Diterbitkan pada 11 April 2025, 16:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bank Negara Kemboja (NBC) secara rasmi menyertai inisiatif Ketersambungan Pembayaran Serantau [Regional Payment Connectivity (RPC)] dengan memeterai memorandum persefahaman sempena pelancaran Fasa Kedua hubungan pembayaran QR rentas sempadan Malaysia-Kemboja. Majlis menandatangani berlangsung semasa Mesyuarat Menteri Kewangan ASEAN dan Gabenor Bank Pusat ke-12 di Kuala Lumpur.

Gabenor NBC, Dr. Chea Serey dalam ucapannya menegaskan bahawa penyertaan dalam inisiatif RPC merupakan langkah penting ke arah memupuk pertumbuhan ekonomi serantau serta membentuk sistem pembayaran yang lebih terangkum dalam kalangan negara ASEAN.

Inisiatif RPC bertujuan untuk mempromosi, mempercepat dan memperluas capaian pembayaran rentas sempadan secara lebih telus dan menyeluruh,” katanya.

Sejak penubuhannya, RPC telah merangsang pembangunan infrastruktur pembayaran serantau terutamanya menerusi penggunaan kod QR sebagai kaedah transaksi utama.

Dr. Chea Serey turut menekankan bahawa inisiatif ini akan memperkukuh aktiviti ekonomi serantau termasuklah memperluas pasaran kepada perusahaan kecil dan sederhana (IKS), memudahkan perdagangan rentas sempadan serta menyokong aliran kiriman wang yang lebih efisien.

RPC telah ditubuhkan pada tahun 2022 oleh bank pusat Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand sebelum diperluas ke Vietnam (2023) serta Brunei Darussalam dan Laos pada awal 2024.

Dengan penyertaan rasmi NBC, kini sembilan bank pusat ASEAN telah menyertai inisiatif ini, sekali gus memperlihatkan potensi RPC untuk berkembang lebih jauh dalam menyokong kerjasama kewangan dan integrasi serantau yang lebih kukuh.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi