Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Majalah Dewan Ekonomi edisi Mei 2025 menampilkan Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam wawancara eksklusif bagi mengupas isu berkaitan dengan pemerkasaan industri halal dan peluang ekonomi global pada masa ini.
YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merupakan Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) Malaysia yang berperanan memimpin usaha untuk memajukan industri halal negara bagi menjadikannya satu daripada sektor ekonomi utama yang berdaya saing pada peringkat global.
Menjelang tahun 2030, pasaran halal global dijangka mencapai USD5.0 trilion, manakala pasaran domestik pula dianggarkan mencecah USD113.2 bilion. Dengan ekosistem dan rangka kerja yang kukuh, Malaysia berpotensi untuk memanfaatkan peluang yang besar dalam sektor ini.
Dalam wawancara eksklusif bersama-sama dengan Dewan Ekonomi, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkongsi tentang visi MPIH untuk mengembangkan industri halal Malaysia, langkah yang diambil oleh kerajaan dalam memperkukuh sektor industri halal di Malaysia, cabaran yang dihadapi oleh kerajaan dan strategi untuk menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam sektor halal global.
Beliau turut menggariskan bentuk sokongan yang diberikan oleh kerajaan kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor halal untuk berkembang dalam pasaran global dan peranan Malaysia dalam memimpin sektor halal di rantau Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).
Penampilan YAB Timbalan Perdana Menteri dalam majalah ini diharapkan dapat memberikan inspirasi kepada pemain industri, pelabur dan usahawan untuk merebut peluang dalam industri halal yang kian berkembang pesat pada peringkat global. Kepimpinan beliau sangat penting dalam menyokong visi negara untuk menjadi peneraju global dalam industri halal.