Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching – Kerajaan akan melaksanakan pembaharuan penyasaran subsidi diesel di Sarawak mulai 1 Julai ini bagi memastikan bantuan kewangan negara disalurkan secara lebih saksama kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata demikian dalam Taklimat Media Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel Negeri Sarawak 2026 yang diadakan bersama-sama Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi di Kuching, semalam.

“Menerusi pelaksanaan pembaharuan ini, rakyat Sarawak yang memenuhi syarat kelayakan akan menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter.
“Langkah kawalan harga ini membolehkan golongan sasar memperoleh lebih banyak bahan api bagi jumlah perbelanjaan yang sama,” katanya dalam sesi taklimat itu.
Selain itu, kerajaan turut mengambil kira faktor geografi dan keperluan unik pasaran domestik di Bumi Kenyalang dengan memberikan kelonggaran khusus kepada penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak.
Pemilik kenderaan diesel persendirian kategori pikap dan jip yang layak juga dibenarkan memohon tambahan kuota subsidi sebanyak 100 liter sebulan.
Pada masa yang sama, pelaksanaan subsidi bersasar ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk membanteras ketirisan serta aktiviti penyeludupan rentas sempadan yang menjadi punca kerugian hasil cukai negara.
Sejurus selesai sesi taklimat media itu, kedua-dua menteri turut meninjau persiapan logistik Program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) di sebuah stesen minyak tempatan.
Sebagai penutup lawatan kerja di Kuching hari ini, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi turut meninjau pelaksanaan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di sebuah premis perniagaan yang menjadi rakan niaga rasmi program itu.

Sesi tinjauan mesra itu memberikan peluang kepada pihak kementerian untuk melihat sendiri proses transaksi pembelian barangan keperluan asas oleh golongan penerima manfaat dengan hanya menggunakan kemudahan kad pengenalan (MyKad).
Sebagai rekod, sehingga kini, sebanyak 1,450 premis runcit di seluruh Sarawak telah berdaftar sebagai rakan niaga SARA bagi memudahkan urusan harian rakyat yang layak.