Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCyberjaya — Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dengan kerjasama Persatuan Alumni Hasil Dalam Negeri (AIRA) akan menganjurkan Seminar Harga Pindahan dan Tadbir Urus Percukaian 2025 sejajar dengan pelaksanaan garis panduan terkini berkaitan dengan Harga Pindahan (Transfer Pricing) dan Tadbir Urus Percukaian (Tax Corporate Governance).
Seminar ini akan berlangsung pada 27 Mei 2025 dan menawarkan dua kaedah penyertaan, iaitu secara bersemuka di The Royale Chulan, Kuala Lumpur dan secara dalam talian melalui pautan webinar. Yuran penyertaan bagi kedua-dua kaedah adalah sebanyak RM780.00 dan peserta akan memperoleh lapan mata Pembangunan Profesional Berterusan (Continuing Professional Development, CPD).
Penganjuran seminar ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran dalam kalangan pengamal percukaian serta pihak berkepentingan mengenai isu semasa dan perkembangan terkini berkaitan dengan Harga Pindahan dan Tadbir Urus Percukaian.
Seminar ini turut menyediakan tiga sesi utama, iaitu Perubahan Terkini Harga Pindahan: Kesan terhadap Perniagaan di Malaysia), Cabaran dan Penambahbaikan dalam Penyediaan Dokumentasi Harga Pindahan Serentak (CTPD) dan Tadbir Urus Percukaian: Memastikan Pematuhan dan Ketelusan Tercapai.
Seminar ini juga menjadi platform strategik untuk membina komunikasi dua hala antara HASiL dengan peserta, sekali gus membolehkan pertukaran maklum balas serta cadangan berkaitan dengan isu percukaian semasa.
Inisiatif ini diharap dapat memantapkan lagi proses pematuhan cukai yang adil dan berkesan serta memperkukuh keyakinan pemegang taruh terhadap sistem kawalan dalaman dan budaya tadbir urus organisasi.
Orang ramai, khususnya pengamal percukaian dan pembayar cukai diundang untuk menyertai seminar ini. Pendaftaran boleh dibuat melalui pautan: https://forms.office.com/r/ssSr9RS4an
Untuk makluman, yuran penyertaan seminar ini boleh dituntut melalui Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) tertakluk kepada syarat dan prosedur yang telah ditetapkan.
Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan dengannya boleh dikemukakan kepada urus setia melalui e-mel [email protected], [email protected] dan [email protected].