Diterbitkan pada 11 September 2025, 13:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sejak pandemik COVID-19 melanda, gaya hidup masyarakat Malaysia mengalami perubahan yang ketara. Satu daripada fenomena yang menyerlah selepas tempoh sukar ini ialah peningkatan jumlah anak muda yang memilih untuk kembali ke kampung halaman setelah sekian lama mencari rezeki di bandar.

Sebelum pandemik, bandar menjadi destinasi utama anak muda dalam mengejar peluang pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik. Namun begitu, kesan pandemik membawa gelombang perubahan yang tidak dijangka, iaitu kadar pengangguran meningkat, persaingan dalam pasaran kerja dan banyak perniagaan kecil terpaksa gulung tikar. Dalam suasana mencabar ini, kampung mula dilihat semula sebagai tempat yang menjanjikan potensi baharu.

Anak muda kini mula meneroka semula potensi kampung, bukan hanya sebagai tempat berlindung, tetapi sebagai tanah peluang, terutamanya dalam bidang pertanian moden dan keusahawanan desa. Namun begitu, perubahan ini tidak berlaku dengan mudah. Perkara ini datang bersama-sama dengan pelbagai cabaran, terutamanya dalam soal kemudahan teknologi, akses kepada pasaran dan sumber kewangan untuk memulakan perniagaan.

Kebangkitan Ekonomi Luar Bandar Pascapandemik

Tahun 2023 hingga tahun 2025 telah menyaksikan perubahan luar biasa apabila anak muda kembali ke kampung bukan sekadar untuk bercuti, tetapi untuk menetap dan memulakan kehidupan baru. Di Terengganu, sebagai contoh, kira-kira 80 peratus penternak lembu sado kini terdiri daripada generasi muda, manakala pelibatan dalam pertanian fertigasi melonjak kepada lebih daripada 700 orang peserta seterusnya menjadikan negeri ini antara yang paling aktif dalam pertanian moden oleh belia.

Di Kelantan pula, kisah kejayaan tokoh seperti Khairul Aming menjadi inspirasi utama kepada banyak anak muda untuk menceburi industri kecil dan sederhana (IKS). Kejayaan ini telah membuka peluang pekerjaan di kampung dan secara langsung mengurangkan keperluan untuk berhijrah ke bandar.

Perkembangan ini turut disokong oleh data yang memberangsangkan. Pada tahun 2023, sebanyak 66 peratus perniagaan kecil menunjukkan pertumbuhan positif. Angka ini dijangka meningkat kepada 78 peratus pada tahun 2024 dan mencapai 80 peratus menjelang tahun 2025. Pada masa yang sama, pelibatan anak muda dalam sektor pertanian moden turut meningkat secara progresif daripada 30 peratus pada tahun 2023 kepada 40 peratus pada tahun 2024 dan dijangka mencecah 50 peratus pada tahun 2025. Angka ini mencerminkan kebangkitan ekonomi luar bandar yang semakin berdaya saing hasil inisiatif dan semangat generasi muda.

Memperkukuh Infrastruktur dan Akses Digital

Dalam usaha memperkukuh ekonomi luar bandar, pembangunan infrastruktur asas dan capaian digital menjadi asas yang tidak boleh diabaikan. Banyak usahawan muda menghadapi kesukaran besar untuk mengembangkan perniagaan mereka, terutama apabila capaian Internet di luar bandar masih tidak stabil dan sistem logistik agak terbatas. Kelemahan ini menyukarkan mereka untuk bersaing dengan usahawan di bandar yang lebih mudah mengakses pasaran menerusi platform digital.

Dalam era ekonomi digital, e-dagang dan pemasaran dalam talian menjadi landasan utama kepada pertumbuhan perniagaan. Maka, kelemahan dalam akses Internet serta kekurangan sistem penghantaran yang efisien menjadi penghalang besar kepada potensi pembangunan ekonomi kampung. Oleh itu, kerajaan perlu mempercepat usaha menambah baik infrastruktur digital di kawasan luar bandar.

Sebagai langkah awal, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM600 juta untuk merancakkan pembangunan ekonomi luar bandar dan pedalaman pada tahun 2025. Satu daripada inisiatif utama ialah peluasan Program Kampung Angkat MADANI yang akan dilaksanakan di 200 buah kampung di seluruh negara. Program ini bukan sekadar fokus terhadap pembangunan fizikal, tetapi turut melibatkan latihan digital dan peningkatan literasi teknologi kepada penduduk kampung, khususnya golongan muda.

Apabila kemudahan digital diperluas dan dipertingkatkan, anak muda berpeluang memanfaatkan sepenuhnya potensi e-dagang. Hal ini membolehkan mereka memasarkan produk tempatan dalam pasaran yang lebih luas, bukan hanya pada peringkat kebangsaan tetapi juga antarabangsa. Dengan itu, ekonomi luar bandar akan menjadi lebih terbuka, dinamik dan mapan.

Latihan, Pendidikan dan Teknologi Pertanian Moden

Kemajuan sektor pertanian moden turut bergantung pada peningkatan ilmu, kemahiran dan pendedahan kepada teknologi terkini. Di Terengganu, pelbagai program latihan intensif telah dilaksanakan yang meliputi sistem fertigasi, penternakan berasaskan data dan penggunaan teknologi tinggi dalam pengeluaran hasil tani. Usahawan muda diberi peluang untuk menguasai teknik pertanian yang lebih efisien dan mampan, sekali gus menambah baik hasil pengeluaran mereka.

Kerajaan turut mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh pendidikan teknologi di kawasan luar bandar. Peruntukan khas telah disalurkan kepada program pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta pembangunan pusat sains mini bergerak bagi memastikan golongan muda tidak ketinggalan dalam arus pemodenan. Melalui pendedahan yang berterusan ini, generasi muda dapat melangkah lebih jauh, membawa inovasi dan menyumbang kepada perubahan landskap ekonomi luar bandar secara berkesan.

Namun begitu, statistik menunjukkan bahawa 59 peratus perniagaan kecil di Malaysia memerlukan pembiayaan luaran untuk terus berkembang. Menyedari perkara ini, kerajaan telah memperkenalkan beberapa dana strategik seperti National Fund-of-Funds (NFOF) dan Dana Perintis yang masing-masing bernilai RM1 bilion yang bertujuan menyokong syarikat permulaan serta modal teroka tempatan.

Dalam masa yang sama, skim pembiayaan mikro dan insentif cukai untuk perniagaan kecil di luar bandar hendaklah diperluas. Hal ini penting bagi menggalakkan lebih banyak anak muda untuk berani mengambil risiko memulakan perniagaan sendiri. Kejayaan program ini akan lebih bermakna sekiranya disertai dengan sokongan mentor-menti bersama-sama usahawan berjaya seperti Khairul Aming agar pengalaman dan kepakaran dapat dikongsi dan dimanfaatkan secara langsung oleh usahawan baru.

Pengembangan ekonomi luar bandar tidak dapat dicapai secara bersendirian. Perkara ini memerlukan kerjasama menyeluruh antara kerajaan dengan sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat. Usahawan muda seperti Khairul Aming membuktikan bahawa sinergi antara semua pihak mampu mencetuskan gelombang perubahan positif yang seterusnya membuka peluang pekerjaan, mengurangkan penghijrahan ke bandar dan membangunkan kampung menjadi pusat ekonomi yang mampan.

Program komuniti seperti Kampung Angkat MADANI dan inisiatif yang diterajui oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memberi ruang kepada penduduk untuk merancang dan melaksanakan aktiviti ekonomi yang sesuai dengan potensi setempat. Penggunaan media sosial dan teknologi digital turut membantu memasarkan produk kampung ke pasaran yang lebih luas, meningkatkan pendapatan dan taraf hidup masyarakat luar bandar secara menyeluruh.

Fenomena anak muda kembali ke kampung merupakan petanda positif bagi masa depan ekonomi luar bandar. Walaupun banyak cabaran yang perlu ditempuhi, dengan sokongan yang berterusan daripada semua pihak, kampung berpotensi menjadi pusat pertumbuhan ekonomi baharu negara.

Kepada anak muda, harapannya agar mereka terus berani mencipta peluang, berinovasi dan memanfaatkan potensi kampung yang selama ini mungkin dipandang sepi. Keputusan untuk kembali ke kampung bukanlah satu langkah ke belakang, tetapi sebenarnya satu lonjakan yang mencorakkan masa hadapan yang lebih mampan dan inklusif.

Kepada pentadbir setempat, termasuk pihak berkuasa tempatan dan pemimpin komuniti adalah amat penting untuk menyediakan kemudahan, membuka ruang dan memberikan sokongan sepenuhnya kepada inisiatif anak muda ini. Kerjasama yang kukuh antara generasi muda dengan pentadbir tempatan ialah kunci kejayaan dalam membangunkan kampung sebagai tempat yang bukan sahaja selesa untuk didiami, tetapi juga subur untuk berkarya, berniaga dan berjaya.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi