin kukuh.

Sebagai komponen penting dalam pengiraan KDNK melalui pendekatan perbelanjaan, PMTK merangkumi nilai pelaburan dalam aset tetap yang menggambarkan kapasiti produktif sesebuah negara. Pertumbuhan PMTK yang kukuh sejak suku pertama tahun 2024 dan melepasi paras prapandemik menunjukkan peningkatan nilai tambah ekonomi, serta peluang pekerjaan yang lebih luas.

Sumbangan pelaburan terhadap pertumbuhan KDNK meningkat daripada 0.6 mata peratus bagi tempoh tahun 2015 hingga tahun 2019 kepada purata dua mata peratus sejak suku ketiga tahun 2023, suatu petunjuk jelas bahawa ekonomi Malaysia memasuki fasa kitaran meningkat pelaburan baharu. Trend ini mirip dua tempoh pertumbuhan penting yang direkodkan pada lewat tahun 1980-an hingga tahun 1990-an, serta awal tahun 2010-an.

Kitaran meningkat pelaburan ini juga diperkuat oleh dua ciri lain, iaitu peningkatan konsisten peratusan pelaburan terhadap KDNK dan pertumbuhan tahap pelaburan yang bergerak melepasi trend jangka masa panjang. Oleh itu, dinamika pelaburan semasa bukan sahaja bersifat pemulihan, malah menunjukkan penstrukturan semula ke arah ekonomi yang lebih berasaskan teknologi.

Dalam sesi panel “Menyingkap Kitaran Pelaburan Malaysia” semasa Simpósium Sasana 2025 anjuran BNM, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Liew Chin Tong menjelaskan bahawa selain usaha kerajaan, faktor global seperti cabaran perdagangan dunia dan ketegangan geopolitik turut mencorakkan pertumbuhan pelaburan Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa landskap semasa menyediakan peluang “sekali dalam satu generasi” untuk membina semula ekonomi, mengukuhkan segmen pendapatan pertengahan, meningkatkan gaji dan mempercepat pembangunan teknologi. Malaysia, menurut beliau, perlu beralih daripada ekonomi berasaskan perdagangan kepada ekonomi berasaskan teknologi.

Kestabilan dasar turut memainkan peranan penting dalam mengukuhkan keyakinan pelabur. Kajian oleh Laura Alfaro, Sebnem Kalemli-Ozcan dan Vadym Volosovych, Capital Flows in a Globalized World: The Role of Policies and Institutions, menunjukkan bahawa dasar yang berkesan dan institusi domestik yang kukuh mampu meningkatkan aliran pelaburan masuk. Hal ini membuktikan bahawa persekitaran dasar yang stabil dan konsisten merupakan elemen yang tidak boleh dipisahkan daripada kejayaan menarik pelaburan jangka masa panjang.

Namun begitu, pertumbuhan pelaburan yang tinggi sahaja tidak memadai. Seperti yang dihujahkan oleh Sanjaya Lall dan Rajneesh Narula dalam kajian mereka FDI and It’s Role in Economic Development, pelaburan langsung asing (FDI) hanya memberikan kesan pembangunan apabila sektor domestik mempunyai kapasiti teknologi yang mencukupi untuk memanfaatkan limpahan pengetahuan daripada syarikat multinasional. Hal ini bermakna kualiti pelaburan perlu seiring dengan pembangunan industri tempatan supaya pertumbuhan mampu dikekalkan dalam jangka panjang.

Dalam sesi panel yang sama, Tan Sri Prof. Dr. Noor Azlan Ghazali menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi tidak semestinya menandakan peningkatan kesejahteraan secara automatik. Oleh itu, beliau menyeru semua pihak, termasuk sektor kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan dan masyarakat untuk menilai semula kaedah pelaburan digunakan bagi meningkatkan kapasiti industri tempatan. Beliau turut menekankan bahawa peningkatan kecanggihan ekonomi harus menjadi teras pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), terutama melalui pelaburan yang mampu menyumbang kepada pembangunan teknologi canggih.

Data pelaburan diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut menunjukkan peralihan ketara ke arah pelaburan berimpak tinggi. Subsektor teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) menarik RM136 bilion pada tahun 2024, merangkumi 53.8 peratus daripada jumlah pelaburan sektor perkhidmatan. Sementara itu, pelaburan dalam sektor elektrik dan elektronik menyumbang RM55.8 bilion atau 46.3 peratus daripada jumlah sektor pembuatan, mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global teknologi.

Secara keseluruhannya, peningkatan PMTK sejak tahun 2023 menunjukkan bahawa Malaysia sedang menikmati fasa pemulihan pelaburan yang bukan sahaja besar dari segi nilai, tetapi juga semakin bersifat strategik. Namun begitu, kejayaan sebenar bergantung pada kemampuan negara memastikan pelaburan ini memperkukuh ekosistem teknologi tempatan, meningkatkan keupayaan industri, serta menempatkan Malaysia lebih tinggi dalam rantaian nilai global. Melalui dasar yang menyeluruh yang merangkumi inovasi, pembangunan bakat berkemahiran tinggi dan infrastruktur digital bertaraf dunia, Malaysia berpotensi memanfaatkan sepenuhnya kitaran meningkat pelaburan ini untuk pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif, berdaya saing dan mampan.

Kredit Foto: Freepik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi