25 Mac 2024, 09:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ketibaan bulan ramadan saban tahun dinanti umat Islam dengan penuh keterujaan kerana bulan ini penuh dengan rahmat dan kelebihan berbanding bulan hijrah lain. Bagi para peniaga terutamanya peniaga kecil, bulan ramadan merupakan antara bulan yang ditunggu-tunggu kerana mereka boleh membuka tapak di bazar Ramadan dan Aidilfitri yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri masing-masing. Permit tapak bazar ramadan dan aidilfitri yang dikeluarkan juga selalunya laris dan jadi rebutan ramai peniaga. Budaya masyarakat Malaysia yang berbuka puasa dengan meriah dan menyambut aidilfitri menjadikan ramadan sebagai bulan limpahan dan lubuk rezeki buat para peniaga bazar kerana keuntungan bulan ini berlipat kali ganda buat para peniaga. Jika dahulu, sememangnya bazar ramadan dan aidilfitri menjanjikan keuntungan buat para peniaga tetapi pada tahun lepas mula terdapat keluhan dalam kalangan peniaga bazar ramadan bahawa mereka tidak memperoleh keuntungan seperti sebelum ini.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bazar didefinisikan sebagai sekelompok kedai kecil atau gerai tempat menjual berbagai barang. Peniaga di bazar ramadan menjual pelbagai jenis makanan dan minuman untuk hidangan berbuka puasa dan kebiasaannya akan mula beroperasi pada pukul 3 petang sehingga waktu berbuka pada setiap hari. Para peniaga di bazar sidilfitri pula menjual barangan bagi persiapan sambutan aidilfitri seperti baju raya, kuih raya dan sebagainya yang beroperasi seawal pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap hari pada bulan ramadan. Bazar aidilfitri bertambah meriah pada malam raya kerana kebanyakan peniaga akan menjual barangan masing-masing dengan harga yang jauh lebih murah berbanding sebelumnya.

Menurut statistik bazar ramadan dan aidilfitri 2023 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM), nilai jualan bazar ramadan dan aidilfitri pada tahun lepas telah meningkat 5.9 peratus kepada RM2.5 bilion berbanding RM2.4 bilion yang direkodkan pada tahun 2022. Jadi, tidak hairanlah ramai yang akan berebut tapak bazar ramadan dan aidilfitri setiap tahun sehingga ada kes pergaduhan yang berlaku akibat perebutan tersebut. Bahkan, pada tahun lepas, terdapat beberapa kes individu atau ejen bergelar “Ayahanda” yang memonopoli tapak bazar tersebut dan kemudian menjualnya dengan harga tinggi bagi mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Antara lokasi tapak bazar yang popular menjadi pilihan ialah Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Masjid India, bazar Ramadan Kelana Jaya, bazar ramadan Sentosa dan beberapa lokasi strategik lain.

Bazar ramadan merupakan syurga makanan dan antara tempat tumpuan sepanjang tempoh berpuasa. Bazar ini bukan hanya menjadi tumpuan umat Islam yang ingin membeli juadah untuk berbuka berpuasa tetapi turut menjadi tumpuan pelbagai lapisan masyarakat termasuklah mereka yang bukan beragama Islam. Para pelancong dari luar negara juga dilihat mengambil kesempatan mengunjungi bazar ramadan untuk lebih mengenali budaya masyarakat Malaysia menerusi makanan. Bazar mempunyai keunikan tersendiri kerana menghimpunkan pelbagai sajian makanan dan minuman daripada makanan berat hingga ke pencuci mulut. Bukan itu sahaja, terdapat juga makanan yang hanya boleh didapati di bazar ramadan.

Bulan ramadan ini juga menjanjikan limpahan rezeki buat para peniaga sehinggakan ada antara golongan yang sanggup mengambil cuti semata-mata untuk berniaga. Kaji selidik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada tahun lalu mendapati 69 peratus daripada 1148 peniaga bazar Ramadan menyatakan terdapatnya peningkatan pelanggan ke premis mereka.  Melalui kaji selidik tersebut juga menunjukkan sebanyak 63 peratus peniaga menyatakan  bahawa terdapat peningkatan hasil jualan manakala selebihnya 37 peratus memberikan maklum balas sebaliknya. Berdasarkan kajian KPDN dan DOSM ini, kebanyakan peniaga bazar ramadan masih memperolehi keuntungan namun mungkin berkurangan dari tahun sebelum ini sehingga menyebabkan timbulnya rungutan daripada pihak peniaga bazar.

Pada tahun lepas sudah mula kedengaran rungutan peniaga yang menyatakan jumlah pengunjung ke bazar Ramadan semakin menurun berbanding dengan tahun sebelumnya yang mungkin disebabkan oleh lambakan bazar ramadan pada masa ini. Bahkan, di sesetengah kawasan, jarak satu bazar dengan bazar yang lain hanya dalam radius satu kilometer sahaja. Hal ini menyebabkan masyarakat mempunyai terlalu banyak pilihan yang sedikit sebanyak menjejaskan peniaga. Bukan itu sahaja, pandemik COVID-19 yang berlaku di negara kita juga telah mengubah konsep perniagaan juadah berbuka puasa daripada tapak bazar kepada e-bazar melalui platform media sosial. Perubahan tersebut telah terbawa-bawa hingga ke hari ini ditambah pula dengan cuaca panas semasa bulan Ramadan yang membuatkan masyarakat memilih untuk membeli juadah berbuka secara dalam talian.

Selain itu, para peniaga perlu berniaga dengan penuh jujur dan amanah bagi menarik masyarakat. Saban tahun, kedengaran pelbagai rungutan yang disuarakan oleh masyarakat dari segi kualiti dan harga makanan yang dijual di bazar tersebut. Pada tahun lepas, rungutan semakin bertambah di laman media sosial kerana kebanyakan harga makanan di bazar ramadan meningkat dengan ketara dan tidak sepadan dengan kualiti makanan. Kes keracunan makanan di bazar ramadan juga acap kali dilaporkan pada saban tahun. Hal ini mungkin menjadi antara penyumbang kepada kurangnya pengunjung ke bazar ramadan.

Sementara itu, peniaga di bazar aidilfitri dilihat lebih terjejas teruk. Pada tahun lepas, kebanyakan peniaga bazar aidilfitri mengeluh apabila jualan pakaian serta kelengkapan menyambut hari raya kurang mendapat sambutan daripada masyarakat. Pengunjung yang hadir kebanyakannya hanya sekadar mencuci mata. Kuasa beli yang semakin mengecil ini mungkin disebabkan oleh kenaikan kos sara hidup yang membuatkan masyarakat terpaksa melepaskan keinginan untuk membeli barangan kehendak mereka. Tambahan pula, musim perayaan aidilfitri pada tahun lepas dan tahun ini yang hampir serentak dengan pembukaan sesi persekolahan menyebabkan para ibu bapa lebih mengutamakan persediaan sesi persekolahan. Bukan itu sahaja, pembelian secara dalam talian melalui aplikasi Tik Tok Shop dan Shoppe yang jauh lebih murah juga menyebabkan jualan bazar aidilfitri berkurang.

Peniaga di bazar aidilfitri perlu mempertimbangkan harga yang lebih berpatutan dalam usaha menarik kedatangan pengunjung. Tidak dinafikan dalam suasana ekonomi zaman ini, para peniaga turut tersepit. Tapak bazar aidilfitri yang ditawarkan oleh PBT pun bukanlah murah harganya yang menyebabkan para peniaga terpaksa juga menaikkan sedikit harga jualan pakaian dan barangan mereka. Para peniaga bazar aidilfitri juga perlu membuat promosi di laman sosial agar masyarakat lebih cakna dengan kewujudan bazar tersebut.

Tuntasnya, bazar ramadan dan aidilfitri masih mendatangkan keuntungan buat para peniaga. Namun, jumlahnya dilihat sedikit menurun disebabkan oleh pelbagai faktor termasuklah kuasa beli yang semakin berkurang, lambakan bazar ramadan dan aidilfitri, pembukaan sesi persekolahan yang hampir serentak dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan sebagainya. Namun, jika seseorang peniaga menjual makanan yang sedap dan barangan yang berkualiti setimpal dengan harga nescaya pengguna tidak akan teragak-agak untuk terus menyokongnya. Bazar Ramadan dan Aidilfitri perlu terus hidup kerana ianya merupakan antara penyumbang ekonomi buat para peniaga kecil selain antara keunikan yang ada di negara kita sepanjang bulan ramadan. Kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk menjadikan bazar tesebut sebagai antara produk pelancongan buat para pelancong luar negara yang seterusnya mampu menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.