Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Pendedahan kepada aktiviti inovasi dan keusahawanan sejak pada peringkat pendidikan tinggi mampu melahirkan graduan yang berdaya saing, serta berupaya mencipta peluang pekerjaan sendiri, kata Pensyarah Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, YBrs. Dr. Nor Atikah Husna Ahmad Nasir.
Menurut beliau, pembelajaran berasaskan projek dan pertandingan inovasi memberikan peluang kepada mahasiswa memahami proses pembangunan produk, kajian pasaran, strategi pemasaran, serta pengkomersialan produk yang penting dalam dunia perniagaan.
“Mahasiswa perlu melihat kreativiti sebagai keupayaan menghasilkan penyelesaian yang mempunyai nilai ekonomi. Apabila kreativiti digabungkan dengan keusahawanan, mereka lebih memahami kaedah sesuatu idea boleh dibangunkan menjadi produk atau perkhidmatan yang memenuhi keperluan pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi penjurian New Business Venture Analysis Competition (NEBUVA) Vol. 22 anjuran Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Perlis.
Tambah beliau, penyertaan dalam pertandingan inovasi turut membantu mahasiswa membangunkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis, bekerja secara berpasukan, serta meningkatkan keyakinan diri, sekali gus melengkapkan pengetahuan akademik yang diperlukan industri.

Pertandingan tersebut menghimpunkan kira-kira 60 projek inovasi dan cadangan perniagaan daripada mahasiswa pelbagai fakulti sebagai sebahagian daripada penilaian kursus ENT600.
Program berkenaan dilihat selaras dengan usaha memperkukuh budaya inovasi dan keusahawanan dalam kalangan mahasiswa bagi melahirkan graduan yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

