Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lawatan negara Presiden China, Tuan Yang Terutama (TYT) Xi Jinping ke Malaysia selama tiga hari yang berakhir semalam memperkukuh kerjasama serantau antara Malaysia dengan China.
Semasa lawatan tersebut, kedua-dua negara menandatangani 31 perjanjian untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor termasuklah teknologi, perdagangan dan pertukaran budaya.
Persahabatan antara Malaysia dengan China telah terjalin selama beribu-ribu tahun, namun hubungan rasmi selama 50 tahun yang terakhir ini telah membuahkan hasil yang signifikan.
Demikian menurut TYT Xi Jinping semasa menghadiri jamuan negara yang diadakan sempena meraikan kedatangan beliau di Istana Negara.
Kedua-dua negara bersetuju untuk melaksanakan pelan ekonomi baharu lima tahun bermula dari tahun 2024 hingga tahun 2028. Dalam masa yang sama, perdagangan antara Malaysia dengan China telah berkembang secara mendadak sejak tahun 1974, meningkat hampir 1,000 kali ganda.
Kedua-dua buah negara juga telah mengenal pasti empat bidang utama untuk pertumbuhan masa hadapan, iaitu ekonomi digital, teknologi hijau, industri marin dan pelancongan.
Malaysia mengalu-alukan pelaburan China dalam rangkaian 5G dan industri semikonduktor yang kian berkembang pada ketika ini. Malaysia–China akan meneruskan kerjasama dalam projek infrastruktur utama seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) selain meneroka usaha kerjasama baharu dalam bidang tenaga hijau, aeroangkasa dan kuasa nuklear.
Berkaitan dengan hal keselamatan, Malaysia menegaskan sokongannya terhadap Dasar Satu China dan mengiktiraf Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayah kekuasaan China. Malaysia dan China juga bersetuju untuk mewujudkan rundingan keselamatan baharu antara Kementerian Luar Negeri dengan Kementerian Pertahanan mereka untuk mengukuhkan lagi kerjasama dalam memerangi jenayah rentas sempadan dan keganasan.
Mengenai pertelingkahan Laut China Selatan, kedua-dua negara menekankan kepentingan mengekalkan keamanan melalui dialog dan bukan dengan konflik. Malaysia–China juga berharap untuk memuktamadkan Tata Kelakuan yang lebih kukuh dalam kalangan negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang lain menjelang tahun 2026.
Dalam masa yang sama, kedua-dua negara berkongsi pendapat bahawa kuasa bukan serantau seperti negara luar Asia seharusnya mengelak daripada campur tangan dalam isu maritim serantau.
Perjanjian perjalanan tanpa visa turut diketengahkan sebagai satu daripada langkah penting untuk meningkatkan persefahaman pelancongan dan pertukaran budaya antara kedua-dua negara. Bermula dari tahun 2024 hingga tahun 2029, kedua-dua negara akan menganjurkan beberapa acara kebudayaan yang menampilkan pertukaran seni, muzik dan filem. Beberapa ekor panda yang dihadiahkan oleh China telah menjadi simbol dan bukti persahabatan antara kedua-dua negara.
Dalam pendidikan, kedua-dua negara-negara bersetuju untuk menubuhkan pusat penyelidikan bersama antara universiti, bekerjasama dalam projek bandar pintar dan menggalakkan lebih banyak program pertukaran pelajar.
Pada peringkat serantau, China menyatakan sokongan terhadap Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini. Kedua-dua negara berjanji untuk bekerjasama dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bagi melaksanakan Sidang Kemuncak Putrajaya 2040 dengan Malaysia menyokong China menganjurkan Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik 2026.
Mengenai isu global, kedua-dua negara menggesa gencatan senjata yang tuntas dan muktamad dilakukan di Semenanjung Gaza serta menyokong penubuhan negara Palestin yang merdeka. Malaysia dan China juga komited untuk mempromosikan perdagangan antarabangsa yang adil melalui Organisasi Perdagangan Dunia (WTO).
Ujar Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhomat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim,
Lawatan ini merupakan peluang yang baik untuk mengukuhkan ikatan antara Malaysia–China. Kedua-dua negara berharap agar dapat terus meneruskan kerjasama rapat dengan negara China untuk kemakmuran bersama dan keamanan serantau.
TYT Xi Jinping mengakhiri lawatannya dengan menjemput YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk melawat China pada masa akan datang.