Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa Kaunter Perkhidmatan HASiL Cawangan Pembayar Cukai Asing (CPCA) akan mula beroperasi secara rasmi di Tingkat 9, Blok 10, Kompleks Bangunan Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur bermula pada 2 Mei 2025.
Kaunter perkhidmatan ini akan dibuka pada hari Isnin hingga Jumaat dengan waktu operasi bagi Kaunter Khidmat Rundingan bermula dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Manakala waktu operasi untuk e-Janji Temu HASiL adalah dari pukul 8.00 pagi hingga 4.40 petang dengan syarat tertakluk pada kekosongan slot. Pembayar cukai juga boleh melayari pautan https://ejanjitemu.hasil.gov.my/ untuk membuat janji temu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh HASiL, CPCA bertindak sebagai pusat khusus untuk mengurus urusan percukaian yang berkaitan dengan fail pembayar cukai warga asing, individu tidak bermastautin serta cukai pegangan yang bermula pada 1 Januari 2025.
Penubuhan Kaunter Perkhidmatan HASiL CPCA ini adalah sebahagian daripada inisiatif untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan memudahkan akses fizikal bagi pembayar cukai.
HASiL berharap dengan pengoperasian kaunter ini, pelanggan akan mendapat pengalaman perkhidmatan yang lebih baik, sekali gus meningkatkan tahap kepuasan dalam urusan percukaian mereka.