19 Februari 2024, 21:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menjelaskan bahawa kementeriannya menggalakkan peningkatan kadar penyertaan wanita dalam ekonomi dan tenaga buruh menerusi penawaran program kemahiran di Laman Wanita (LaWa).

Beliau menyatakan bahawahal ini selaras dengan inspirasi ekonomi MADANI untuk meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita kepada 60 peratus.

Terdahulu, beliau merasmikan LaWa negeri Cik Siti Wan Kembang bersempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 di sini, hari ini.

“Usaha ini dapat membantu golongan wanita menjana pendapatan untuk diri sendiri dan keluarga sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah beliau, semua program dan aktiviti yang dijalankan menyokong aspirasi pemerkasaan wanita merangkumi aspek ekonomi, keselamatan serta kepimpinan diberikan perhatian khusus kerajaan melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).  LaWa juga kini menjadi pusat aktiviti setempat yang menawarkan pelbagai program dan aktiviti pemerkasaan wanita melalui aspek peningkatan kemahiran asas serta mewujudkan jaringan sosial serta pusat maklumat asas tentang pelbagai isu wanita.

“Secara keseluruhannya, pada masa ini Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) mempunyai 14 LaWa di tujuh negeri, iaitu Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kelantan, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Labuan.”

Selain itu, LaWa turut melaksanakan program dan aktiviti melalui kolaborasi strategik bersama-sama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), agensi kaunseling dan pengurusan kredit (APKK), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau juga menjelaskan secara khusus bahawa di Kelantan terdapat LaWa, iaitu di Tanah Merah dan Kota Bharu. Malah sepanjang tahun lalu sebanyak 152 program dilaksanakan oleh Pejabat Pembangunan Wanita (PPWN) Kelantan yang disertai komuniti, ibu tunggal dan suri rumah.

Menurutnya, antara program yang dianjurkan melibatkan kemahiran industri makanan termasuklah produk pastri, penghasilan biskut, kuih tradisional, seni jahitan pakaian serta jahitan kreatif yang dapat membantu peserta meraih pendapatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.