Diterbitkan pada 26 Jun 2026, 16:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa tempoh pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) Duti Setem 2026 dilanjutkan selama enam bulan, iaitu bermula pada 1 Julai hingga 31 Disember 2026.

Menurut HASiL, pelanjutan tempoh tersebut bertujuan menggalakkan pematuhan penyeteman secara sukarela, selain memberikan ruang kepada pembayar duti menyesuaikan diri dengan pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS).

Inisiatif itu juga dijangka dapat mengurangkan ketidakpatuhan terhadap peruntukan di bawah Akta Setem 1949, serta meningkatkan tahap pematuhan secara berterusan.

Sehubungan dengan itu, pembayar duti disaran agar menyempurnakan proses penyeteman dan pembayaran duti setem dalam tempoh PKPS Duti Setem 2026 yang dilanjutkan, tertakluk pada syarat yang ditetapkan.

Semua surat cara yang disempurnakan antara 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2025 layak menikmati pengecualian penalti berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Pemungut Duti Setem di bawah subseksyen 47A(2) Akta Setem 1949.

Bagaimanapun, penyeteman dan pembayaran duti setem hendaklah dibuat dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2026.

Selain itu, pembayar duti tidak perlu mengemukakan rayuan penalti kerana penalti akan dikecualikan secara automatik sebaik sahaja duti setem dijelaskan.

PKPS Duti Setem 2026 tidak terpakai bagi kes yang melibatkan unsur penipuan. Pada masa yang sama, semua surat cara yang disempurnakan dalam tempoh 1 Januari 2023 hingga 31 Disember 2025 dan disetemkan di bawah program tersebut tidak akan diaudit.

Walau bagaimanapun, pengecualian audit itu tidak meliputi surat cara lain yang tidak disetemkan di bawah PKPS Duti Setem 2026.

HASiL turut menasihatkan pembayar duti supaya mengemukakan permohonan penyeteman dan menjelaskan bayaran duti setem lebih awal bagi memastikan notis taksiran dapat dikeluarkan, serta pembayaran dapat disempurnakan dalam tempoh yang ditetapkan.

Menurut HASiL, orang ramai disaran memanfaatkan pelanjutan tempoh PKPS Duti Setem 2026 kerana inisiatif tersebut mampu menyokong kemampanan fiskal negara dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi