Diterbitkan pada 23 April 2025, 15:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – SME Corp. Malaysia terus menunjukkan komitmen dalam memperkasakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan menganjurkan Simposium SCORE 2.0 untuk Penskalaan PMKS yang berlangsung di Sumai Jasa, Sumai Hotel Apartment, Kuala Terengganu, semalam.

Majlis perasmian disempurnakan oleh YBrs. Encik Czarif Chai Abdullah yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, YBrs. Encik Rizal Dato’ Nainy.

Dalam ucapannya, Encik Czarif memaklumkan bahawa sebanyak 21 Rakan Strategik baharu telah menandatangani Registration of Interest (ROI) bagi pelaksanaan SCORE 2.0. Antaranya termasuklah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).

SCORE 2.0 atau SME Competitiveness Rating for Enhancement merupakan alat diagnostik yang memberikan penarafan bintang kepada PMKS berdasarkan lima kriteria utama, iaitu pengurusan, jualan/pemasaran, modal insan, kewangan dan pengeluaran/operasi. Sistem ini membolehkan penilaian prestasi PMKS dijalankan secara menyeluruh dan holistik.

Menurut beliau, tahun 2025 menandakan tahun ke-18 pelaksanaan penilaian SCORE sejak sistem ini mula dibangunkan oleh SME Corp. pada tahun 2007. Sehingga kini, hampir 96,000 penilaian telah dilaksanakan di seluruh negara dengan kerjasama pelbagai rakan strategik.

Bagi memperkemas sistem dan meningkatkan produktiviti, SME Corp. telah membangunkan SCORE 2.0 dengan sokongan teknologi terkini seperti integrasi kecerdasan buatan (AI), rantaian blok dan pengkomputeran awan. Inisiatif ini dijangka mempercepat proses penilaian melalui automasi, penghantaran dokumen secara digital serta kemudahan pembayaran dalam talian sepenuhnya.

Simposium ini merupakan sesi keempat yang melibatkan wakil daripada pelbagai kementerian, kerajaan negeri serta institusi pendidikan tinggi dari wilayah Pantai Timur termasuklah Pahang, Terengganu dan Kelantan.

SME Corp. menyeru semua pihak agar terus komited dan memberikan sokongan padu dalam usaha pembangunan PMKS bagi memastikan lebih banyak agensi serta usahawan mendapat pendedahan serta mengambil langkah proaktif untuk mendaftar dan memanfaatkan sistem SCORE 2.0.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi