Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Harga eksport Malaysia mencatatkan peningkatan marginal sebanyak 0.1 peratus pada Februari 2025, meningkat daripada 151.2 mata pada bulan sebelumnya kepada 151.4 mata. Seiring dengan prestasi tersebut, indeks nilai seunit import turut menunjukkan kenaikan sebanyak 0.3 peratus daripada 127.7 mata kepada 128.1 mata.
Namun begitu, terma perdagangan Malaysia mencatatkan penurunan sebanyak 0.2 peratus secara bulanan kepada 118.2 mata pada Februari 2025, menurut Laporan Indeks Perdagangan Luar Negeri yang diterbitkan pada hari ini.
Penerbitan ini memaparkan statistik indeks nilai seunit, indeks volum dan terma perdagangan meliputi 10 seksyen komoditi produk barangan selaras dengan Klasifikasi Standard Perdagangan Antarabangsa (SITC).
Ketua Perangkawan Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menjelaskan, indeks nilai seunit eksport meningkat 0.1 peratus pada Februari 2025 berbanding dengan bulan sebelumnya, disumbangkan oleh peningkatan indeks minyak galian (meningkat 2.5 peratus), makanan (meningkat 0.7 peratus) dan pelbagai barang keluaran kilang (meningkat 0.6 peratus).
Namun begitu, beliau menambah, indeks volum eksport jatuh 3.8 peratus selaras dengan kejatuhan indeks minyak galian (menurun 12.4 peratus), minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (menurun 5.0 peratus) serta alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (menurun 4.7 peratus). Indeks volum eksport pelarasan bermusim naik 2.3 peratus daripada 159.2 mata kepada 162.8 mata.
Merujuk perbandingan tahunan, indeks nilai seunit dan indeks volum masing-masing bertambah 2.8 peratus dan 3.3 peratus. Indeks nilai seunit import melonjak 0.3 peratus pada Februari 2025, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (meningkat 2.0 peratus), pelbagai barang keluaran kilang (meningkat 0.4 peratus) dan makanan (meningkat 0.1 peratus).
Namun begitu, indeks volum import merosot 11.6 peratus pada Februari 2025 berbanding dengan bulan sebelumnya, disumbangkan oleh penurunan dalam indeks barang keluaran kilang (menurun 17.9 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (menurun 15.9 peratus) serta pelbagai barang keluaran kilang (menurun 11.4 peratus). Indeks volum import pelarasan bermusim turun 2.0 peratus daripada 212.9 mata kepada 208.7 mata.
Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import berkurang 1.4 peratus dan indeks volum bertambah 7.0 peratus.
Terma Perdagangan Malaysia menyusut 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 118.2 mata pada Februari 2025, didorong oleh kejatuhan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (menurun 2.0 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (menurun 0.5 peratus) dan barang keluaran kilang (menurun 0.1 peratus). Sementara itu, terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun menokok 4.2 peratus daripada 113.4 mata pada bulan Februari tahun lalu.