Diterbitkan pada 23 April 2025, 16:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Buat julung kalinya, Pesuruhjaya Tinggi Uganda di Kuala Lumpur dengan kerjasama World-One Business Federation akan menganjurkan Forum Perniagaan dan Ekspo Mutiara Afrika 2025 pada 23 April hingga 24 April 2025 bertempat di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur.

Ekspo ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama ekonomi antara Uganda dengan Malaysia, di samping menarik pelaburan serta mempromosikan usaha sama strategik dalam pelbagai sektor yang berpotensi. Forum ini turut menjadi platform untuk menghubungkan pemain industri dari kedua-dua negara serta menyerlahkan iklim pelaburan Uganda yang semakin pesat berkembang.

Antara sektor utama yang dikenal pasti untuk diterokai bersama termasuklah sektor perindustrian pertanian, pelancongan, laluan perdagangan, teknologi maklumat, pembuatan serta mineral dan sumber asli.

Ekspo ini juga diharap dapat membuka peluang baharu kepada syarikat Malaysia dan negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk mempelbagaikan destinasi perdagangan. Hal ini dilihat signifikan berikutan pengumuman tarif timbal balik oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump pada 2 April 2025 yang dijangka memberikan kesan kepada aliran perdagangan antarabangsa.

Penganjuran forum dan ekspo ini menandakan langkah penting ke arah memperkukuh hubungan perdagangan Selatan-Selatan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang saling menguntungkan antara Malaysia dengan benua Afrika, khususnya Uganda.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi