Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perbadanan Nasional Bhd. (Pernas) melantik Datuk Nor Azam M. Taib sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa pada 14 April 2025.
Menurut Pernas, Datuk Nor Azam membawa bersama pengalaman lebih daripada 26 tahun di sektor perbankan dan kewangan.
Beliau pernah berkhidmat di Malaysia Building Society Berhad (MBSB) dan semasa di sana, beliau telah memegang beberapa jawatan penting termasuklah sebagai Ketua Pegawai Perniagaan, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sehingga Jun 2024.
Datuk Nor Azam juga menerajui pelbagai inisiatif transformasi termasuklah penstrukturan semula perbankan korporat dan runcit, pengenalan model cawangan baharu yang lebih mesra pelanggan serta pelaksanaan projek digital seperti Virtual Branch, Digital Halal Hub dan Smart School Project sepanjang perkhidmatan di MBSB.
Selain itu, beliau juga berperanan penting dalam pengambilalihan Asian Finance Bank (AFB) dan transformasi MBSB menjadi bank komersial Islam sepenuhnya.
Menurut Pernas, beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Perbankan Perniagaan di Bank Islam Malaysia Berhad dengan tanggungjawab merangkumi strategi pembangunan perniagaan, pengurusan portfolio pelanggan korporat serta perancangan pertumbuhan sektor perbankan perniagaan.
Sebelum itu, beliau juga berkhidmat di beberapa institusi kewangan terkemuka termasuklah Citibank, OCBC Bank, Arab Malaysia Bank dan Hong Leong Bank.
Pelantikan Datuk Nor Azam sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pernas menandakan permulaan lembaran baharu bagi syarikat dengan pengalaman luas serta kepakaran beliau diyakini mampu memperkukuh kedudukan Pernas dan melonjakkan pencapaiannya ke tahap yang lebih tinggi.