Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) memaklumkan bahawa perkhidmatan permohonan ansuran untuk bayaran baki cukai atau tunggakan cukai kini boleh dilakukan secara dalam talian melalui e- Ansuran di portal MyTax bermula 5 Mac 2025.
Menurut HASiL, inisiatif ini bertujuan untuk memudahkan pembayar cukai memohon ansuran baki atau tunggakan cukai dengan kelulusan yang diberikan secara automatik tanpa memerlukan sebarang dokumen sokongan.
Beberapa syarat dan kriteria ditetapkan bagi pembayar cukai yang layak memohon perkhidmatan e-Ansuran. Antaranya termasuklah permohonan mesti melibatkan jumlah melebihi RM300.00, jumlah bilangan ansuran antara dua hingga enam kali dan hanya melibatkan ansuran cukai pendapatan; dan tidak melibatkan ansuran yang sedang berkuat kuasa.
Pembayar cukai yang ingin memohon boleh mengakses perkhidmatan e-Ansuran dengan log masuk ke Portal MyTax di pautan https://mytax.hasil.gov.my/. Namun begitu, sebarang pembatalan permohonan hanya boleh dilakukan di pejabat HASiL.
HASiL turut menyatakan komitmennya untuk menyediakan kemudahan pembayaran cukai yang lebih fleksibel dan mesra pengguna bagi memudahkan pembayar cukai untuk memenuhi tanggungjawab mereka dengan lebih mudah dan teratur.