20 April 2024, 19:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia (WBG) 2024 di Washington D.C., Amerika Syarikat dari 17 April hingga 19 April 2024.

Menurut Kementerian Kewangan, mesyuarat ini merupakan platform untuk membincangkan hal ehwal berkaitan hubungan dua hala dan pelbagai hala antara Malaysia dengan WBG dan IMF serta negara anggota yang lain.

Tambah beliau, negara anggota juga akan berkongsi pendapat berhubung pelaksanaan strategi dan dasar negara masing-masing dalam menangani isu semasa ekonomi dan kewangan global dalam sidang plenari dan sesi perbincangan semasa Mesyuarat Mengenai Persefahaman Tindakan Iklim Menteri-Menteri Kewangan (CFMCA).

“Bagi menyambut usaha tindakan perubahan iklim global, Malaysia menyasarkan untuk mencapai keseimbangan melalui pelaksanaan mekanisme penetapan harga bahan api yang bersesuaian dalam mendorong kepada penggunaan tenaga yang lebih cekap dan peralihan kepada tenaga boleh baharu tetapi pada masa yang sama mengambil kira impak sosio-ekonomi terhadap rakyatnya,” kata Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam kenyataan yang sama baru-baru ini.

Tambah beliau, pendekatan ini sejajar dengan komitmen Malaysia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menggalakkan amalan lestari tanpa membebankan rakyatnya.

Sementara itu, Kementerian Kewangan berkata, pada sela Mesyuarat Musim Bunga ini, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan turut mengadakan sesi libat urus dengan agensi penarafan kredit (CRA) seperti JP Morgan, Standard and Poors (S&P), Moody’s dan Fitch.

Selain daripada itu, YB Senator Amir Hamzah turut akan berkongsi dan bertukar pandangan dengan ketua delegasi daripada negara anggota yang lain berkenaan perkembangan ekonomi negara dan global melalui mesyuarat dua hala yang telah dijadualkan.

Katanya, beliau mengadakan perjumpaan dengan pegawai kanan IMF dan WBG untuk membincangkan hala tuju program dan aktiviti yang dilaksanakan di bawah kerjasama Malaysia dengan IMF dan WBG.

Kementerian Kewangan berkata penyertaan Malaysia dalam Mesyuarat Musim Bunga IMF dan WBG ini penting sejajar dengan komitmen berterusan negara dalam usaha menggiatkan pertumbuhan secara bersama, khususnya dalam perkembangan ekonomi serantau dan global.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.