Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSistem kewangan Islam telah bertapak sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Hal ini demikian kerana Hukum Kanun Melaka merupakan hukum Islam yang pertama diperkenalkan oleh Sultan Muhammad Shah di negeri Melaka. Terdapat beberapa aspek yang ditekankan dalam Undang-undang Melaka, antaranya termasuklah undang-undang perkahwinan, jual beli dan prosedur yang memperlihatkan Hukum Kanun Melaka ialah undang-undang Islam.
Kewajipan menunaikan haji mendorong umat Islam mengumpulkan wang bagi membolehkan mereka membiayai perbelanjaan ke Tanah Suci. Bermula dengan kesedaran tersebut, Almarhum Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz menubuhkan Tabung Haji pada tahun 1963 bagi mentadbir kewangan jemaah haji, memudahkan urusan perjalanan jemaah haji dan juga memastikan ekonomi umat Islam terjamin dengan pelaburan yang baik.
Kemuncak kebangkitan sistem kewangan Islam pada tahun 1980-an menyaksikan penubuhan Bank Islam yang pertama diikuti dengan Syarikat Takaful Malaysia Berhad dan Pasaran Modal Islam. Komitmen kerajaan Malaysia mengiktiraf sistem kewangan Islam dapat dilihat dalam penggubalan Akta Bank Negara Malaysia 2009 yang jelas menyebut pelaksanaan sistem kewangan konvensional dan sistem kewangan Islam.
Komponen utama kewangan Islam ialah perbankan, takaful dan pasaran modal. Perbankan menjurus kepada hubungan institusi perbankan dengan pelanggan yang menawarkan pelbagai produk seperti deposit, pembiayaan, sewaan dan pelaburan. Yang kedua, institusi takaful sebagai institusi jaminan kewangan kepada institusi kewangan dan pelanggan berperanan menyokong kestabilan ekonomi dan kemapanan sistem kewangan Islam. Seterusnya, pasaran modal relevan dalam menarik pelaburan untuk projek mega seperti pembinaan lebuh raya dan infrastruktur seperti pembinaan sekolah.
Instrumen utama pasaran modal Islam ialah sukuk dan unit amanah. Ekosistem kewangan Islam dikatakan dinamik dengan penglibatan instrumen kewangan sosial seperti agihan zakat untuk pemerkasaan asnaf melalui pembiayaan mikro untuk menaikkan taraf hidup.
Pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan 2030 mengukuhkan kelestarian kewangan Islam kepada masyarakat melalui pengukuran tadbir urus yang berintegriti, pemeliharaan alam sekitar, dan pemerkasaan komuniti dalam pelbagai impak sosial dan keuntungan. Agenda pendigitalan melalui pelaksanaan teknologi kewangan meningkatkan rangkuman kewangan, antaranya termasuklah dengan penubuhan bank digital.
Kerangka Perundangan Dinamik
Kestabilan sistem kewangan Islam berpaut pada kerangka perundangan yang mantap dan dinamik. Keunikan kerangka perundangan sistem kewangan Islam adalah kerana menggabungkan perundangan syariah dan sivil. Asas kewangan Islam ialah Fiqh Muamalat bersumberkan al-Quran, sunah, ijmak dan qias, selain sumber sekunder seperti istihsan, masalih al-mursalah dan adat muhkamat. Objektif utama transaksi muamalat ini ialah kesejahteraan dunia dan akhirat dengan memelihara Maqasid al-Syariah, iaitu terpeliharanya agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda.
Perlembagaan Persekutuan merupakan sumber undang-undang tertinggi di Malaysia. Akta Bank Negara Malaysia 2009, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, Akta Kontrak 1950 dan Akta Syarikat 2016 antara undang-undang yang mengawal operasi dan instrumen kewangan Islam.
Pada tahun 1997, Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (BNM) telah ditubuhkan sebagai badan autoriti tertinggi syariah dalam hal ehwal kewangan Islam. Ahli Majlis ini dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan keputusan yang dikeluarkan oleh Majlis ini mengikat institusi kewangan islam, badan pengantaraan dan mahkamah.
Institusi Pengawalseliaan
Terdapat dua buah institusi pengawal selia kewangan Islam, iaitu BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). BNM ialah bank pusat yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia untuk mengawal kestabilan kewangan negara. BNM akan mencadangkan kepada Menteri Kewangan berkaitan dengan institusi kewangan yang layak diberikan lesen operasi. Dalam hal ehwal kewangan Islam, Majlis Penasihat Syariah BNM bertanggungjawab membuat keputusan berkaitan dengan isu syariah yang mesti dipatuhi oleh institusi kewangan Islam, badan pengantaraan dan mahkamah.
Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 memberikan mandat kepada BNM untuk memastikan pematuhan syariah dalam operasi kewangan dengan mengeluarkan standard syariah dalam bentuk polisi dokumen. Antara standard itu termasuklah Polisi Dokumen Tawarruq, Polisi Dokumen Mudarabah dan Polisi Dokumen Murabahah. Jawatankuasa syariah di institusi perbankan dan takaful pula bertanggungjawab memastikan tadbir urus dan pematuhan syariah dilaksanakan dengan integriti dan cekap.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia merupakan institusi yang mengawal pasaran modal di Malaysia. Pasaran modal Islam penting dalam memastikan kecairan aset kewangan Islam berkembang dengan progresif dan terkawal. Instrumen sukuk mengguna pakai pelbagai jenis kontrak Islam seperti Sukuk Murabahah untuk pelaburan jangka pendek dan Sukuk Musharakah untuk pelaburan jangka panjang.
Garis panduan Sukuk Mampan bertanggungjawab memastikan semua projek melibatkan sukuk memberikan impak kepada alam sekitar, sosial dan wakaf. Sebagai contoh, Sukuk Hijau yang diterbitkan oleh Tadau Energy untuk membiayai projek solar di Kudat Sabah telah memberikan impak positif kepada penduduk dengan pembinaan sekolah dan kemudahan jalan raya yang baik, manakala Sukuk Ihsan diterbitkan oleh Khazanah Nasional untuk pembinaan infrastruktur pendidikan.
Inisiatif Pengantaraan Berasaskan Nilai
Dalam usaha melestarikan sistem kewangan Islam, BNM telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan institusi kewangan sebagai pengantara berasaskan nilai pada tahun 2018 dan dipelopori oleh Persatuan Bank-bank Islam Malaysia.
Inisiatif ini bertujuan memastikan pemeliharaan dan pengagihan kekayaan yang adil selaras dengan Maqasid al-Syariah, iaitu penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda. Institusi kewangan Islam perlu mengubah strategi perniagaan daripada jangka pendek untuk mengaut keuntungan kepada jangka panjang, iaitu memastikan tadbir urus yang baik, memberikan impak sosial kepada komuniti dan memastikan keuntungan kepada institusi.
Gagasan berasaskan nilai ini telah meluaskan skop tanggungjawab sosial korporat kepada pemerkasaan komuniti dengan memberikan latihan kepada penerima bantuan hingga boleh mengubah cara hidup. Sebagai contoh, sumbangan mesin jahit dan pemberian latihan kepada penerima hingga menjadi tukang jahit yang berjaya.
Sistem kewangan Islam kini dilihat sebagai suatu komponen yang berdaya maju dan teguh dalam keseluruhan sistem kewangan negara; dan sebagai suatu alternatif kepada sistem kewangan konvensional. Antara langkah yang boleh diambil untuk memastikan kewangan Islam terus berkembang termasuklah mengukuhkan kerangka perundangan syariah dan sivil dalam operasi kewangan Islam; sokongan kerajaan dalam pelbagai bentuk seperti pembentukan polisi, garis panduan, kewangan dan modal insan; dan galakan inovasi dengan menyediakan dana untuk pembentukan pelbagai instrumen yang boleh memberikan impak kepada alam sekitar, sosial dan tadbir urus. Selain itu, usaha lain yang boleh dilakukan adalah dengan pewujudan kerjasama strategik antara institusi kewangan Islam dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk kerajaan, badan bukan kerajaan, dan sektor swasta; dan yang terakhir, memanfaatkan teknologi terkini untuk meningkatkan akses dan efisiensi perkhidmatan kewangan Islam sambil menggalakkan penglibatan komuniti dalam aktiviti kewangan Islam melalui program yang memperkasakan ekonomi setempat.
Penulis ialah Ketua Program Siswazah, Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia.