Diterbitkan pada 30 April 2025, 10:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah terus komited dalam membantu meningkatkan potensi usahawan belia yang berusia bawah umur 30 tahun supaya celik digital menerusi pelbagai latihan dan kursus pembangunan usahawan khususnya dalam perniagaan melalui platform e-dagang.

Yang Berusaha (YBrs.) Tuan Vijayan Kumar a/l Nadarajan, Pengarah APBM Batu Gajah berkata,

Semakin banyak belia memilih untuk menjadi usahawan dengan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan seperti menjual barang keperluan secara dalam talian, menyediakan perkhidmatan serta menjual makanan dan minuman.

Ucapan perasmian Kursus Usahawan Digital (Shopee) oleh YBrs. Tuan Vijayan Kumar.

Oleh sebab itu, APBM sentiasa menyediakan ruang untuk membantu para usahawan belia supaya mahir dalam kaedah perniagaan terkini yang menjadi pilihan masyarakat yang gemar berbelanja menggunakan platform di hujung jari. APBM Batu Gajah akan sentiasa menganjurkan program pembangunan usahawan dalam meningkatkan potensi mereka.

Beliau yang berucap semasa majlis perasmian Kursus Usahawan Digital (Shopee) pada 27 April 2025 hingga 29 April 2025 bertempat di BCIC Lodge, Kompleks Dagangan Mahkota, Kuantan turut menekankan kepentingan usahawan belia dalam mencipta pekerjaan sendiri dan membuka peluang pekerjaan kepada orang lain.

Kursus yang berlangsung selama tiga hari tersebut telah disertai oleh seramai 48 orang usahawan belia yang mahu meningkatkan kemahiran ke arah pendigitalan melalui pemasaran plaftorm e-dagang yang terkenal seperti Shopee.

Pembimbing sepanjang kursus tersebut ialah Encik Mohsin Mohktar atau lebih dikenali sebagai Coach Mohsin, seorang BizKaunselor Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

Dalam kursus yang ditaja sepenuhnya oleh pihak APBM tersebut, peserta diberikan bimbingan berkenaan strategi promosi dan pemasaran yang berkesan.

Di samping itu, tip berguna bagi menarik pelanggan turut dikongsikan untuk dipraktikkan oleh para peserta serta diajar secara praktikal (hands-on) bermula daripada mencipta akaun Shopee sehingga boleh menjual produk secara langsung.

Kredit Foto: Nur Ayunie Zainuddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi