Diterbitkan pada 25 Jun 2026, 17:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan melaksanakan langkah penjimatan perbelanjaan secara bersasar bagi memperkukuh pengurusan fiskal negara tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan kritikal kepada rakyat.

Langkah tersebut diperkenalkan bagi membantu menampung peningkatan perbelanjaan subsidi susulan kenaikan harga minyak dunia akibat krisis Asia Barat, di samping memastikan sektor utama seperti kesihatan, pendidikan, subsidi dan bantuan kepada rakyat terus diberikan keutamaan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa langkah penjimatan yang dilaksanakan bukan bertujuan menghentikan semua perbelanjaan atau perjalanan rasmi kerajaan. Sebaliknya, pendekatan itu mengehadkan perjalanan rasmi ke luar negara kepada komitmen yang telah dijadualkan, mesyuarat yang diwajibkan, serta urusan yang benar-benar penting dan mempunyai kepentingan strategik kepada negara.

Menurut MoF, walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut tertakluk pada langkah penjimatan seperti mengehadkan perjalanan rasmi ke luar negara, tiada sebarang sekatan dikenakan terhadap perancangan pengisian jawatan, pembelian ubat-ubatan, perolehan peralatan perubatan mahupun penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

KKM bersama-sama Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) telah melaksanakan audit pantas bagi memastikan bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan kritikal sentiasa mencukupi dan sebarang risiko gangguan dapat dikenal pasti lebih awal.

Bagi tahun 2026, KKM menyasarkan pelantikan lebih daripada 18 000 petugas kesihatan yang merangkumi 4500 pegawai perubatan, lebih daripada 3500 jururawat dan hampir 1000 penolong pegawai perubatan selaras dengan perancangan asal tanpa sebarang pengurangan berbanding dengan tahun 2025.

Selain itu, peruntukan bagi pembelian ubat-ubatan turut ditingkatkan kepada RM6.5 bilion pada tahun 2026 berbanding dengan RM6 bilion pada tahun 2025, manakala Program Latihan Kepakaran Lanjutan diperkukuh menerusi penyediaan 400 slot dengan peruntukan RM24 juta yang meningkat daripada RM21.8 juta pada tahun 2025.

Kerajaan turut menjelaskan bahawa terdapat lawatan rasmi yang tidak boleh ditangguhkan kerana melibatkan kepentingan strategik negara, khususnya ketika dunia masih berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik dan gangguan rantaian bekalan global.

Sebagai contoh, lawatan kerja Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Turkmenistan dan Rusia baru-baru ini berjaya memperkukuh jaminan bekalan tenaga negara dan mempelbagaikan sumber bekalan tenaga jangka masa panjang Malaysia dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu.

Menurut MoF lagi, penyertaan Malaysia dalam pelbagai mesyuarat dan forum antarabangsa berkaitan dengan perdagangan, tenaga, kesihatan, pertahanan, serta kerjasama serantau penting bagi mempertahankan kepentingan negara, memperkukuh hubungan dengan rakan strategik dan memastikan negara terus mempunyai akses kepada bekalan, pelaburan dan peluang ekonomi.

Sehubungan dengan itu, kerajaan berpandangan bahawa lawatan rasmi tidak wajar dinilai berdasarkan jumlah perjalanan semata-mata, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan tujuan, keperluan dan hasil yang dicapai demi kepentingan negara dan rakyat.

Kerajaan MADANI kekal komited mengurus kewangan negara secara berhemah dengan memperketat perbelanjaan yang boleh dikawal. Pendekatan tersebut diyakini mampu memastikan setiap ringgit dibelanjakan secara optimum bagi menghadapi cabaran global, di samping melindungi kebajikan rakyat dan mengekalkan kestabilan ekonomi negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi