Oleh Noor Aidil
19 Mei 2024, 00:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ekonomi Malaysia berkembang 4.2 peratus pada suku pertama tahun 2024, mencatatkan angka lebih tinggi daripada jangkaan umum, iaitu 3.9 peratus.

Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour, pertumbuhan memberangsangkan itu dipacu oleh perbelanjaan swasta yang terus kekal berdaya tahan dan pemulihan eksport yang positif.

Beliau menyatakan bahawa pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah, manakala aktiviti pelaburan akan disokong oleh perbelanjaan modal sektor swasta dan sektor awam yang lebih tinggi. Sektor eksport dilaporkan kembali pulih berikutan permintaan luaran yang lebih tinggi.

“Dari segi penawaran, kebanyakan sektor mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi. Sektor perkilangan telah mencatatkan peningkatan disebabkan oleh pemulihan dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) serta industri bukan E&E,” demikian menurut Datuk Shaik Abdul Rasheed.

Tambah beliau, “Pertumbuhan yang lebih kukuh bagi sektor perkhidmatan dirangsang oleh aktiviti perdagangan runcit yang lebih tinggi dan sokongan yang berterusan daripada subsektor pengangkutan dan penyimpanan. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 1.4 peratus,” katanya pada sidang media Prestasi Ekonomi Malaysia Suku Pertama 2024 di Kuala Lumpur pada hari ini.

Pada suku keempat tahun 2023, ekonomi Malaysia telah diunjurkan oleh BNM  berpotensi untuk berkembang antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus pada tahun 2024. Hal ini disokong oleh permintaan dalam negeri yang terus berkembang dan peningkatan permintaan luaran.

Dalam laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 yang dikeluarkan itu, BNM melaporkan pertumbuhan akan dipacu oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dengan sokongan tambahan daripada jangkaan pemulihan dalam eksport. Sektor pelancongan dijangka akan terus bertambah baik, manakala pelaksanaan projek berbilang tahun yang baharu dan sedia ada oleh sektor swasta dan awam akan menyokong aktiviti pelaburan.

“Walau bagaimanapun, pertumbuhan dalam negeri masih tertakluk pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan disebabkan oleh faktor luaran dan di dalam negeri,” demikian kenyataan lanjut daripada bank pusat itu.

Sementara itu, kebanyakan penganalisis menjangkakan bahawa kadar pertumbuhan ekonomi negara berkembang lebih 4.0 peratus pada suku terbabit berbanding dengan pertumbuhan sebanyak 3.0 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2023. Jangkaan pertumbuhan yang lebih baik itu dibuat berdasarkan petunjuk output dan aktiviti sektor ekonomi utama yang positif setakat ini.

Pada suku pertama 2024, Indeks Pengeluaran Industri (IPI) dilihat berkembang pantas, iaitu pada kadar 3.3 peratus berbanding dengan 0.8 peratus pada suku keempat 2023 berikutan kemajuan dalam pembuatan, perlombongan dan elektrik.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.