Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Perak Gen Showcase 2026 x Evas Food Fest yang berlangsung di Medan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dari 24 hingga 27 Jun ini menjadi platform strategik untuk memperluas pasaran produk dan perkhidmatan usahawan Perak ke ibu negara.
Dianjurkan oleh MARA Negeri Perak, program bertemakan “Perak Merentasi Generasi” itu menghimpunkan 75 orang usahawan daripada sektor makanan dan minuman, gaya hidup, pelancongan, serta industri kreatif.
Penganjuran program tersebut bertujuan meningkatkan keterlihatan produk tempatan, memperluas rangkaian perniagaan, serta membuka lebih banyak peluang pemasaran kepada usahawan bumiputera.
Majlis perasmian program itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, semalam.
Dalam majlis tersebut, beliau turut meninjau reruai pameran dan beramah mesra dengan usahawan yang mengambil bahagian sebagai tanda sokongan berterusan Kerajaan Negeri Perak terhadap pembangunan sektor keusahawanan dan usaha memperkukuh potensi produk tempatan dalam pasaran yang lebih luas.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-60 MARA pada tahun ini, penganjuran Perak Gen Showcase 2026 mencerminkan komitmen berterusan MARA dalam menyediakan platform bagi memperkasakan usahawan bumiputera melalui peluasan akses pasaran, peningkatan pengeluaran produk tempatan, serta pengukuhan jaringan kerjasama strategik.
Program tersebut turut menjadi medium kepada usahawan untuk memperkukuh jenama, menjalin kerjasama dengan rakan industri, agensi kerajaan dan sektor swasta, selain melahirkan lebih banyak usahawan yang berdaya saing, serta berupaya mengembangkan perniagaan ke tahap lebih tinggi.
Yang turut hadir ialah Pengerusi MARA, YBhg. Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pengarah MARA, YBhg. Dato’ Zulfikri Osman; Ketua Pegawai Eksekutif MARA Corporation, Encik Zulkarnain Taman; Pengarah MARA Negeri Perak, Puan Yuhaniz Mohd. Padil; serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak, YBhg. Dato’ Salbiah Mohamad dan YBhg. Dato’ Haji Mohd. Zulkifli Harun.