9 April 2024, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa indeks pengeluaran perindustrian (IPP) meningkat 3.1 peratus tahun ke tahun pada Februari 2024 didorong oleh momentum positif dalam kesemua sektor.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan sederhana ini terutamanya berikutan pertumbuhan output yang lebih perlahan dalam sektor pembuatan yang berkembang 1.2 peratus berbanding 3.7 peratus pada Januari 2024.

“Namun begitu, sektor perlombongan dan elektrik masing-masing terus berkembang 8.1 peratus (Januari 2024: 5.0 peratus) dan 10.9 peratus (Januari 2024: 8.3 peratus).”

Berbanding dengan bulan sebelumnya, IPP merosot sebanyak 6.3 peratus berbanding positif 2.0 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Peningkatan 1.2 peratus dalam output sektor pembuatan pada Februari 2024 disokong oleh industri berorientasikan domestik yang berkembang sebanyak 3.8 peratus (Januari 2024: 8.0 peratus).

Beliau berkata pengembangan dalam industri berorientasikan domestik dipacu oleh pembuatan produk logam fabrikasi, kecuali mesin dan kelengkapan yang mencatatkan peningkatan 8.4 peratus; diikuti oleh pembuatan produk galian bukan logam lain (5.1 peratus); dan pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler pada 2.9 peratus.

Berbanding dengan bulan sebelumnya, industri berorientasikan domestik merosot sebanyak 7.5 peratus berbanding peningkatan 4.9 peratus pada Januari 2024.

Sementara itu, industri berorientasikan eksport kembali kepada jajaran negatif dengan penurunan kecil 0.1 peratus pada Februari 2024 berbanding pertumbuhan positif 1.6 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

“Penyusutan tersebut terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (-13.5 peratus); Pembuatan kimia dan produk kimia (-2.8 peratus); dan pembuatan kelengkapan elektrik (-2.2 peratus).”

Mohd Uzir menegaskan bahawa pengembangan 8.1 peratus dalam sektor perlombongan pada Februari 2024 dipacu oleh pertumbuhan 11.9 peratus dalam pengeluaran gas asli (Januari 2024: 6.6 peratus) manakala pengeluaran minyak mentah dan kondensat kekal dengan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 2.5 peratus (Januari 2024: 2.6 peratus).

Berbanding Januari 2024, indeks perlombongan merosot 6.9 peratus berbanding positif 3.1 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.