16 Januari 2024, 11:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) kali pertama tahun ini telah membentangkan kemajuan semasa Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dan memberikan pandangan langkah yang perlu diambil oleh agensi yang berkaitan.

Menurut YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat tersebut, langkah tersebut adalah berkaitan dengan keselamatan data dan kaedah untuk meningkatkan jumlah pendaftaran.

Mesyuarat MTEN kali pertama tahun ini berlangsung semalam dengan penambahan beberapa ahli tetap.

Tambahnya, mesyuarat tersebut juga menilai kemajuan pelaksanaan ke atas keputusan yang telah dibuat MTEN pada tahun lalu.

Bagi memperkukuh keberkesanan perbincangan dan keputusan, saya telah bersetuju menambah ahli tetap MTEN yang terdiri daripada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo dan Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya.

Selain itu, MTEN juga telah membincangkan tentang penambahbaikan tatakelola Permit yang Diluluskan (AP) dan Permit Import (IP) ke arah meningkatkan daya saing negara. Menurut beliau, adalah penting bagi kerajaan mencari satu formula yang bukan sahaja memberikan keuntungan kepada pengguna, tetapi juga kepada pengeluar tempatan terutama dalam memastikan keterjaminan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi.

Beberapa perkara turut dipersetujui dalam mesyuarat semalam, antaranya setiap agensi kawal selia yang berkaitan diminta mengemukakan kaedah penambahbaikan kepada Jemaah Menteri bagi meningkatkan kecekapan dan ketelusan proses analisis risiko import,” maklumnya.

Beliau turut menyatakan bahawa Ketua Audit Negara disarankan agar melaksanakan proses audit bagi sektor terpilih demi memastikan pelaksanaan AP dan IP mencapai sasaran dan memenuhi matlamat yang telah ditetapkan.

Selain itu, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) juga diarahkan untuk melaksanakan kajian dan penilaian terhadap tatakelola dan pengimportan barangan halal sementara Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) pula diminta mengkaji isu berkaitan dengan kewujudan kartel dalam isu pengimportan barangan berasaskan makanan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.