3 Mac 2024, 10:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan lapan Keputusan penting bagi mengangkat martabat dan darjat golongan Bumiputera di Malaysia dalam ucapan penutup Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, semalam.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan khas dalam majlis penutup KEB 2024.

Beliau berkata, antara ketetapan tersebut termasuklah kerajaan akan memperuntukkan dana berjumlah RM1 bilion bagi melahirkan generasi baharu usahawan Bumiputera dalam bidang pertumbuhan tinggi yang akan dikendalikan oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Dana tersebut bertepatan dengan hasrat dan syor yang dihujahkan semasa KEB 2024 yang berlangsung selama tiga hari ini, iaitu untuk mewujudkan Dana Pemacu Transformasi Bumiputera.

Kita mampu mencipta lebih banyak syarikat usahawan Bumiputera yang berjaya seperti Aerodyne yang berjaya menembusi pasaran global dalam perkhidmatan dron dan kita juga harus berbangga dengan kejayaan Les Copaque dan Animonsta yang mengungguli industri karya kreatif. Begitu juga dengan kejayaan ramai usahawan muda yang memanfaatkan sepenuhnya kelebihan teknologi digital baharu untuk berniaga seperti saudara Khairul Aming.

Katanya, ketetapan kedua ialah Skim Perumahan MADANI di tanah rizab Melayu dengan sasaran membangunkan 2500 unit rumah mampu milik.

Tambah beliau, kerajaan juga akan memastikan pemilikan sejumlah 200 ekar tanah kerajaan termasuklah 50 ekar tanah di bandar Malaysia kekal dimiliki oleh orang Melayu bagi menjamin ketersediaan perumahan mampu milik untuk Melayu supaya kekal di kawasan pusat bandar.

“Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) diamanahkan untuk menerajui dan memacu pembangunan komersial di tanah rizab Melayu ini,” jelas beliau.

Menurut beliau, melatih sebanyak 100 000 pelatih Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam tempoh lima tahun termasuk menyediakan tawaran pekerjaan dengan sasaran gaji sekurang-kurangnya RM3500 sebulan menerusi kerjasama syarikat GLIC dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat swasta yang terpilih merupakan ketetapan ketiga dalam usaha mengangkat dan memartabat darjat Bumiputera.

Katanya, ini merupakan permulaan kecil yang harus diperluas dan anak-anak dari keluarga FELDA harus diberi peluang dan keadilan dan jangan dibiarkan tersisih dan terpinggir.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga bersetuju menubuhkan Wakaf Majlis Amanah Rakyat (MARA) MADANI dengan peruntukan RM100 juta sebagai geran pelancaran dengan sasaran dana terkumpul minimum RM1 bilion dalam tempoh dua tahun dalam usaha memastikan keterjaminan pendidikan, kebajikan, kesihatan dan keusahawanan bagi golongan Bumiputera. Sistem wakaf tersebut akan diterajui oleh MARA dan dilaksanakan oleh Yayasan Pelajaran MARA selari dengan hasrat penubuhan agensi tersebut.

Menurut beliau ketetapan seterusnya adalah dengan menambah baik insentif cukai serta menyediakan tabung geran padanan sebanyak RM100 juta bagi mendukung pembangunan vendor tempatan serta bagi menggalakkan lebih banyak syarikat swasta melaksanakan program pembangunan vendor seperti penyediaan program latihan dan peningkatan kemahiran dalam bidang baharu khususnya pendigitalan, peralihan tenaga dan teknologi.

Sementara itu, katanya bagi memartabatkan dan menyokong hasil seni pengusaha tempatan, bermula semalam semua jabatan dan agensi kerajaan serta syarikat GLC hanya dibenarkan membeli sebagai cenderahati hasil seni yang diusahakan oleh pengusaha tempatan.

Tambah beliau, lebih-lebih lagi dengan menjelangnya Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, semua pihak harus membantu dan merancakkan lagi penghasilan produk kraf tangan tempatan agar dapat dipamerkan keunikan dan ketulenan hasil kraf dari setiap negeri.

“Ketetapan seterusnya adalah dengan mengkhususkan dana pembiayaan kredit mikro Bumiputera sehingga RM1 bilion melalui Institusi Kewangan Pembangunan seperti Bank Simpanan Nasional, Agrobank, dan TEKUN Nasional bagi menyediakan sokongan terhadap pelbagai segmen usahawan Bumiputera,” katanya.

Menurut belaiu, dalam usaha untuk mengangkat darjat Bumiputera, kerajaan akan mewujudkan Suruhanjaya Pekerja Gig bagi melindungi hak pekerja gig.

Katanya, suruhanjaya ini akan turut memberikan fokus terhadap keperluan perlindungan sosial, pertikaian kontrak dan juga kemajuan kerjaya para pekerja gig.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.