Diterbitkan pada 12 Mac 2025, 11:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Aceh dan Tanah Melayu memiliki legasi sejarah yang sangat menarik untuk diteroka. Sejak lebih empat abad yang lalu, sejarah ini tidak pernah dilupakan. Terdapat banyak nilai dan pengajaran yang boleh dipelajari dan diperkukuh terutamanya dalam konteks ekonomi rantau.

Sejak zaman dahulu, kuasa Barat pernah menggeruni kerjasama antara Aceh dengan Melaka terutamanya dalam bidang perdagangan. Kedua-dua wilayah ini memainkan peranan penting dalam membuka laluan perdagangan dunia dan gabungan kebijaksanaan pentadbiran mereka telah mengukir kecemerlangan dalam sejarah perdagangan. Tidak hanya itu, pengaruh pemerintahan Uthmaniyyah turut memberikan sentuhan kedaulatan yang memperkukuh lagi kekuatan wilayah ini.

Sejarah perhubungan diplomatik dan perdagangan antara Aceh dengan Melaka pastinya menyimpan banyak kisah yang menarik untuk diteroka terutamanya oleh generasi muda masa kini.

Dalam usaha mengembalikan zaman kegemilangan perdagangan Melayu, satu Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM1 bilion antara Selecta Station (M) Sdn. Bhd. yang mewakili Dewan Perniagaan Malaysia-Aceh dengan beberapa syarikat Malaysia dan Indonesia telah ditandatangani pada 9 Mac 2025.

Perjanjian ini memberikan harapan untuk memperkukuh kembali hubungan perdagangan antara Aceh dengan Malaysia, khususnya di Pelabuhan Kuala Sepetang yang terletak di Taiping, Perak. Perkara ini merupakan usaha untuk menghidupkan kembali sejarah perdagangan yang telah direkodkan sejak lebih 450 tahun lalu pada abad ke-16.

Pelabuhan Kuala Sepetang dijangka menjadi hub perdagangan yang menghubungkan Pelabuhan Kota Lhokseumawe di Aceh, sekali gus membuka jalan bagi kerjasama ekonomi yang lebih erat antara kedua-dua wilayah.

Projek pelabuhan ini akan dilaksanakan melalui kerjasama antara Arzad Gull Development Sdn. Bhd. dengan Selecta Station (M) Sdn. Bhd. serta sokongan daripada kerajaan Aceh. Projek ini dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2030.

Dengan pelabuhan ini, diharapkan dapat memberikan impak besar kepada ekonomi, dengan potensi hasil yang melebihi RM10 bilion setahun. Selain itu, kedua-dua Aceh dan Malaysia akan menerima manfaat besar daripada pengembangan sektor ekonomi hiliran yang pasti akan tumbuh pesat selepas projek ini dilaksanakan.

Pelabuhan Kuala Sepetang juga akan dilengkapi dengan ekosistem berteknologi tinggi termasuklah pembangunan gudang terikat (bonded warehouse) seluas 650,000 kaki persegi yang akan dikendalikan oleh Right Space Sdn. Bhd., peneraju industri logistik. Lebih menarik lagi, pelabuhan ini akan menjadi yang pertama di rantau ini untuk menghasilkan karbon bernilai jutaan ringgit setiap tahun berasaskan sumber kayu bakau dengan kerjasama Kualiti Alam Hijau (M) Sdn. Bhd. dan PT. Malindo Internasional Indonesia.

Mulai tahun 2030, Pelabuhan Lhokseumawe dan Kuala Sepetang dijangka menjadi nadi utama bagi perdagangan dalam pelbagai sektor seperti perikanan, pertanian, perlombongan dan pelancongan. Projek besar ini memerlukan sokongan dan pelibatan pelbagai pihak terutamanya daripada kerajaan kedua-dua negara, kerajaan negeri dan agensi berkaitan dengannya seperti Northern Corridor Economic Regions (NCER), Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) serta institusi kewangan Islam antarabangsa seperti Bank Pembangunan Islam dan bank tempatan.

Diharapkan usaha ini akan memperkasakan ekonomi rantau ini dan mencapai matlamat yang digariskan, sekali gus memperkukuh kestabilan dan keterangkuman ekonomi dalam semangat Malaysia yang memimpin Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi