12 Januari 2024, 09:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Malaysia dan Singapura bersedia untuk meneroka beberapa inisiatif bagi memacu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) setelah memeterai  satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang akan mengukuhkan lagi hubungan ekonomi antara kedua-dua negara, semalam.

MoU tersebut telah ditandatangani oleh Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura, Encik Gan Kim Yong dengan disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Langkah itu dibuat bagi menyusuli Rahat Pemimpin Singapura-Malaysia ke-10 pada Oktober 2023 yang mengesahkan komitmen kedua-dua negara untuk mempertingkat kerjasama ekonomi.

Menurut kenyataan bersama Kementerian Ekonomi Malaysia dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI), inisiatif itu termasuklah mewujudkan pusat perniagaan atau pelaburan sehenti di Johor. Hal ini bagi memudah cara proses permohonan pelbagai kelulusan serta lesen yang diperlukan untuk membolehkan perniagaan republik itu beroperasi di Johor.

Tambahnya, JS-SEZ akan turut memanfaatkan pertumbuhan Johor yang kukuh serta pelaburan penting Singapura di rantau itu.

Pada tahun 2022, Johor mencatat pelaburan bernilai RM70.6 bilion yang merentasi pelbagai sektor termasuklah elektrik dan elektronik, peranti perubatan, pengeluaran makanan serta pusat data, sementara Singapura pula merupakan pelabur asing kedua terbesar Johor bagi tempoh Januari hingga Jun 2022 dan menyumbang kira-kira 70 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing (FDI) negeri itu dalam sektor pembuatan,” demikian menurut kenyataan bersama tersebut.

Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli berkata, kewujudan JS-SEZ memberikan peluang besar bagi meningkatkan aliran rentas sempadan membabitkan pergerakan kargo serta rakyat, memacu ekosistem perniagaan serta meningkatkan daya tarikan ekonomi Johor dan Singapura.

Beliau juga yakin sepenuhnya bahawa inisiatif ini akan membuka fasa transformatif dalam hubungan ekonomi dua hala, memupuk kesalinghubungan dan kemakmuran yang tiada tandingan bagi kedua-dua negara hebat ini.

Sementara itu, Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Kim Yong pula berkata JS-SEZ berperanan sebagai jambatan untuk kedua-dua negara saling memanfaatkan kekuatan masing-masing selain merebut peluang bagi pertumbuhan bersama. Beliau turut teruja dengan perjanjian JS-SEZ serta manfaatnya untuk perniagaan serta rakyat kedua-dua negara.

Antara inisiatif lain perjanjian tersebut termasuklah pelaksanaan sistem pelepasan kod QR tanpa pasport pada kad di kedua-dua pihak yang bertujuan untuk memudahkan urusan pelepasan orang ramai di pusat pemeriksaan darat secara lebih pantas.

Pelaksanaan proses digital bagi tujuan pelepasan kargo di pusat pemeriksaan darat serta aspek mudah cara kerjasama tenaga boleh baharu Malaysia-Singapura dalam JS-SEZ, juga menjadi antara inisiatif awal JS-SEZ bagi memacu pertumbuhan ekonomi.

Dalam kenyataan bersama tersebut menyatakan bahawa Malaysia dan Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar bagi satu sama lain pada tahun 2022 yang menyaksikan dagangan dua hala tumbuh sebanyak 18.9 peratus tahun ke tahun kepada SGD153 bilion (SGD1=RM3.48).

Singapura berperanan sebagai sumber utama FDI Malaysia dengan menyumbang sebanyak 20.5 peratus daripada keseluruhan FDI di negara ini bagi tempoh yang sama.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.