Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 22 April 2025, 18:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) komited memperluas penggunaan Sistem e-Janji Temu kepada pegawai yang mengendalikan isu percukaian bagi memastikan urusan pembayar cukai dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, sistematik dan efisien.

Menurut HASiL, sistem ini telah mula diperkenalkan sejak 1 Januari 2023 sebagai langkah untuk memudahkan pembayar cukai mendapatkan perkhidmatan di semua Kaunter Perkhidmatan HASiL secara dalam talian dan tersusun.

“Keberkesanan sistem ini telah mendorong peluasan fungsinya pada 8 Mac 2024, apabila sistem ini membolehkan majikan mengemukakan permohonan untuk perkhidmatan kaunter luar, sekali gus memberikan lebih fleksibiliti dalam perkhidmatan percukaian,” jelas pihak HASiL dalam satu kenyataan.

Bermula 1 Mei 2025, pembayar cukai yang menerima surat atau notis melalui peti surat dalam portal MyTax boleh terus mengatur urusan dengan pegawai melalui Sistem e-Janji Temu. Permohonan janji temu boleh dibuat menerusi
Portal MyTax > Peti Mel > Senarai Surat > Surat Berkaitan > Ikon e-Janji Temu.

Bagi memudahkan pengguna, panduan lengkap mengenai sistem ini boleh dirujuk menerusi Portal MyTax > Panduan Pengguna > Manual Pengguna Permohonan e-Janji Temu HASiL (Pembayar Cukai).

HASiL yakin peluasan sistem ini akan membantu pembayar cukai merancang dan mengurus urusan percukaian dengan lebih efisien, menjimatkan masa serta memperkukuh komunikasi antara pembayar cukai dengan pegawai. Inisiatif ini juga dijangka mampu meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan HASiL kepada rakyat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi