Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPenarafan daya saing global IMD adalah satu petunjuk penting yang menjadi sandaran dalam menilai daya saing sesebuah negara oleh para pelabur. Kejatuhan Malaysia dalam penarafan daya saing global yang dikeluarkan oleh IMD pada bulan Jun lalu perlu diambil perhatian serius oleh kerajaan dan semua pihak.
Malaysia jatuh daripada tangga ke-27 (2023) kepada tangga ke-34 daripada 67 buah negara yang dinilai. Hal ini merupakan kedudukan terendah Malaysia sejak tahun 2010. Buat kali pertama Thailand dan Indonesia mengatasi Malaysia, masing-masing pada kedudukan ke-25 dan ke-27. Yang lebih merisaukan ialah trend jangka panjang yang jelas menggambarkan Malaysia dalam kedudukan menurun atau merosot.
Trend menurun ini jelas bertentangan dengan satu daripada sasaran Ekonomi MADANI yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada tahun lepas. Malaysia mensasarkan untuk berada pada kedudukan ke-12 tahun 2030. Malaysia pernah berada di tangga ke-12 pada tahun 2014 dan terkini tahun 2024, Amerika Syarikat berada di tangga ke-12. Hanya berbaki enam tahun lagi untuk negara membuat lonjakan 22 anak tangga ke atas.
Faktor-faktor yang dinilai membayangkan ‘kualiti’ persekitaran ekonomi dan perniagaan di Malaysia. Sejauh mana Malaysia mampu menjadi sebuah destinasi pelaburan yang merangsang kejayaan pelaburan. Tindakan mengukuhkan daya saing memerlukan keterlibatan secara bersungguh-sungguh. Setiap sasaran Ekonomi MADANI mesti digerakkan oleh pasukan yang meneliti, menyusun strategi, memantau dan memastikan pelaksanaan serta melaporkan kemajuan sasaran yang digariskan.
Daya saing bukan bayangan prestasi ekonomi tahunan seperti eksport dan nilai mata wang. Sebahagian besar faktor yang dinilai adalah merujuk kepada struktur termasuklah percukaian, produktiviti dan kecekapan; peraturan perniagaan, pasaran buruh, sikap dan nilai; institusi, infrastruktur, pendidikan dan lain-lain.
Merujuk kepada 20 subpetunjuk daya saing, berbanding dengan tahun 2023, hanya tiga sahaja subpetunjuk yang meningkat, iaitu pelaburan antarabangsa (darippada tangga 29 kepada 28), pekerjaan (daripada tangga 21 kepada 18), dan pendidikan (daripada tangga 45 kepada 44).
Ketegasan dan komitmen YAB Perdana Menteri untuk melonjak Malaysia menjadi sebuah negara yang hebat dan dihormati setidak-tidaknya di Asia boleh direalisasikan dengan usaha gigih menarik pelaburan. Walau bagaimanapun, sekiranya daya saing negara terjejas, Malaysia berisiko ketinggalan berbanding dengan negara lain.
Perbincangan untuk mengukuhkan daya saing negara penting dalam membawa pemegang taruh awam dan swasta bersama-sama menghadapi cabaran negara. Daya saing negara bukan sekadar faktor untuk menarik pelaburan malah antara penentu utama kejayaan membangun dan memajukan negara. Implikasinya kepada kesejahteraan kita semua.