Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBagi rakyat Malaysia, pemilikan rumah bukan sekadar lambang keselesaan atau tempat berteduh, tetapi juga mencerminkan status sosioekonomi, pencapaian dan legasi keluarga. Di sebalik kepuasan emosi tersebut, pemilikan rumah juga mempunyai nilai yang besar dalam membina ekonomi, komuniti dan kestabilan perpaduan sesebuah negara.
Rangkaian aktiviti ekonomi ini melibatkan urus niaga jual beli tanah, pembinaan rumah, kontraktor yang diupah, pembekal yang dibayar, peluang pekerjaan yang diwujudkan, serta transaksi dan pembekalan bahan mentah antara pelbagai industri. Sektor perbankan juga turut merasai denyutan nadi ekonomi ini apabila institusi kewangan menyediakan pinjaman, insurans dan kemudahan kredit yang menggerakkan pasaran.
Kerajaan melihat pemilikan perumahan sebagai tonggak penting dalam pembangunan ekonomi dengan memperuntukkan hampir RM3 bilion untuk membina perumahan mampu milik bagi rakyat. Ternyata hal ini memberikan rangsangan kepada pertumbuhan ekonomi, menjanakan peluang pekerjaan dan mengukuhkan sistem kewangan.
Inisiatif perumahan di Malaysia tidak hanya terhad kepada Kerajaan Persekutuan, malah turut disambut baik oleh kerajaan negeri menerusi program perumahan seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Rumah Mesra Rakyat, Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Selangorku. Dengan rumah berkualiti tinggi pada harga mampu milik, inisiatif ini mencerminkan pengiktirafan berterusan terhadap usaha kerajaan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara, sambil meningkatkan tahap kehidupan dan kesejahteraan sosioekonomi rakyat. Walaupun dilihat sebagai perbelanjaan yang besar, tujuan utama bukan sekadar untuk membina rumah, tetapi juga untuk mewujudkan kestabilan, keharmonian dan pelibatan rakyat dalam agenda kemajuan negara.
Pemilikan perumahan adalah langkah yang kukuh untuk membina kekayaan jangka masa panjang bagi individu atau isi rumah. Meskipun kelihatan mahal apabila membayar RM1,500 sebulan untuk sebuah rumah sewa berbanding dengan RM2,000 untuk ansuran pinjaman bank perumahan, bayaran pinjaman itu sebenarnya memberikan pulangan yang jauh lebih tinggi. Apabila nilai hartanah meningkat dari tahun ke tahun, rumah menjadi asas ekuiti kewangan keluarga. Rumah bukan sahaja berfungsi sebagai tempat perlindungan, tetapi juga sebagai warisan kekayaan untuk generasi akan datang.
Singapura telah menubuhkan Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB) bertujuan menjadikan pemilikan rumah sebagai teras kepada strategi pembangunan negara. Melalui polisi perumahan ini, lebih daripada 90 peratus rakyat Singapura tinggal di rumah milik sendiri. Indonesia pula melalui Program Satu Juta Rumah telah mencetuskan mobiliti sosioekonomi bagi keluarga berpendapatan rendah. Program ini bersama-sama dengan aspirasi untuk mengurangkan kadar kemiskinan menjadi langkah pertama dalam usaha untuk keluar daripada perangkap kemiskinan.
Selain nilai ekonomi, polisi pemilikan rumah juga mempunyai kepentingan dalam membina komuniti yang harmoni dan bersatu-padu, sekali gus memelihara nilai perpaduan. Sebuah keluarga yang tinggal di kediaman sendiri cenderung untuk menetap lebih lama berbanding dengan mereka yang menyewa rumah. Mereka lebih prihatin terhadap persekitaran termasuk keselamatan, kebersihan dan kesihatan awam. Mereka juga cenderung menyertai persatuan penduduk atau komuniti rukun tetangga, mendukung program kejiranan dan membentuk hubungan sosial.
Pemilikan perumahan juga mampu mencetuskan integrasi sosial. Dasar perumahan yang dirancang dengan baik mampu mengurangkan jurang sosial dengan menggalakkan penduduk dari pelbagai latar belakang sosioekonomi untuk bergaul dan saling berinteraksi. Dalam konteks Malaysia yang hidup dalam masyarakat majmuk, inisiatif ini amat penting untuk memperkukuh perpaduan setempat.
Kerajaan Singapura, misalnya mengenakan kuota etnik dalam perumahan awam untuk mewujudkan kepelbagaian etnik di kawasan kejiranan. Apabila masyarakat majmuk berkongsi ruang, sekolah dan aspirasi kejiranan yang sama, keadaan ini mengukuhkan rasa pemilikan terhadap komuniti, menghargai nilai toleransi, hormat-menghormati dan saling membantu. Dengan itu, inisiatif pemilikan perumahan bukan hanya soal membeli dan mendiami rumah, tetapi juga merupakan agenda nasional untuk melahirkan dan mengekalkan perpaduan yang mampan bagi membangunkan negara.
Selain itu, pemilikan rumah juga menawarkan kesan positif terhadap psikologi individu dan keluarga. Perkara ini memberikan kestabilan dengan memiliki ruang sendiri, bebas daripada ketidakpastian kenaikan sewa yang tidak terkawal, serta ancaman diusir oleh tuan rumah. Pemilikan rumah jangka masa panjang memberikan peluang kepada keluarga untuk merancang kehidupan dengan lebih baik, sambil memperbaik taraf hidup. Kanak-kanak yang membesar dalam kediaman yang stabil cenderung memiliki prestasi pendidikan yang lebih baik, terutama apabila didorong dengan persekitaran yang selesa, selamat dan aman.
Setiap rumah mampu milik yang dibina adalah pelaburan kepada rakyat. Dalam masa yang sama, perkara ini turut membentuk komuniti dan perpaduan yang utuh, serta ekonomi yang berdaya maju. Cabaran utama adalah untuk memastikan pemilikan rumah kekal inklusif dan mampan. Di tengah-tengah urbanisasi dan kenaikan harga hartanah yang mendadak, dasar yang tidak relevan perlu dikaji semula. Begitu juga dengan perubahan komposisi masyarakat yang kini dipengaruhi oleh kemunculan kerjaya gig. Hal ini menunjukkan bahawa graduan muda memerlukan dasar baharu yang lebih sesuai dengan perubahan tersebut, serta usaha untuk mewujudkan sistem keselamatan sosial yang dapat menyokong penggerak utama ekonomi negara.
Nilai sebenar pemilikan rumah bukan hanya terletak pada keuntungan kapitalis, tetapi juga manfaat ekonomi yang diperoleh melalui kesejahteraan rakyat. Apabila rakyat menjadi pemilik rumah, mereka turut menjadi pihak berkepentingan dalam merangka masa hadapan negara. Oleh itu, apabila kerajaan melabur untuk membantu rakyat mencapai matlamat ini, hal ini bukan sekadar pelaburan dalam bentuk rumah, tetapi juga satu peluang untuk masa hadapan yang lebih cerah.
Penulis ialah graduan Sarjana Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya. Beliau merupakan penganalisis bebas dalam bidang ekonomi pembangunan dan hubungan antarabangsa.