Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangEmas ialah logam kuning yang bernilai tinggi dan mahal harganya. Nilainya yang tinggi menjadikannya sebagai aset yang sangat berharga. Oleh itu, ilmu tentang cara menyimpan emas amat penting untuk dipelajari, terutamanya oleh golongan belia. Hal ini demikian kerana emas memainkan peranan penting dalam membantu golongan belia membina masa hadapan yang lebih stabil dan terjamin.
Emas mempunyai pelbagai kegunaan yang menjadikannya sebagai satu bentuk simpanan yang berharga seperti boleh dijadikan sebagai simpanan kecemasan pada masa hadapan. Selain itu, emas juga berguna untuk membayar pelbagai jenis hutang, termasuk hutang pendidikan. Emas sering digunakan sebagai deposit untuk membeli hartanah dan tidak kurang pentingnya boleh menjadi hantaran dalam perkahwinan. Pada peringkat antarabangsa, emas boleh digunakan sebagai alat transaksi jual beli yang melibatkan mata wang global.
Satu daripada manfaat utama menyimpan emas adalah kemampuannya untuk kalis inflasi. Harga emas tidak dipengaruhi oleh inflasi, malah harga emas cenderung meningkat setiap tahun. Emas juga berperanan sebagai pengganti mata wang ketika nilai mata wang negara mengalami penyusutan. Hal ini bermaksud bahawa emas mampu mengekalkan kuasa beli pengguna walaupun nilai mata wang merosot.
Di samping itu, kegiatan menyimpan emas juga dapat mengatasi sikap boros dalam kalangan golongan belia. Menyimpan emas memerlukan kesabaran kerana pulangan yang diperoleh biasanya memakan masa satu tahun hingga dua tahun. Walaupun mata wang negara terjejas atau kehilangan nilai, emas tetap berharga dan boleh dijual beli di mana-mana negara. Hal ini menjadikan emas sebagai aset yang stabil dan konsisten.
Sebagai contoh, harga emas (999) pada tahun 2014 ialah RM135.05 segram, manakala pada Mac 2025, harga yang sama mencecah RM463.00 segram. Hal ini menunjukkan peningkatan harga emas sebanyak 242.84 peratus dalam tempoh hampir 11 tahun. Walaupun perbezaan harga ini mungkin tidak begitu ketara apabila melihat harga emas per gram, namun perbezaannya akan lebih jelas apabila membandingkan harga satu dinar emas (4.25 gram).
Pada tahun 2014, harga satu dinar emas ialah RM573.96, manakala pada tahun 2025, harga melonjak kepada RM1,967.75. Harga emas terus meningkat setiap tahun dan pada awal September 2025, harga satu gram emas mencecah lebih daripada RM520. Pakar meramalkan bahawa harga emas akan terus meningkat sehingga hujung tahun 2025. Oleh itu, golongan belia perlu memahami waktu yang tepat untuk membeli emas dengan mempelajari faktor yang mempengaruhi harga emas.
Antara faktor utama yang mempengaruhi harga emas termasuklah pergerakan permintaan dan penawaran dalam pasaran global, serta kekuatan nilai mata wang dolar Amerika (USD). Menurut Abibullah Haji Samsudin (2015), apabila permintaan terhadap emas melebihi penawaran, harga emas akan meningkat. Sebaliknya, apabila penawaran lebih tinggi daripada permintaan, harga emas akan turun.
Permintaan terhadap emas dalam pasaran antarabangsa dipengaruhi oleh beberapa faktor, termasuk pertumbuhan industri elektronik, peningkatan jumlah populasi dunia, permintaan emas sebagai rizab oleh bank-bank negara, serta harga minyak dunia. Penawaran emas pula bergantung pada negara pengeluar emas yang menjalankan aktiviti perlombongan emas.
Selain itu, nilai mata wang USD turut memberikan kesan kepada harga emas. Kajian oleh Abibullah Haji Samsudin (2015) menunjukkan bahawa apabila nilai USD jatuh, harga emas akan meningkat kerana emas biasanya diniagakan dalam dolar Amerika dalam pasaran antarabangsa. Begitu juga sebaliknya apabila nilai dolar Amerika mengukuh, harga emas akan menurun.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga mempunyai kaitan dengan harga emas di Malaysia. Kajian oleh Siti Aminah Mainal (2023) mendapati bahawa apabila KDNK negara meningkat, harga emas akan turut meningkat. Hal ini menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi negara memberikan impak langsung kepada nilai emas.
Selain itu, kadar faedah juga memberikan kesan kepada harga emas. Menurut kajian yang sama, kadar faedah yang rendah akan menyebabkan harga emas meningkat. Hal ini demikian kerana apabila kadar faedah menurun, kos pinjaman menjadi lebih rendah dan permintaan terhadap emas meningkat. Sebaliknya, peningkatan kadar faedah akan mengurangkan permintaan terhadap emas, seterusnya menyebabkan penurunan harganya.
Kadar pengangguran pula memberikan impak bercampur kepada harga emas. Kajian oleh Siti Aminah Mainal (2023) mendapati bahawa kadar pengangguran mempunyai hubungan negatif dengan harga emas, namun kajian lain menunjukkan sebaliknya. Walau bagaimanapun, kedua-dua kajian ini menunjukkan bahawa kadar pengangguran mempunyai kaitan dengan harga emas.
Selain itu, kadar pertukaran asing juga mempengaruhi harga emas. Apabila kadar pertukaran asing menurun, harga emas akan meningkat. Hal ini demikian kerana apabila nilai ringgit Malaysia mengukuh, pelabur Malaysia lebih mampu membeli emas yang seterusnya meningkatkan permintaan terhadap emas dalam pasaran.
Untuk golongan belia, memanfaatkan masa dengan menguasai ilmu menyimpan emas adalah langkah yang bijak. Emas bukan sahaja dapat menyelamatkan mereka dalam situasi kecemasan atau waktu sukar, tetapi juga berperanan penting dalam merancang masa hadapan. Ibu bapa digalakkan untuk menggalakkan anak-anak mereka menyimpan emas sebagai satu bentuk pelaburan dan persediaan menghadapi masa hadapan. Dengan cara ini, golongan muda akan terbiasa dengan emas dan akan lebih bersedia untuk mempelajari lebih lanjut mengenai pelaburan emas apabila dewasa kelak.
Kesimpulannya, terdapat banyak faktor makroekonomi yang mempengaruhi harga emas, termasuklah kadar faedah yang diumumkan oleh Rizab Persekutuan (The Fed) di Amerika Syarikat, serta permintaan dan penawaran emas dalam pasaran antarabangsa. Dengan memahami faktor ini, golongan belia dapat mengenal pasti waktu yang sesuai untuk membeli emas. Emas bukan sahaja memberikan manfaat sebagai simpanan, tetapi juga pelaburan yang dapat membantu mereka merancang masa hadapan yang lebih baik.