Diterbitkan pada 29 April 2025, 17:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Miri – Serahan dokumen statutori Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) secara fizikal di kaunter akan ditamatkan sepenuhnya bermula 1 Jun 2025.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Yang Berhormat (YB) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penamatan perkhidmatan tu sejajar dengan agenda pendigitalan kebangsaan menerusi pengenalan Sistem Pelaporan Perniagaan Malaysia 2.0 (MBRS 2.0).

Tambah beliau, sistem ini merupakan sistem serah simpan dokumen statutori yang telah dipertingkatkan berbanding dengan versi asal.

Jelas beliau,

Dengan tersedianya sistem MBRS 2.0 ini, dokumen statutori boleh dihantar secara dalam talian melalui portal rasmi SSM dan platform digital berkaitan dengannya.

Menurut beliau, pelaksanaan serah simpan dokumen statutori secara mandatori melalui sistem MBRS 2.0 telah dimulakan secara berperingkat dengan fasa pertama telah bermula pada 1 Disember 2024.

Fasa kedua pula telah berkuat kuasa pada 1 Mac 2025 dan fasa terakhir, iaitu fasa ketiga pula akan mula berkuat kuasa mulai 1 Jun 2025.

Dengan pelaksanaan fasa ketiga nanti, pelaksanaan serah simpan dokumen statutori secara mandatori melalui serahan secara fizikal di kaunter akan ditamatkan sepenuhnya.

Menurut beliau, SSM melaksanakan pelbagai pendekatan dan strategi untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan termasuklah memudah cara sistem dan proses pendaftaran serta pematuhan tatakelola semua entiti perniagaan.

Sistem MBRS 2.0 diperkenalkan khusus untuk memudah cara penyerahan penyata tahunan, penyata kewangan, laporan serta permohonan pengecualian secara berperingkat di bawah Akta Syarikat 2016 dan Akta Syarikat 1965.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi