Diterbitkan pada 29 April 2025, 15:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala LumpurDengan berkonsepkan pendekatan turun padang ke premis pembayar cukai, sebanyak 1,000 orang pegawai daripada 38 pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) di seluruh negara terlibat secara serentak dalam lebih daripada 4,000 lawatan premis.

Inisiatif ini bertujuan untuk memberikan ruang kepada pembayar cukai mendapatkan khidmat nasihat dan sokongan berkaitan dengan pelaksanaan sistem e-Invois yang diperkenalkan sejak sembilan bulan lalu.

Program ini dilaksanakan menerusi Jelajah Mega e-Invois sebagai usaha berterusan HASiL untuk meningkatkan tahap kefahaman dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terhadap sistem percukaian digital tersebut.

(Dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin, Timbalan Menteri Kewangan, YB Puan Lim Hui Ying dan Setiausaha Bahagian Cukai Kementerian Kewangan, YBrs. Encik John Patrick A/L Antonysamy meraikan pegawai HASiL yang melaksanakan Program Jelajah Mega e-Invois di seluruh negara.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, YB Puan Lim Hui Ying bertempat di Dewan Wawasan, Kompleks Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim.

Dalam ucapan perasmiannya, YB Puan Lim menegaskan bahawa pelaksanaan e-Invois bukanlah satu beban kepada perniagaan dan tidak akan menjejaskan operasi harian PMKS.

“Sebaliknya, sistem ini membuka peluang kepada PMKS untuk mengadaptasi pendigitalan dalam operasi dan urus niaga mereka yang seterusnya mampu meningkatkan kecekapan perniagaan,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan e-Invois juga dapat mengurangkan kos pematuhan cukai serta membantu pembayar cukai menyediakan laporan kewangan yang lebih tepat, sekali gus membawa manfaat kepada rakyat dan negara secara menyeluruh.

Timbalan Menteri Kewangan, YB Puan Lim Hui Ying menerangkan kepada seorang penjaja tentang kemudahan percukaian e-Invois di Pusat Penjaja Jalan Duta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin dalam ucapan alu-aluannya berkata, penganjuran Program Jelajah Mega e-Invois mencerminkan komitmen dan pendekatan proaktif HASiL dalam mendekati pembayar cukai melalui penyampaian maklumat dan pendedahan secara bersemuka mengenai pelaksanaan e-Invois serta penggunaan portal dan aplikasi MyInvois.

Menurut beliau, pelbagai aktiviti dan khidmat sokongan turut disusun sepanjang program bagi memastikan kelancaran pelaksanaan e-Invois.

“Selain lawatan ke premis, HASiL turut menganjurkan sesi taklimat percuma di seluruh negara bagi memperluas kefahaman masyarakat terhadap e-Invois serta penggunaan portal dan aplikasi MyInvois,” katanya.

Dalam masa yang sama, HASiL turut menyediakan kaunter perkhidmatan di seluruh negara bagi memberikan khidmat nasihat berkaitan dengan penggunaan sistem MyInvois serta perkhidmatan MyInvois e-POS bagi memastikan pematuhan pelaksanaan e-Invois.

Yang turut hadir pada majlis perasmian ialah Setiausaha Bahagian Cukai Kementerian Kewangan, YBrs. Encik John Patrick A/L Antonysamy serta barisan pengurusan kanan HASiL.

Sebagai rekod, Program Jelajah Mega e-Invois ini disasarkan kepada PMKS, komuniti e-dagang serta orang awam dengan objektif untuk memperkenalkan sistem e-Invois secara meluas dan memberikan pemahaman menyeluruh tentang manfaat serta kaedah pelaksanaannya.

 

Kredit Foto: Arina Musthafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi