Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMalaysia mempunyai garis pantai yang luas, lebih daripada 7,000 kilometer dengan 4,675 kilometer terletak di Semenanjung Malaysia dan 2,475 lagi di Sabah dan Sarawak, yang terletak di Pulau Borneo. Dengan keluasan garisan pantai yang luas ini, Malaysia memiliki potensi besar dalam industri maritim yang berasaskan sumber kelautan.
Kepelbagaian ekosistem Malaysia telah membuka pelbagai peluang bagi sektor yang terlibat dalam pengambilan sumber alam semula jadi dari dasar laut, pemprosesan dan penghasilan produk berasaskan sumber kelautan. Hal ini termasuklah sektor perlombongan laut, pengambilan mineral dan logam, sektor perikanan, pelancongan pantai, pengangkutan maritim dan pembangunan tanah pesisir.
Selain itu, pembangunan industri maritim turut melibatkan pembinaan infrastruktur dan pembangunan kawasan sepanjang pantai bagi tujuan kediaman, komersial, dan industri. Secara keseluruhannya, industri maritim memainkan peranan yang sangat penting kepada ekonomi negara, terutamanya di negara yang memiliki garis pantai panjang dan kaya dengan sumber semula jadi laut.
Perkembangan industri maritim di Malaysia kini dibincangkan dari pelbagai sudut oleh pemain industri, pihak kerajaan dan juga cendekiawan di universiti. Banyak perbincangan ekonomi berteraskan kelautan dan pesisir pantai telah dibincangkan dalam seminar, forum dan persidangan ilmiah, baik pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Pelbagai peluang dan cabaran dalam industri ini telah dikaji demi membangunkan aktiviti ekonomi yang melibatkan penggunaan sumber semula jadi laut dan pesisir pantai. Malaysia, dengan pesisir pantainya yang panjang dan kaya dengan sumber alam semula jadi menawarkan banyak peluang dalam memajukan industri maritim.
Namun begitu, perbincangan mengenai industri maritim kini dilihat melalui lensa yang lebih baharu dengan menekankan aktiviti marin yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Para cendekiawan dan pemain industri telah mengaitkan industri maritim dengan konsep ekonomi biru. Konsep Ekonomi Biru diperkenalkan secara rasmi pada tahun 2012 semasa Persidangan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pembangunan Lestari (Rio+20) di Rio de Janeiro, Brazil. Pada persidangan ini, Ekonomi Biru dipromosikan sebagai suatu pendekatan untuk memanfaatkan sumber daya laut secara mampan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi, memperbaiki taraf hidup, dan melindungi ekosistem laut. Sejak perlaksanaan konsep tersebut, Malaysia dan juga beberapa negara lain telah mula memberikan perhatian kepada prinsip ekonomi biru dalam konteks polisi dan strategi pembangunan industri berkaitan dengannya.
Pelbagai perkara telah dibincangkan bersama di pelbagai sektor yang terlibat dalam ekonomi biru ini, seperti perikanan dan akuakultur, pengambilan dan pemprosesan sumber daya marin seperti minyak dan gas, serta mineral, perkapalan dan pengangkutan barangan, pelancongan dan rekreasi yang bergantung kepada lautan dan juga pemeliharaan biodiversiti.
Melalui perlaksanaan konsep ekonomi biru ini, Malaysia telah mula memberikan perhatian kepada penggunaan sumber laut secara mampan sambil mempromosikan pertumbuhan ekonomi. Konsep ini menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar marin dan pantai. Hal ini bertujuan untuk melindungi ekosistem laut secara berterusan sambil meningkatkan taraf hidup sosial. Secara ringkasnya, ekonomi biru adalah konsep yang boleh diterapkan dalam pelbagai model dan strategi negara mengikut konteks, keperluan, dan matlamat pihak berkepentingan.
Malaysia berada di ambang peluang besar dalam ekonomi biru, dengan sumber daya marin yang kaya, menjadikannya unik dalam bidang ini. Ekonomi biru menawarkan peluang bagi industri maritim yang mampan, mendorong pertumbuhan ekonomi sambil mengekalkan penjagaan alam sekitar. Konsep ini menyokong matlamat kerajaan untuk membangunkan industri maritim yang mampan, terutamanya dalam memaksimumkan sumber daya secara bertanggungjawab serta melindungi ekosistem marin untuk kesejahteraan generasi akan datang.
Bagi memperkukuh perlaksanaan industri ini, kerajaan Malaysia telah meneliti beberapa aspek utama dalam polisi ekonomi biru negara. Antara dasar utama yang dilaksanakan termasuk Dasar Laut Negara (National Ocean Policy) yang memberikan panduan pengurusan sumber daya laut; Dasar Pembangunan Ekonomi Biru (Blue Economy Development Policy) yang bertujuan menjadikan industri maritim sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara; dan Pembangunan Infrastruktur Maritim yang memfokuskan kepada peningkatan pelabuhan, perkapalan dan sistem pengangkutan laut.
Di samping itu, universiti tempatan di Malaysia juga telah memberikan perhatian kepada perlaksanaan ekonomi biru. Sebagai contoh, Universiti Malaya (UM) telah menjalankan kajian mengenai pengurusan sumber daya laut yang mampan dan penyelidikan mengenai ekonomi biru, terutama melalui pusat penyelidikan yang fokus kepada kelestarian alam sekitar dan pembangunan mampan. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut memberikan perhatian kepada perlindungan ekosistem laut dan pembangunan komuniti pesisir, manakala Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalankan kajian dengan pendekatan sains dan teknologi untuk pelestarian sumber daya laut. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula menumpukan kajian dalam bidang kejuruteraan maritim dan teknologi hijau khususnya dalam inovasi teknologi sumber daya laut.
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) turut memainkan peranan penting melalui kerjasama penyelidikan maritim dan kelestarian sumber daya laut dengan pihak kerajaan, industri, dan badan antarabangsa. UMT juga telah melancarkan Pusat Kemajuan Ekonomi Biru (UMTBeacon) pada September 2024 untuk memperkukuh penyelidikan dan pembangunan dalam industri maritim dan ekonomi biru, serta memperluaskan pelibatan dalam perbincangan antarabangsa. Melalui pusat ini, UMT telah mengadakan Perbincangan Meja Bulat dengan tema “Mendorong Pertumbuhan Ekonomi melalui Ekonomi Biru di Malaysia,” yang melibatkan agensi kerajaan, badan lain, dan pihak berkepentingan dalam pembangunan ekonomi biru.
Perbincangan ini meliputi perancangan dalam sektor Perikanan dan Akuakultur Lestari, Ekosistem Marin Lestari, Tenaga Biru, Pelabuhan Maritim dan Pengangkutan Laut dan Keusahawanan Ekonomi Biru. Sesungguhnya, perbincangan ini telah memberikan idea, pendapat dan cadangan bagi merealisasikan konsep Ekonomi Biru dalam industri maritim.
Selaras dengan dasar kerajaan yang juga memberikan perhatian terhadap pembangunan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam ekonomi biru, UMT juga menghasilkan graduan yang mahir dan berkemahiran tinggi dalam bidang ini melalui penawaran pelbagai program berkaitan dengannya, seperti sains marin, perikanan dan pengurusan sumber laut. Kerjasama antara institusi pendidikan tinggi, pihak kerajaan, ahli akademik, dan pemain industri adalah penting untuk memantapkan pembangunan sektor yang terlibat dalam ekonomi biru di Malaysia.
Profesor Madya Dr. Muhammad Abi Sofian Abdul Halim ialah pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Lestari, Universiti Malaysia Terengganu.