Diterbitkan pada 22 April 2025, 16:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) kekal sebagai pemacu utama ekonomi negara dengan menyumbang hampir separuh daripada jumlah peluang pekerjaan di Malaysia yang merangkumi sektor perkhidmatan, pembinaan, pembuatan, pertanian, perlombongan dan pengkuarian.

Pengarah Kanan Bahagian Khidmat Perniagaan SME Corp. Malaysia, Czarif Chai Abdullah berkata, PMKS menyumbang 96.9 peratus kepada keseluruhan pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2023, sekali gus membuktikan peranannya sebagai tonggak utama ekonomi negara.

“PMKS kekal berdaya tahan pada tahun 2023 dengan mencatatkan pertumbuhan positif merentasi semua petunjuk makroekonomi utama termasuklah penyediaan guna tenaga sebanyak 7.8 juta orang, iaitu 48.5 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja negara,” demikian katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Simposium SCORE 2.0: Penskalaan PMKS yang berlangsung di Sumai Hotel & Apartment, hari ini.

Tambah beliau, sebanyak RM33.8 bilion telah diperuntukkan sepanjang tahun 2024 bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan PMKS di seluruh negara.

Sebanyak 325 program keusahawanan dan pembangunan PMKS telah dilaksanakan, antaranya termasuklah Program Pembangunan Modal Insan, Program Infrastruktur serta Program Penerapan Teknologi dan Inovasi.

Menurut beliau, pertumbuhan berterusan sektor PMKS bukan sahaja berperanan menjanakan pekerjaan baharu, malah turut membantu mengurangkan kadar pengangguran dan merangsang ekonomi negara secara menyeluruh.

“Perkembangan ini memberikan manfaat besar kepada rakyat dalam pelbagai sektor dan membuka lebih banyak peluang ke arah pembangunan ekonomi yang mampan dan inklusif,” ujarnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi