19 April 2024, 21:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengumumkan syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan sebagaimana pengumuman YAB Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2024 yang lalu.

Menurut KBS, kerajaan telah mencadangkan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000 pada Belanjawan lalu dan pelepasan ini juga akan diperluas meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan.

“Perbelanjaan yang dibenarkan adalah untuk kegunaan atau manfaat diri sendiri, suami, isteri atau anak dan antara jenis pelepasan cukai individu berkaitan perbelanjaan sukan yang layak dituntut adalah seperti pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan mengikut jenis sukan yang disenaraikan dalam Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576] (tidak termasuk basikal dua roda bermotor),” kata KBS dalam satu kenyataan.

Selain itu katanya, pelepasan cukai juga melibatkan bayaran sewaan atau fi kemasukan ke mana-mana fasiliti sukan; bayaran fi pendaftaran bagi menyertai apa-apa pertandingan sukan dan yuran keahlian gimnasium atau latihan sukan.

KBS berkata, pelepasan cukai bagi yuran menyertai latihan sukan adalah skop baharu yang dimasukkan untuk perbelanjaan yang dibuat oleh individu bermula pada tahun 2024.

Tambahnya, kriteria latihan sukan yang layak mendapat pelepasan cukai ialah latihan secara one-off atau bersiri yang diadakan secara berstruktur seperti kelas, klinik, kursus, bengkel dan sebagainya.

“Jenis sukan pula adalah seperti yang tersenarai di bawah Jadual Pertama, Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576]; penyedia latihan mestilah persatuan, kelab sukan atau syarikat yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan atau diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 dan perbelanjaan bagi yuran latihan sukan dibuktikan dengan resit pembayaran termasuk resit yang dijana secara dalam talian  tetapi bankin slip dan penyata akaun bank tidak boleh digunakan sebagai bukti atau resit pembayaran,” jelasnya.

KBS menasihatkan orang ramai untuk membuat semakan terlebih dahulu sama ada penyedia latihan yang ingin disertai mematuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan agar mereka layak untuk mendapat pelepasan cukai ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.