Diterbitkan pada 7 April 2025, 16:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Kerajaan Negeri Selangor telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM7.356 juta untuk membantu 617 keluarga yang terkesan akibat insiden letupan paip gas di Putra Heights baru-baru ini.

Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak RM2000 akan diberikan setiap bulan selama enam bulan kepada setiap keluarga yang terlibat.

Dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Amirudin berkata kerajaan negeri akan menanggung sepenuhnya kos sewaan rumah bagi 617 keluarga tersebut sepanjang tempoh pemulihan. Beliau turut menekankan bahawa perbelanjaan keseluruhan termasuk bayaran yang telah dan akan ditanggung oleh pemilik rumah sepanjang tempoh tersebut.

Amirudin juga memberikan perkembangan terkini mengenai insiden kebakaran paip gas yang berlaku pada minggu lalu. Sehingga kini, sebanyak 151 buah rumah telah disahkan selamat dan dibenarkan untuk diduduki semula. Manakala, daripada 437 buah rumah yang terjejas, 81 buah rumah musnah sepenuhnya, 81 buah rumah separa musnah, 57 buah rumah terbakar tanpa kesan struktur dan 218 buah rumah tidak terjejas.

“Selain itu, tindakan pantas daripada pasukan keselamatan seperti bomba serta bantuan orang awam dan penduduk setempat telah berjaya menyelamatkan nilai harta benda yang dianggarkan berjumlah RM285.9 juta,” tambah beliau.

Sebagai langkah susulan, Menteri Besar Selangor turut mengumumkan pelantikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Johary Anuar sebagai Ketua Fasa Pemulihan. Tugas utama beliau adalah untuk mengetuai usaha baik pulih bagi kawasan yang terkesan termasuklah rumah, jalan, infrastruktur dan kemudahan awam.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri akan menghantar pegawai untuk membantu pelajar yang terjejas di pusat pemindahan sementara (PPS) supaya mereka dapat meneruskan sesi persekolahan. Beliau juga mengumumkan sumbangan sebanyak RM500 kepada 265 orang pelajar yang terlibat dalam insiden tersebut melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor).

Insiden kebakaran yang melibatkan saluran gas PETRONAS itu menyaksikan api yang menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1000 darjah Celsius. Keadaan ini menyebabkan pasukan bomba terpaksa bekerja hampir lapan jam untuk memadamkan kebakaran tersebut sepenuhnya.

Kerajaan Negeri Selangor komited untuk terus memberikan sokongan kepada keluarga yang terjejas dalam usaha mereka untuk pulih daripada kejadian ini.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi