Diterbitkan pada 11 April 2025, 18:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rakyat Malaysia yang melancong ke Kemboja kini dapat melakukan transaksi dengan peniaga Kemboja secara mudah berikutan pelancaran rasmi fasa 2 jalinan pembayaran kod QR rentas sempadan antara Malaysia dengan Kemboja.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), menerusi perluasan jalinan ini, pengguna dari Malaysia kini boleh mengimbas kod KHQR menggunakan aplikasi pembayaran mudah alih milik institusi kewangan peserta.

Pengguna dari Kemboja yang mengunjungi Malaysia juga boleh terus membuat pembayaran menggunakan aplikasi Bakong dengan mengimbas DuitNow QR Malaysia, iaitu ciri yang telah diperkenalkan dalam fasa 1.

Menurut BNM lagi, lebih daripada tujuh juta peniaga tempatan di Malaysia dan Kemboja akan mendapat akses kepada bilangan pengguna yang lebih meluas, lantas memberikan manfaat kepada ekonomi kedua-dua buah negara.

Selain itu, pengguna juga boleh mengakses pembayaran rentas sempadan secara segera melalui aplikasi pembayaran tempatan tanpa sebarang kesulitan.

Sementara itu, Gabenor BNM, Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), pihaknya berbesar hati untuk memajukan lagi visi kesalinghubungan pembayaran yang lebih mantap dalam rantau ini melalui fasa terbaharu jalinan pembayaran QR antara Malaysia dengan Kemboja.

Tambah beliau, banyak perniagaan kecil dan individu di seluruh ASEAN dijangka dapat meraih manfaat daripada pembayaran kod QR rentas sempadan secara segera. Hal ini akan terus menyokong integrasi kewangan yang lebih mendalam merentas ekonomi ASEAN.

Jelas beliau lagi,

BNM akan terus memperluas jangkauan jalinan pembayaran dengan rakan serantau dan antarabangsa untuk membentuk rangkaian kesalinghubungan pembayaran yang inklusif dan selamat.

Gabenor National Bank of Cambodia (NBC), Puan Yang Terutama Dr. Chea Serey pula berkata, kemajuan ini bukan sahaja mempermudah transaksi rentas sempadan, malah membuka potensi yang besar untuk pelancongan dengan menawarkan pembayaran yang mudah kepada pengguna Malaysia di Kemboja.

Tambah beliau, kemajuan ini juga membuka rangkuman kewangan yang dapat menghubungkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta individu kepada rangkaian ekonomi yang lebih meluas dan integrasi serantau dengan memajukan visi ASEAN untuk memupuk komuniti yang saling berkait secara digital.

Inisiatif ini bukan sekadar pencapaian teknikal, malah melambangkan suatu jalinan yang mengeratkan budaya, ekonomi serta rakyat Malaysia dan Kemboja.

Tambah beliau,

Langkah ini mencerminkan komitmen NBC untuk memanfaatkan teknologi ke arah pertumbuhan yang berdaya tahan dan inklusif serta memastikan bahawa semua peniaga termasuklah peniaga kecil di Kemboja atau Malaysia dapat mengambil bahagian dalam ekonomi digital global.

Menurut BNM pula, pihaknya dan NBC bekerjasama rapat dengan rakan kongsi tempatan untuk membolehkan jalinan pembayaran kod QR dua hala ini.

Rakan kongsi tersebut termasuklah Maybank sebagai bank penaja dan bank penyelesaian, Payments Network Malaysia (PayNet) serta institusi kewangan peserta dari kedua-dua negara.

Jalinan pembayaran kod QR dua hala ini sejajar dengan Pelan Hala Tuju G20 untuk Meningkatkan Pembayaran Rentas Sempadan yang juga menyokong keutamaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN di bawah tema “Keterangkuman dan Kelestarian”.

Pelancaran rasmi fasa 2 jalinan pembayaran kod QR rentas sempadan  berlangsung di Kuala Lumpur sebagai acara sampingan semasa Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi